Sunday 31 January 2010

13 PERKARA YANG DIHARAPKAN OLEH SEORANG ISTERI

  1. Mengingat hari istimewa
  2. Diberi pujian dan perhatian oleh suami.
  3. Mendapat pembelaan daripada suami.
  4. Suami membantu mengasuh anak dan mengurus rumah tangga.
  5. Suami banyak meluangkan waktu untuk keluarga.
  6. Suami tidak terlalu menggilai hobinya.
  7. Suami sentiasa setia dan tidak berlaku curang.
  8. Suami tidak sering keluar malam bersama teman-teman.
  9. Suami jujur.
  10. Suami tidak melakukan kebiasaan yang buruk.
  11. Suami memberi wang perbelanjaan keluarga.
  12. Suami fokus, mendengar dan menerima nasihat isteri.
  13. Membantu keluarga isteri.

Saturday 23 January 2010

SULTAN ISKANDAR RAJA YANG TEGAS DAN ADIL

KUALA LUMPUR: Sultan Johor, Sultan Iskandar ibni Almarhum Sultan Ismail yang mangkat hari ini pada usia 77 tahun, adalah seorang raja yang tegas tetapi adil dan sentiasa mahukan yang terbaik bagi rakyat, menjadikan negeri Johor sebagai antara negeri termaju di negara ini. Baginda yang dimasyhurkan sebagai Sultan Johor pada 11 Mei 1981, mangkat pada 7.15 malam di Hospital Pakar Puteri selepas dimasukkan ke hospital itu hari ini kerana gering.

Baginda meninggalkan Sultanah Johor, Sultanah Zanariah serta dua putera dan lapan puteri iaitu Tunku Mahkota Johor Tunku Ibrahim Ismail, Tunku Puteri Johor Tunku Hajah Kamariah, Tunku Besar Tunku Zabedah Aminah, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah, Tunku Hajah Mariam Zahrah, Tunku Norani, Tunku Maimunah Ismailiah, Tunku Bendahara Johor Tunku Abdul Majid Idris Ismail, Paduka Puteri Tunku Muna Najiah dan Tunku Aminah Kalsom Masera Marian Zahirah.

Semasa pemerintahan baginda, Sultan Iskandar dikasihi pelbagai lapisan rakyat negeri Johor atas bimbingan dan perhatian berterusan baginda terhadap segala naungannya. Baginda bukan sahaja bijak dalam hal keagamaan dan pemerintahan tetapi juga dalam pelbagai bidang lain seperti ketenteraan, sukan dan perniagaan. Baginda sering bertitah mengingatkan rakyatnya agar sentiasa hidup bermuafakat, bersatu padu dan bekerja bersungguh-sungguh bagi menjamin kebahagiaan negeri Johor.


Sultan Iskandar dianugerahkan ijazah Doktor Kehormat Undang-undang oleh The National University of Singapore (NUS) pada 12 April 2007 sebagai mengiktiraf peranan baginda dalam kemajuan dan kemakmuran negeri itu serta sumbangan baginda terhadap hubungan dua hala antara Malaysia dan Singapura. Dalam menjaga hubungan dua hala antara Malaysia dan Singapura, baginda sering menjemput pemimpin Singapura ke Istana Bukit Serene di Johor Baharu semasa sambutan Hari Raya.

Sultan Iskandar, yang dilantik menjadi Yang di-Pertuan Agong kelapan pada 26 April 1984 hingga 25 April 1989, diputerakan di Istana Semayam, Johor Baharu pada 8 April 1932 adalah putera sulung kepada Almarhum Sultan Ismail ibni Almarhum Sultan Ibrahim. Menggemari permainan polo, papan layar, golf dan memburu, baginda adalah juruterbang bertauliah dan pernah mendapat latihan asas ketenteraan dalam Pasukan Askar Timbalan Setia Negeri Johor.

Baginda adalah Panglima Askar Timbalan Setia Negeri Johor yang diasaskan dan ditubuhkan oleh moyang baginda, Almarhum Sultan Abu Bakar pada tahun 1885. Minat baginda dalam bidang ketenteraan jelas dilihat daripada perwatakan baginda yang sentiasa segak beruniform tentera dan ketegasan baginda dalam soal disiplin. Sultan Iskandar pernah menyertai batalion kedua Askar Wataniah di Johor Baharu pada 1960 dan berkhidmat dengan Pasukan Simpanan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sebagai pegawai dan dilantik sebagai Kolonel Yang Dipertua Rejimen Gerak Khas.

Sebagai Ketua Agama Negeri, baginda sentiasa mengadakan hubungan erat dengan Majlis Agama Negeri atau pentadbiran jabatan berkenaan untuk mengikuti perkembangan dan masalah agama. Baginda sendiri turut menyampaikan khutbah Jumaat di masjid sekitar Johor.

Di arena sukan, baginda terkenal sebagai peminat dan ahli sukan dalam pelbagai acara yang mencabar seperti golf, tenis, tinju, luncur layar, ski air, menyelam, berenang, payung terjun, lumba kereta dan menunggang motosikal berkuasa tinggi. Baginda adalah seorang juruterbang helikopter dan pesawat ringan yang dikagumi.

Sultan Iskandar yang turut gemar berburu, sering menasihatkan rakyat negerinya agar menceburi sukan menembak kerana baginda percaya sukan itu akan muncul sebagai sukan utama di masa hadapan. Ketika merasmikan Kejohanan Menembak Sultan Iskandar Challenge Trophy 1997, baginda bertitah sukan itu bukan lagi menjadi aktiviti yang dikhususkan kepada golongan berada tetapi terbuka kepada semua golongan kerana yuran dikenakan oleh kelab menembak adalah kecil. Hasrat baginda itu kini menjadi kenyataan kerana Malaysia mula muncul sebagai antara negara yang mempunyai penembak terbaik di peringkat antarabangsa. Sehingga kini, Persatuan Penembak Clay Target Johor (JCTSA) terus menganjurkan pertandingan menembak Piala Sultan Iskandar, yang membabitkan penembak tempatan dan luar negara, sempena sambutan Hari Keputeraan Sultan Iskandar.

Selain sukan menembak, baginda turut memberikan sokongan kepada sektor pelancongan dengan seringkali mencemar duli menghadiri Festival Layang-layang Antarabangsa di Bukit Layang-Layang, Pasir Gudang yang menjadi venue tetap acara itu. Titah baginda, penganjuran agenda bertaraf antarabangsa merangkumi acara sukan, rekreasi serta temasya layang-layang dapat memberikan imej antarabangsa kepada Johor dan Malaysia.

Sultan Iskandar menerima pendidikan awal di Sekolah Rendah Ngee Heng, Johor Baharu sebelum melanjutkan pelajaran di English College (sekarang Maktab Sultan Abu Bakar) di Johor Baharu dan seterusnya melanjutkan pelajaran di Trinity Grammar School, Australia pada usia 16 tahun sebelum ke Devon Technical College, England lima tahun kemudian. Setelah menamatkan pengajian pada 25 Januari 1956, baginda pulang ke Johor pada 1956 dan terus berkhidmat sebagai pegawai tadbir dalam Perkhidmatan Awam Negeri Johor sehingga 1959.

Sultan Iskandar dilantik Tengku Mahkota Johor pada 8 Mei 1959 berikutan kemangkatan nenda baginda, Almarhum Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Abu Bakar di London. Pada Disember 1966, baginda dilantik Raja Muda Johor oleh ayahanda baginda dan turut menceburkan diri dalam bidang perniagaan dengan menubuhkan beberapa syarikat seperti Mados Enterprises dan Mados-Cito-Daiken. Pada 10 Mei 1981, baginda dilantik Pemangku Raja pada 11 Mei 1981, selepas Sultan Ismail gering dan dimasyhurkan sebagai Sultan Johor keempat dalam sejarah Johor moden. - Bernama


SULTAN JOHOR MANGKAT

22/01/2010 11:25pm
JOHOR BAHRU 22 Jan. – Sultan Johor, Sultan Iskandar ibni Almarhum Sultan Ismail disahkan mangkat hari ini. Baginda disahkan mangkat pukul 7.15 malam semasa dirawat di Hospital Pakar Puteri. Kemangkatan baginda diumumkan Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman pukul 11.20 malam ini.


Pemasyhuran Sultan Johor yang baru akan dilaksanakan di Istana Besar Johor sebelum upacara pemakaman jenazah Almarhum Sultan Iskandar Ismail Ibni Sultan Ismail di Makam Diraja Bukit Mahmoodiah kira-kira pukul 2 petang, Menteri Besar Datuk Abdul Ghani Othman mengumumkannya.

Friday 22 January 2010

SI TANGGANG MODEN DARI SARAWAK?

SUBANG JAYA 21 Jan. - Sudah tiga tahun, Tumi Wongsoruju tidak bertemu anak perempuan tunggalnya yang membawa diri tanpa sebarang berita ke Semenanjung. Jarak yang jauh ditambah pula dengan kesempitan hidup, membuatkan wanita berusia 52 tahun yang tinggal di Kuching, Sarawak itu tidak berupaya mencari anak kesayangannya. Namun kerinduan yang tidak tertanggung lagi, akhirnya mendorong Tumi berhutang dengan saudara-mara bagi membeli tiket penerbangan ke Kuala Lumpur untuk menjejaki anaknya.

Berbekalkan duit poket RM150 dan alamat sebuah kawasan perumahan di Serdang dekat sini, dia menyusuli anak perempuannya itu. Membuang rasa malu dan takut, Tumi yang berasal dari Taman Duranda Emas di Jalan Kuching-Serian memberanikan diri menagih simpati orang ramai untuk membantu mencari rumah anaknya yang berusia 33 tahun. Setelah puas bertanya, dia yang tiba di Semenanjung kelmarin berjaya menemui anak kesayangannya itu hasil bantuan orang ramai dan anggota dari Balai Polis Seri Kembangan, malam tadi.

Namun, perasaan teruja dan gembira bertemu anak yang cukup dirindui bertukar menjadi kenangan pahit yang tidak mungkin dilupakan sepanjang hayatnya. Tumi bukan sahaja dihalau bahkan tidak diakui sebagai ibu oleh anak perempuan dan menantunya. Biarpun bersungguh-sungguh meyakinkan mereka dengan menunjukkan sijil kelahiran anaknya, wanita itu dan suaminya tetap berkeras enggan mengaku Tumi sebagai ibu.

Terkilan dengan sikap anaknya itu, Tumi yang tidak mempunyai saudara-mara di sini akhirnya berputus asa dan bersetuju mengikut anggota polis ke Balai Polis Seri Kembangan. Simpati dengan nasib Tumi, wartawan Utusan Malaysia dan Kosmo! bersama jurugambar sepakat berkongsi mengeluarkan wang untuk membeli tiket penerbangan dan duit belanja bagi membolehkan dia pulang ke kampung halamannya hari ini. Dengan kerjasama anggota dari Balai Polis Seri Kembangan, Tumi berjaya mendapat tiket penerbangan pulang ke Kuching menaiki pesawat AirAsia pukul 7.40 malam ini.
Sementara itu, Tumi ketika ditemui dengan berlinangan air mata memberitahu, selain mengubati kerinduan, tujuan dia datang ke Semenanjung adalah untuk memujuk anaknya itu supaya pulang bersamanya ke Kuching. Katanya, ini bagi menyelesaikan urusan tuntutan hak penjagaan cucu lelakinya hasil perkahwinan anak perempuannya itu dengan suami pertama.

"Sebelum berkahwin dengan suami sekarang, anak saya pernah mendirikan rumahtangga dengan seorang lelaki berketurunan Bidayuh. Mereka mempunyai seorang anak yang kini berusia 13 tahun. Kanak-kanak itu dijaga oleh saya selama 11 tahun sebelum diambil oleh bekas menantu yang mendakwa sudah memeluk Islam selepas mereka bercerai," katanya.

Tumi berkata, dia nekad menuntut hak penjagaan cucu kesayangannya itu kerana bimbang akidah kanak-kanak itu terpesong memandangkan cucunya kini tinggal bersama keluarga bekas menantunya yang beragama Kristian di Kampung Tijirak, Kuching. Katanya, anak perempuannya itu merupakan anak tunggalnya hasil perkahwinan dengan suami pertama. Perkahwinannya dengan arwah suami kedua yang merupakan bekas tentera berasal dari Lenggong, Perak, tidak dikurniakan cahaya mata.

Tumi yang tinggal seorang diri dan menghidap sakit buah pinggang memberitahu, mereka tidak pernah berselisih faham namun dia terkejut apabila anaknya menghilangkan diri bersama suami barunya ke Semenanjung tiga tahun lalu dan langsung tidak menghubunginya sehingga kini.

"Biarpun sedih mengenangkan anak kesayangan yang dikandung selama sembilan bulan enggan mengaku saya sebagai ibu tetapi saya tetap memaafkannya dan berharap dia kembali ke pangkuan saya satu hari nanti. Malah, saya ada membawa sepasang baju kurung baru dan sehelai selendang untuk dihadiahkan kepadanya," katanya yang tidak dapat menyembunyikan rasa terkilan dengan kejadian itu.