Wednesday 21 December 2011

MELEPAS RINDU PADA SI PUTERI DI YOGYAKARTA

Cuti sekolah hujung tahun ini kami mengambil kesempatan kembara di Yogyakarta, Indonesia. Kembara ingin berjumpa dan melepaskan rindu kepada si puteri kami yang kuliah (di Indonesia kalau belajar di universiti dikatakan kuliah) di sana.

Dari segi sejarah keturunan, kami ni anak Jawa. Sebelah emak asalnya Magelang manakala sebelah bapa pula asalnya Pariangan, kedua-duanya di tanah Jawa. Maknanya aku ni anak Jawa totok. Cuma cakap wong Jowo sahaja yang kurang tahu. Maklumlah dah jadi anak Jawa Malaysia. Isteriku pula yang asalnya dari Perak, sebelah ibunya keturunan wong Jowo campur Mendailing, Sumatera manakala sebelah ayahnya adalah Melayu di Bagan Serai.

Jadinya apabila si puteri kami kuliah di Yogyakarta, ia hanya melanjutkan ingatan kami kepada asal dan salasilah keturunan kami sekeluarga. Ya... mungkin bisa sahaja di panggil PATI tapi 100 tahun dahulu dong... bukan sekarang. Sekarang ini kami rakyat Malaysia totok. Bumi Malaysia adalah bumi kami. Kami sayang banget sama Malaysia.

Semasa kami di sana, tukaran mata wang ialah RM1.00 bersamaan Rp2820. Nampak macam kaya apabila RM kita ditukar kepada Rupiah, tapi hakikatnya harga barangan di sana lebih tinggi daripada di Malaysia. Senaskhah surat khabar berharga Rp5000 (RM1.80), sepinggan mee goreng Rp10000 (RM3.50), makan nasi padang untuk 3 orang Rp60000 (RM22.00), satu set nasi gudeg seorang Rp20.00 (RM7.00) dan sewa bilik hotel bajet antara Rp250000 hingga Rp420000 (RM90.00 hingga RM150.00).

Beruntung kita di Malaysia kerana masih banyak warung-warung yang jualannya lebih murah (yang mahal dah tentu restoran mamak). Kami pernah menginap disebuah hotel bajet di tengan bandar di Semenanjung Malaysia yang sewa biliknya RM85.00 tapi ia lebih besar daripada bilik di Jogja di samping ada wifi di semua bilik. Di Jogja ya enggak ada wifi dibilik-bilik.

Kota Jogjakarta bukanlah kota untuk bershopping. Kalau nak membeli-belah lebih baik ke Kota Bandung. Jogjakarta adalah Kota Budaya dan Kota Ilmu. Sejarah budaya Jogyakarta bermula beribu tahun dulu. Orang Jawa ada tulisannya sendiri. Di Yogyakarta banyak terdapat kuil-kuil Hindu dan Budha kuno di samping masjid lama dan makam purba yang wujud beratus bahkan beribu tahun dulu. 

Atas cadangan pak supir, kami dibawa melihat candi-candi seperti Candi Borobudur dan Candi Prambanan. Kami dibawa melawat Masjid Tua Kotagede dan makam purba Kotagede. Kami juga dapat melihat kemusnahan yang dialami penduduk Desa Kinahrejo di kaki Gunung Merapi yang meletus dan mengeluarkan awan debu panas pada tahun 2010. Tempat-tempat lain yang sempat dilawati ialah kawasan perbukitan yang dingin di Kaliurang, Kraton (Istana) Sultan dan pertunjukan muzik Jawa, pantai perkelahan Parangtritis yang menghadap Laut Selatan (laut Nyai Roro Kidul), Tamansari, Masjid Purba Bawah Tanah, bangunan-bangunan tinggalan penjajah Belanda, dan lain-lain. Banyak tempat yang bersejarah yang kami tak sempat untuk melihatnya atas sebab tak cukup masa.

Lebih baik kami bercerita melalui foto saja, lebih jelas...