Friday 9 August 2013

BERMARHABAN DI RUMAH KAMI

Aidilfitri adalah hari mengeratkan tali persaudaraan dan menyuburkan silaturrahim. Islam meletakkan nilai persaudaraan dan kasih sayang itu di tempat yang tinggi dan utama. Hubungan persaudaraan yang baik  boleh membawa kesejahteraan dalam kehidupan berkeluarga dan bermasyarakat. Aidilfitri memberi peluang dan ruang yang luas ke arah pengukuhan persaudaraan dan silaturrahim melalui ucapan Aidilfitri, kunjung mengunjungi dan saling bermaaf-maafan.

Pada sebelah petang 1 Syawal, rumah kami dikunjungi oleh ahli marhaban kampung kami. Kedatangan diorang amat menggembirakan kami sekeluarga. Kami bersama-sama berselawat berdoa dan bermaaf-maafan. Kami juga menghidangkan juadah hari raya dan makan bersma-sama. Terima kasih sahabat-sahabatku yang bertandang ke rumah kami...  
Doa bermarhaban keliling kampung:

"Segala pujian itu bagi Allah Tuhan pentadbir seluruh alam. Rahmat dan sejahtera atas junjungan kami Nabi Muhammad semulia-mulia Rasul dan juga atas sekelian keluarga dan sahabat-sahabat Baginda.

Ya Allah Tuhan yang mentadbir seluruh keadaan. Tuhan yang maha pemurah dan maha tinggi. Dengan limpah dan kemurahan-Mu tukarkanlah apa kiranya keadaan kami ini kepada sebaik-baik keadaan. Berkatkanlah kami dan sekelian kaum muslimin bersempena dengan bulan Syawal ini.

Ya Allah wahai Tuhan yang Dialah sebaik-baik tempat dihadapkan permohonan. Perkenankan apa kiranya doa permohonan kami ini dan kurniakanlah lagi peluang bagi kami menemui bulan Syawal ini kepada kami dari tahun demi tahun hingga beberapa masa.

Dan kami mohon semoga Tuhan kami berkati tuan rumah ini iaitu EN. HASAN BIN KASMURI DAN KELUARGA,  serta lanjutkan umurnya dalam iman, mendapat rezeki halal dan diselisihkan daripada rezeki haram. Mohon limpah rahmat-Mu jua ya Alah Tuhan yang sebaik-baik yang mengurniakan rahmat.

Barang dicucuri rahmat dan sejahtera atas junjungan kami Nabi Muhammad dan sekelian keluarga dan sahabat-sahabat Baginda. Segala pujian itu bagi Allah Tuhan pentadbir seluruh alam."









Thursday 8 August 2013

1 FAMILI DI PAGI 1 SYAWAL

Aidilfitri adalah hari mengeratkan tali persaudaraan dan menyuburkan silaturrahim. Islam meletakkan nilai persaudaraan dan kasih sayang itu di tempat yang tinggi. Hubungan persaudraan yang baik adalah satu usaha untuk membentuk individu yang berkualiti. Ini boleh membawa kepada kesejahteraan dalam kehidupan berkeluarga dan bermasyarakat. Aidilfitri memberi peluang yang luas ke arah pengukuhan perhubungan kekeluargaan dan  persaudaraan melalui ucapan salam Aidilfitri, bermaafan dan peluk cium dalam keluarga.

Firman Allah SWT dalam Surah An-Nisaa',  ayat 36 yang bermaksud: "Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah, dan janganlah kamu mempersekutukan-Nya dengan sesuatu apa jua; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan jiran tetangga yang dekat, dan jiran tetangga yang jauh, dan rakan sejawat, dan orang musafir yang terlantar, dan juga hamba sahaya yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong takbur dan membanggakan dirinya".

Pada pagi 1 Syawal kami berkumpul anak beranak. Semua ada dan masing-masing cuti panjang. 'Abang' cuti seminggu belajar menghabiskan masternya, kakak cuti sebulan belajar di Jogjakarta, Indonesia dan 'adik' cuti hujung semester selama sebulan. Dari petang hingga malam kami bersama-sama membuat persediaan masak juadah hari raya seperti ketupat, pulut kukus, rendang ayam dan rendang daging, kari daging, ayam masak korma, sambal kacang, lodeh dan sambal goreng. Masak sikit-sikit sahaja cukup untuk kami sekeluarga dan famili yang datang beraya ke rumah kami nanti.  Setelah menikmati hidangan hari raya di pagi yang hening, masing-masing bersalaman dan bermaafan.  Seterusnya kami bersama-sama bersolat sunat Aidilfitri di Masjid Annur, masjid kampung kami.

Hari pertama ini kami yang lelaki akan join dengan ahli kariah kampung bermarhaban keliling kampung sehingga selesai. Hari raya kedua pula akan berziarah sanak-saudara di sekitar Johor, dan pada hari raya ketiga kami akan balik kampung di Bagan Serai, Perak beraya dengan emak dan kaum keluarga di sana.











Wednesday 7 August 2013

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI

Kami mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada kaum keluarga kami, saudara-mara kami, rakan dan kenalan kami dan kepada semua umat Islam yang merayakan hari kemenangan ini. SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI. MAAF ZAHIR DAN BATIN.