Tuesday 10 September 2013

DOA AGAR ANAK-ANAK BERJAYA DALAM PEPERIKSAAN

Hari ini bermulanya peperiksaan UPSR. Lepas itu peperiksaan PMR. Seterusnya peperiksaan SPM dan STPM. Marilah kita sama-sama berdoa untuk anak-anak kita agar mereka berjaya dalam peperiksaan. Semoga mereka berjaya menjadi insan yang taat kepada agamanya, taat kepada kedua ibubapanya, dan menjadi warga negara yang terpuji.
 
Amalkanlah doa ini: 
 
"Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Segala puji-pujian bagi Allah. Tuhan seru sekalian alam, selawat dan salam ke atas semulia-mulia para nabi dan para rasul Sayyidina Muhammad dan ke atas ahli keluarga baginda dan para sahabat sekalian. 
 
Ya Allah, ya Tuhan kami, rahmatilah ke atas penghulu kami nabi Muhammad suatu rahmat yang Engkau lepaskan kami dengannya dari segala kesusahan dan kebinasaan dan yang Engkau tunaikan bagi kami dengannya segala hajat, dan yang Engkau sucikan kami dengannya dari segala kejahatan dan yang Engkau angkat kami dengannya di sisi-Mu pada setinggi-tinggi darjat, dan yang Engkau sampaikan kami dengannya sejauh-jauh tujuan segala kebajikan semasa hidup dan sesudah mati. Dan juga selawat ke atas keluarga dan sahabat baginda dan anugerahkanlah mereka salam sejahtera yang banyak dengan rahmat-Mu wahai Tuhan Yang Maha Mengasihani. 
 
Ya Allah, jadikanlah anak-anak dan penuntut-penuntut kami dari golongan orang-orang yang berjaya dan orang-orang yang mendapat kemenangan di dalam pembelajaran dan peperiksaan, dan jadikanlah mereka dari golongan hamba-hambaMu yang soleh. 
 
Ya Allah, jadikanlah kami dan mereka dari golongan orang yang berilmu dan orang yang membuat kebaikan, dan janganlah Engkau jadikan kami dan mereka daripada golongan orang yang jahat dan orang yang membuat kerosakan. 
 
Ya Allah bukakanlah hati mereka sebagaimana terbukanya hati orang-orang yang arif bijaksana , dan kurniakanlah kepada mereka kepada mereka kefahaman di dalam agama, dan ajarkanlah kepada mereka perkara ta'wil dan tunjukkanlah mereka ke jalan yang benar dan kurniakanlah kepada mereka kefahaman para nabi , hafalan para rasul, ilham para malaikat muqarrabin di dalam keadaan afiat, wahai Tuhan yang maha Pengasih dari segala yang lain yang mengasihani. 
 
Ya Allah, lapangkanlah bagi mereka dada-dada mereka, dan permudahkanlah bagi mereka urusan-urusan mereka, dan kurniakanlah taufiq dan hidayah kepada mereka, dan luruskanlah mereka dan kumpulkan bagi mereka di antara perkara yang betul dan perkara yang berpahala, dan lindungilah mereka daripada membuat kesalahan terlarang daripada mendapat nikmat dan lupa. 
 
Ya Allah, terangilah cahaya pada hati-hati mereka dengan cahaya hidayatMu, sebagaimana Engkau terangi bumi dengan cahaya matahari Mu, dan bukakanlah pintu kemenangan kepada mereka dengan kemenangan yang dekat , wahai Tuhan yang Maha Pemberi keputusan, wahai Tuhan yang Maha Mengetahui. 
 
Ya Allah, Keluarkanlah mereka daripada kesamaran dan muliakanlah mereka dengan cahaya kefahaman, dan bukakanlah kepada mereka pintu-pintu ilmu, dan hiasilah mereka dengan akhlak yang baik dan sopan santun, dan jauhkanlah mereka daripada kemungkaran akhlak, perbuatan hawa nafsu, dan penyakit, dengan rahmat Mu Tuhan yang Maha Pengasih dari segala yang lain yang mengasihani. 
 
Dan Allah telah berselawat ke atas Sayyidina Muhammad dan ke atas ahli keluarga baginda dan para sahabat sekalian, dan segala puji-pujian bagi Allah Tuhan seru sekalian alam".

Monday 9 September 2013

YANG PERTAMA...

  1. Orang yang pertama menulis Bismillah:  Nabi Sulaiman AS.
  2. Orang yang pertama minum air zamzam:  Nabi Ismail AS.
  3. Orang yang pertama berkhatan:  Nabi Ibrahim AS.
  4. Orang yang pertama diberikan pakaian pada hari qiamat:  Nabi Ibrahim AS.
  5. Orang yang pertama dipanggil oleh Allah pada hari qiamat:  Nabi Adam AS.
  6. Orang yang pertama mengerjakan saie antara Safa dan Marwah:  Sayyidatina Hajar (Ibu Nabi Ismail AS)
  7. Orang yang pertama dibangkitkan pada hari qiamat:  Nabi Muhammad SAW
  8. Orang yang pertama menjadi khalifah Islam:  Abu Bakar AsSiddiq RA
  9. Orang yang pertama menggunakan tarikh hijrah:  Umar bin Al-Khattab RA
  10. Orang yang pertama meletakkah jawatan khalifah dalam Islam:  Al-Hasan bin Ali RA
  11. Orang yang pertama menyusukan Nabi SAW:  Thuwaibah RA
  12. Orang yang pertama syahid dalam Islam dari kalangan lelaki:  Al-Harith bin Abi Halah RA
  13. Orang yang pertama syahid dalam Islam dari kalangan wanita: Sumayyah binti Khabbat RA
  14. Orang yang pertama menulis hadis di dalam kitab / lembaran:  Abdullah bin Amru bin Al-Ash RA
  15. Orang yang pertama memanah dalam perjuangan fisabilillah:  Saad bin Abi Waqqas RA
  16. Orang yang pertama menjadi muazzin dan melaungkan azan:  Bilal bin Rabah RA
  17. Orang yang pertama bersembahyang dengan Rasulullah SAW:  Ali bin Abi Tholib RA
  18. Orang yang pertama membuat minbar masjid Nabi SAW: Tamim Ad-dary RA
  19. Orang yang pertama menghunuskan pedang dalam perjuangan fisabilillah:  Az-Zubair bin Al- Awwam RA
  20. Orang yang pertama menulis sirah Nabi SAW:  Ibban bin Othman bin Affan RA
  21. Orang yang pertama beriman dengan Nabi SAW: Khadijah binti Khuwailid RA
  22. Orang yang pertama mengasaskan usul fiqh:  Imam Syafie RH
  23. Orang yang pertama membina penjara dalam Islam:  Ali bin Abi Tholib RA
  24. Orang yang pertama menjadi raja dalam Islam:  Muawayah bin Abi Sufyan RA
  25. Orang yang pertama membuat perpustakaan awam:  Harun Ar-Rasyid RH
  26. Orang yang pertama mengadakan baitul mal:  Umar Al-Khattab RA
  27. Orang yang pertama menghafal Al-Quran selepas Rasulullah SAW:  Ali bn Abi Tholib RA
  28. orang yang pertama membina menara di Masjidil Haram Mekah:  Khalifah Abu Ja’far Al-Mansur RH
  29. Orang yang pertama digelar Al-Muqry:  Mus’ab bin Umair RA
  30. Orang yang pertama masuk Syurga:  Nabi Muhamamad SAW