Wednesday 21 December 2011

MELEPAS RINDU PADA SI PUTERI DI YOGYAKARTA

Cuti sekolah hujung tahun ini kami mengambil kesempatan kembara di Yogyakarta, Indonesia. Kembara ingin berjumpa dan melepaskan rindu kepada si puteri kami yang kuliah (di Indonesia kalau belajar di universiti dikatakan kuliah) di sana.

Dari segi sejarah keturunan, kami ni anak Jawa. Sebelah emak asalnya Magelang manakala sebelah bapa pula asalnya Pariangan, kedua-duanya di tanah Jawa. Maknanya aku ni anak Jawa totok. Cuma cakap wong Jowo sahaja yang kurang tahu. Maklumlah dah jadi anak Jawa Malaysia. Isteriku pula yang asalnya dari Perak, sebelah ibunya keturunan wong Jowo campur Mendailing, Sumatera manakala sebelah ayahnya adalah Melayu di Bagan Serai.

Jadinya apabila si puteri kami kuliah di Yogyakarta, ia hanya melanjutkan ingatan kami kepada asal dan salasilah keturunan kami sekeluarga. Ya... mungkin bisa sahaja di panggil PATI tapi 100 tahun dahulu dong... bukan sekarang. Sekarang ini kami rakyat Malaysia totok. Bumi Malaysia adalah bumi kami. Kami sayang banget sama Malaysia.

Semasa kami di sana, tukaran mata wang ialah RM1.00 bersamaan Rp2820. Nampak macam kaya apabila RM kita ditukar kepada Rupiah, tapi hakikatnya harga barangan di sana lebih tinggi daripada di Malaysia. Senaskhah surat khabar berharga Rp5000 (RM1.80), sepinggan mee goreng Rp10000 (RM3.50), makan nasi padang untuk 3 orang Rp60000 (RM22.00), satu set nasi gudeg seorang Rp20.00 (RM7.00) dan sewa bilik hotel bajet antara Rp250000 hingga Rp420000 (RM90.00 hingga RM150.00).

Beruntung kita di Malaysia kerana masih banyak warung-warung yang jualannya lebih murah (yang mahal dah tentu restoran mamak). Kami pernah menginap disebuah hotel bajet di tengan bandar di Semenanjung Malaysia yang sewa biliknya RM85.00 tapi ia lebih besar daripada bilik di Jogja di samping ada wifi di semua bilik. Di Jogja ya enggak ada wifi dibilik-bilik.

Kota Jogjakarta bukanlah kota untuk bershopping. Kalau nak membeli-belah lebih baik ke Kota Bandung. Jogjakarta adalah Kota Budaya dan Kota Ilmu. Sejarah budaya Jogyakarta bermula beribu tahun dulu. Orang Jawa ada tulisannya sendiri. Di Yogyakarta banyak terdapat kuil-kuil Hindu dan Budha kuno di samping masjid lama dan makam purba yang wujud beratus bahkan beribu tahun dulu. 

Atas cadangan pak supir, kami dibawa melihat candi-candi seperti Candi Borobudur dan Candi Prambanan. Kami dibawa melawat Masjid Tua Kotagede dan makam purba Kotagede. Kami juga dapat melihat kemusnahan yang dialami penduduk Desa Kinahrejo di kaki Gunung Merapi yang meletus dan mengeluarkan awan debu panas pada tahun 2010. Tempat-tempat lain yang sempat dilawati ialah kawasan perbukitan yang dingin di Kaliurang, Kraton (Istana) Sultan dan pertunjukan muzik Jawa, pantai perkelahan Parangtritis yang menghadap Laut Selatan (laut Nyai Roro Kidul), Tamansari, Masjid Purba Bawah Tanah, bangunan-bangunan tinggalan penjajah Belanda, dan lain-lain. Banyak tempat yang bersejarah yang kami tak sempat untuk melihatnya atas sebab tak cukup masa.

Lebih baik kami bercerita melalui foto saja, lebih jelas... 
















































Monday 28 November 2011

JALAN-JALAN DI JANDA BAIK

Pada Sabtu yang lepas kami berdua berjalan-jalan di Kampung Janda Baik, Bentong, Pahang. Perjalanan dari Kuala Lumpur lebih kurang 1 jam. Itupun kerana trafik kat Gombak sesak sikit kerana orang pantai timur ramai-ramai balik kampung. Cuti Maal Hijrah 3 hari.

Janda Baik ni sebuah kampung jauh di pedalaman. Nak masuk kampung ini terpaksa menempuh jalan berliku berbukit di kelilingi hutan belantara. Keadaan jalan ke kampung ini kelihatan semak di kiri kanan jalan.  Kampung aku jauh lagi cantik. Namun begitu kampung ini cukup popular di kalangan orang kota. Bahkan ia menjadi salah satu destinasi pelancongan rakyat Malaysia dan salah satu tempat orang kaya membuat istana hinggap. 

Kampung ini memang unik. Keunikan Kampung Janda Baik ialah pada namanya, suhu pada waktu malam, aliran sungai yang jernih semula jadi dan khazanah hutan belantara Banjaran Titiwangsa.

Pasti ramai yang tertanya-tanya bagaimana lokasi pelancongan popular tanah air ini mendapat nama sedemikian. Banyak versi cerita mengenainya. Salah satunya begini: Nama Janda Baik wujud berdasarkan sebuah kisah lagenda masyakat orang Asli di sini suatu ketika dahulu. Kisah tersebut menyatakan Batin Wok dan isterinya Siah telah berpisah setelah berlakunya sedikit perselisihan faham. Setelah sekian lama berjauhan, mereka teringatkan padi huma yang mereka tanam bersama sudah mengeluarkan hasil. Oleh kerana keinginan hati mereka membuak-buak untuk melihat padi tersebut, kedua-dua mereka tergerak hati untuk kembali ke tempat asal mereka. Justeru kedua-dua mereka bertemu kembali setelah begitu lama memendam rindu dan akhirnya berbaik semula sebagai suami isteri. Daripada kisah janda yang berbaik semula dengan suaminya itulah Kampung Janda Baik mendapat nama. Peneroka asal Kampung Janda Baik ialah sekumpulan masyarakat yang berasal dari Kampung Benus dan Kampung Lebu di Bentong sekitar 1930-an.

Kini, setelah hampir 60 tahun telah berlalu, Janda Baik sudah jauh berubah. Terkenal sebagai salah sebuah lokasi terkemuka dalam sektor pelancongan tanah air, Kampung Janda Baik pernah memenangi Kampung Tercantik peringkat daerah Bentong pada tahun 2000. Selain itu, Kampung Janda Baik juga pernah merangkul tempat pertama dalam Pertandingan Keceriaan Kampung pada tahun 2001.

Untuk bermalam di sini tidak ada masalah. Di sini banyak resort pelancongan. Yang bertaraf bintang ada dan yang berbentuk homestay pun ada. Selain menikmati kesegaran udara dan merasai dan bermandi-manda di aliran jernih air daripada tiga sungai, kita boleh juga melakukan 'jungle tracking' untuk menikmati keindahan air terjun di Banjaran Titiwangsa. Hubungilah pengusaha resort di sini, mereka sedia membantu.

Selama sehari di sini kami sempat bermandi-manda di Pulau Santap, kawasan perkelahan popular di kampung ini. Kami juga merayau melihat dan menikmati deruan aliran sungai yang jernih. Sebelum itu kami singgah di Kalis Nursery & Landscaping untuk membeli tanaman hiasan Costus dan Mulberri disamping menyelusuri dan menikmati taman heliconia (untuk cari idea buat taman heliconia di rumah kami). Kami juga sempat melawat keindahan dan keunikan taman (University of Life) di rumah Pak Habib. Bersalaman dengan Pak Habib dan bertayakan khabar. Pada masa itu ada ramai pelancong di rumah Pak Habib termasuk yang datang dari USA dan Taiwan.

Kami meninggalkan kampung ini pada pukul 5.00 petang balik ke Putrajaya rumah adik. Lebuhraya menuju Sg Besi sesak macam pagi tadi juga. Membosankan...

Sekilas mengenai Janda Baik:
  • Dibuka secara rasmi pada 1932.
  • Terletak kira-kira 36 kilometer dari Kuala Lumpur dan 40 kilometer dari Bentong, Pahang.
  • Kedudukan kawasan di Banjaran Titiwangsa pada ketinggian 600 hingga 800 meter dari paras laut.
  • Suhu mencecah 28 darjah Celsius (siang) dan 22 darjah Celsius (malam).
  • Menyimpan khazanah flora dan fauna, termasuk pokok Balau berusia 250 tahun.
  • Mempunyai empat kampung tradisional Melayu, iaitu Kampung Sum Sum, Cheringin, Chemperoh, Kampung Janda Baik dan Kampung Orang Asli Semelai.
  • Menjadi tempat pertemuan empat aliran sungai utama iaitu Sungai Benus, Sungai Cheringin, Sungai Sum Sum dan Sungai Chemparoh.
  • Tanaman halia dan pelancongan sumber ekonomi utama penduduk Janda Baik