Showing posts with label Aidiladha dan Korban. Show all posts
Showing posts with label Aidiladha dan Korban. Show all posts

Thursday, 24 September 2015

MENGHAYATI PERISTIWA KORBAN

Hari Raya Aidiladha mempunyai makna yang cukup besar kepada seluruh umat Islam di dunia. Ia juga dikenali sebagai hari raya haji, sempena umat Islam yang sedang menunaikan ibadah haji di tanah suci Mekah.  

Salah satu keistimewaan Aidiladha ialah ibadat korban. Ibadat korban ini hanya boleh dilakukan dalam empat hari bermula selepas khatib menyampaikan khutbah Aidiladha sehingga sebelum tenggelam matahari pada hari ke 13 Zulhijjah.  

Dari segi bahasa, korban bermaksud dekat, manakala dari segi istilah ia bermaksud menjalankan perintah agama atau taat kepada perintah Allah kerana ingin mendekatkan diri kepadaNya.  

Menjelang hari mulia ini juga kita sering teringat kepada sejarah Nabi Ibrahim menyembelih anaknya Nabi Ismail selepas menerima wahyu dari Allah supaya berbuat demikian. Pada suatu hari Nabi Ibrahim bermimpi, dalam mimpinya itu Allah menyuruh Nabi Ibrahim menyembelih anaknya yang bernama Ismail.  

Selepas dari mendapat mimpi itu, Nabi Ibrahim pun memberitahu isterinya yang bernama Siti Hajar. Maka berbincanglah Nabi Ibrahim, Siti Hajar dan Ismail. Siti Hajar berkata,"mungkin mimpimu itu hanya mainan tidur saja tetapi kalau mimpi itu merupakan wahyu, wajiblah dituruti."  

Apabila mendengar kata-kata ibunya, Ismail berkata kepada bapanya, "Ayahku, sekiranya ini merupakan wahyu dari Allah SWT, aku sedia merelakan diriku untuk disembelih". Setelah persetujuan dicapai, keesokan harinya Nabi Ibrahim pun membawa puteranya Ismail untuk disembelih.  

Perkara Nabi Ibrahim hendak menyembelih anaknya telah sampai kepada pengetahuan orang ramai. Hal ini membuat orang ramai takut sehingga ada yang mengatakan, "Nampaknya Nabi Ibrahim mungkin sudah gila hinggakan mahu menyembelih anaknya sendiri. Kalau kita biarkan perkara ini, nanti kitapun akan dibunuhnya".  

Walau apa pun tuduhan orang terhadapnya, namun Nabi Ibrahim tetap menjalankan tugas yang diperintahkan oleh Allah SWT terhadapnya. Setelah Nabi Ibrahim dan anaknya Ismail sampai pada tempat yang dituju, berkatalah anaknya, "Wahai ayahku, aku fikir cara yang baik untuk menyembelih adalah dengan cara aku disembelih dalam keadaan menelungkup tapi mata ayah hendaklah ditutup. Kemudian ayah hendaklah tahu arah pedang yang tajam dan ayah kenakan tepat kepada leherku.  

Kemudian Nabi Ibrahim pun melaksanakan perintah yang Allah SWT perintahkan dalam mimpinya. Baginda pun mengucapkan kalimah atas nama Allah lalu memancungkan pedangnya pada leher anaknya itu. Maka terperciklah darah mengenai badan Nabi Ibrahim. Sebagai seorang manusia biasa, Nabi Ibrahim pun menggeletar dan membuka penutup matanya.  

Tetapi alangkah terperanjatnya apabila melihat yang disembelihnya itu bukanlah anaknya melainkan seekor kibas. Dengan memuji kebesaran Allah SWT kedua-duanya pun berpeluk-peluk sambil bersyukur kepada Tuhan kerana memberi kekuatan sehingga dapat melaksanakan amanat dari Allah SWT.  

Seharusnya peristiwa pengorbanan yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail a.s ini diceritakan berulangkali agar ia tidak dilupakan, terutamanya oleh generasi muda. Berapa ramai agaknya anak muda di zaman ini yang sanggup berkorban merelakan diri disembelih oleh ayah sendiri?  

Peristiwa pengorbanan Nabi Ibrahim menyembelih anak kandungnya Nabi Ismail, mempamerkan sifat ketakwaan dan ketaatan seorang hamba Allah demi menegakkan agama Islam walapun terpaksa mengorbankan anak kesayangan sendiri. Setiap orang Islam sepatutnya memahami dan menghayati makna di sebalik peristiwa tersebut.  

Peristiwa tersebut memberi makna yang cukup besar terutamanya dalam kehidupan hari ini di mana kebanyakan manusia semakin sibuk mengejar kemewahan dan kesenangan hidup. Pengorbanan bukanlah suatu perkara yang senang dilakukan, sebaliknya ia adalah sesuatu yang amat sukar.  

Ibadat haji itu sendiri merupakan suatu pengorbanan apabila seseorang sanggup berkorban masa, tenaga dan wang ringgit untuk menunaikannya. Pengorbanan di antara sesama manusia contohnya, apabila seorang suami berpenat lelah mencari rezeki dan mendidik keluarganya serta pengorbanan seorang isteri terhadap suami dan anak-anak.  

Seorang ibu yang sanggup tidak tidur semalaman kerana menjaga anaknya yang sakit juga telah berkorban. Tidak terkecuali pengorbanan ibu yang terpaksa bangun di tengah malam membancuh susu untuk anaknya. Walaupun nampak kecil, ia sebenarnya bukan sesuatu yang mudah untuk dilakukan jika tidak sanggup berkorban serta mengharapkan keredhaan Allah semata-mata.  

Dalam aspek kemasyarakatan, individu yang sanggup berkorban bakal mewujudkan suasana yang bahagia, aman dan tenang di dalam sesebuah masyarakat. Sikap tolong menolong, saling bantu membantu akan mengeratkan lagi hubungan silaturrahim di antara satu sama lain.  

Sikap bekerjasama dan mengambil berat ini akan dapat mengikis perasaan mementingkan diri sendiri. Seterusnya ia bakal menjadikan umat Islam kuat serta mampu menangkis sebarang anasir yang tidak sihat dari mempengaruhi masyarakat. Namun pengorbanan haruslah ikhlas kerana Allah yakni, bagi mendapat keredhaan Allah semata-mata, bukan dengan tujuan untuk bermegah-megah atau menunjuk-nunjuk.  

Harus diingat bahawa setiap dari kita berpotensi untuk melakukan pengorbanan. Memetik kata-kata seorang cendekiawan, "Isteri jadilah Siti Hajar walau suami bukan Nabi Ibrahim dan jadikan anak-anak kita Nabi Ismail".


Sumber:  IKIM

SELAMAT HARI RAYA AIDILADHA


Tuesday, 15 October 2013

IBADAH KORBAN

Pada Aidiladha tahun ini kami mengambil bahagian membuat ibadah korban bersama guru-guru SMK Telok Kerang.

Aidiladha yang disebut hari raya korban, mengajak kita mengenang kembali suatu bentuk ketaatan, kepatuhan manusia terhadap Allah SWT, sebagaimana yang dilaksanakan oleh Nabi Ibrahim, Nabi Ismail dan Siti Hajar. Nabi Ibrahim a.s. rela meninggalkan anak dan isteri di padang sahrak yang tandus. Siti Hajar rela ditinggalkan bersendirian tanpa teman dan bekalan makanan yang mencukupi. Kerana kepatuhan dan ketaatanlah Nabi Ibrahim rela menyembelih anak kandungnya yang tunggal. Sedang Ismail a.s. sanggup menyerahkan lehernya untuk disembelih ayahnya. Setelah nyata ketaatan dan pengorbanan Nabi Ibrahim melalui ujian tersebut, maka Allah gantikan anaknya dengan seekor kibas untuk disembelih. Maka selamat dan sejahteralah keduaduanya setelah lulus ujian yang sangat getir itu.

Ya Allah, kami mohon supaya Engkau terimalah ibadah korban yang kami lakukan pada tahun ini. Jadikanlah darah, tanduk dan bulu-bulunya sebagai kebajikan yang akan diperhitung dalam timbangan amal kami di hari akhirat kelak. Amin.








SALAM AIDILADHA

Kami mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada semua kaum muslimin dan muslimat.

Apa yang penting daripada ibadah haji, bukan berapa kali seseorang itu menunaikannya, tetapi yang amat penting ibadah haji yang dilakukan itu dapat membentuk perilaku dan sahsiah seseorang menurut syariat Islam. Itulah ukuran mereka yang layak memperoleh haji yang mabrur.

Sabda Rasulullah S.A.W.: 
“Haji yang mabrur itu tidak lain balasannya, melainkan balasan syurga”. (Riwayat At-Tirmidzi)


Friday, 26 October 2012

AIDILADHA DAN PEMATUHAN SYARIAT ALLAH SWT

SELAMAT HARI RAYA AIDILADHA

Pada hari ini 10 Zulhijjah sebagaimana seperti pada setiap tahun, seluruh umat Islam menyambut hari raya Haji atau hari raya Korban. Hari ini jutaan umat Islam berada di Makkah menunaikan ibadah Haji. Bagi kita yang tidak berkesempatan untuk ke tanah suci, maka pada hari ini kita berhimpun, bertakbir, bertahmid dan menunaikan solat sunat iduladha. Seterusnya pada hari ini juga, umat Islam diperintah dan disunatkan berkorban binatang ternakan sebagai korban untuk disedekahkan dagingnya kepada fakir misikin semata-mata kerana Allah SWT.  Sabda Rasulullah SAW:

Mafhumnya: Sesungguhnya pertama-tama amalan yang kita lakukan pada hari ini (iduladha) ialah supaya kita solat kemudian kembali ke rumah lalu kita menyembelih korban, maka barangsiapa yang mengerjakan sedemikian ia telah mengikut sunnahku. Adapun orang yang menyembelih sebelum melakukan solat, maka itu hanyalah merupakan daging yang hendak dipergunakan untuk keluarganya sahaja, tidak termasuk amalan ibadah penyembelihan korban”. (Riwayat Muslim dan al Bukhari)

Aidiladha merupakan hari perayaan yang sangat istimewa dalam syariat Islam. Keistimewaannya ialah kerana mempunyai dua tuntutan ibadah besar yang dilaksanakan secara serentak di seluruh dunia iaitu:
  1. Di tanah suci Mekah dilaksanakan ibadah haji. Bermula 9 Zulhijjah berjuta-juta umat Islam menyempurnakan ibadah haji dengan berwukuf di padang Arafah, tawaf di Kaabah dan melontar jamrah. Meskipun di padang Arafah matahari panas terik, namun dengan  berpakaian yang sama dan tujuan yang sama, mereka tetap mengabdikan diri kepada Allah SWT. Syiar ibadah haji juga merupakan perhimpunan tahunan yang disyariatkan oleh Allah dalam bentuk yang amat berkesan iaitu mengikat kesatuan dan perpaduan melalui pegangan akidah yang satu dan bukannya melalui fahaman bangsa dan material. Inilah asas perpaduan yang dipraktikkan oleh Nabi SAW yang berjaya menegakkan negara Islam Madinah hanya dalam masa 10 tahun.
  2. Seluruh umat Islam di segenap ceruk rantau dunia semenjak hari Arafah hingga tamat hari Tasyrik mengumandangkan gema takbir, tahlil dan tahmid dengan suara yang penuh keyakinan mengisytiharkan pengakuan bahawa hanya Allah SWT sebagai  tuhan yang perlu disembah, dipatuhi dan ditakuti. Pengajarannya kepada kita ialah supaya seluruh kehidupan, setiap perjuangan dan segenap pekerjaan yang dilakukan mestilah atas dasar penyerahan diri kepada Allah SWT.

Pengabdian diri kepada Allah SWT mestilah diterjemahkan melalui pelaksanaan syariat Allah yang terkandung dalam al-Qur'an dan as-Sunnah. Perlu kita insafi bahawa timbulnya pelbagai isu dan permasalahan dalam masyarakat seperti gejala keruntuhan akhlak, penyelewengan moral, jenayah rompakan, rogol, bunuh, penagihan dadah, penghidap AIDS, kes-kes rasuah, pecah amanah dan sebagainya; adalah kerana belum menyeluruhnya penghayatan kita kepada tuntutan-tuntutan syarak. Hal ini dinyatakan oleh Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 85:

Maksudnya: Sesudah itu maka patutkah kamu hanya percaya kepada sebahagian (dari isi) kitab Taurat dan mengingkari akan sebahagian yang lain?. Maka tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian itu dari antara kamu selain dari kehinaan ketika hidup di dunia; dan pada hari kiamat akan ditolak mereka ke dalam azab seksa yang amat berat, dan (ingatlah) Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang kamu lakukan.

Aidiladha dengan pensyariatan ibadah korban adalah isyarat yang jelas daripada Allah mengenai keperluan berkorban tenaga, masa dan harta benda demi agama Allah SWT. Tanpa pengorbanan agama, fikiran dan harta benda, tidak mungkin syariat Allah SWT dapat ditegakkan. Renungkanlah sejarah pengorbanan agong Nabi Ibrahim AS yang sanggup menyembelih Nabi Ismail AS, satu-satunya anak kesayangan Baginda semata-mata pengorbanan kepada Allah SWT. Inilah satu contoh seorang bapa yang berjaya membina sebuah keluarga yang cemerlang. Demikian juga, kepatuhan Hajar kepada suaminya Nabi Ibrahim untuk tinggal keseorangan di tanah gersang Mekah, merupakan model isteri mithali yang sanggup mengorbankan jiwa raga semata-mata kepatuhan kepada perintah Allah dan Nabi-Nya.

Demikian juga kerelaan seorang anak iaitu Nabi Ismail AS untuk disembelih oleh bapanya, semata-mata kerana perintah Allah adalah merupakan isyarat bahawa berkorban sebenarnya tidak melihat kepada usia. Ini bermakna samada golongan tua, dewasa, belia, lelaki dan wanita, perlu bersedia untuk berkorban apa sahaja demi tertegaknya akidah tauhid dan terlaksananya syariat Allah SWT. Inilah intipati pengajaran daripada pengorbanan agong yang diterokai oleh Nabi Ibrahim AS, isteri dan anaknya alahimussolatuwassalam. Firman Allah SWT dalam surah As-Saafaat ayat 103-107:

Maksudnya: Setelah keduanya berserah diri, dan Nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya di atas tompok tanah. Serta Kami menyerunya: Wahai Ibrahim! Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi itu. Demikianlah sebenarnya kami membalas orang yang berusaha mengerjakan kebaikan. Sesungguhnya perintah ini adalah satu ujian yang nyata. Dan Kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar. Dan Kami kekalkan baginya nama yang harum dalam kalangan orang yang datang kemudian.

Kedudukan umat Islam akhir-akhir ini semakin dicabar oleh musuh Islam dan pihak yang tiada kaitan dengan Islam. Cahaya kebenaran Islam sentiasa cuba dipadamkan oleh musuh Islam di mana mereka tidak pernah rehat dan berhenti dalam memesongkan manusia daripada menerima kebenaran Islam. Maka pada hari ini kita dapat lihat bagaimana mereka berusaha menghasut dunia agar membenci dan memusuhi Islam dan umatnya. Mereka sanggup lakukan segalanya termasuk penipuan dan penghinaan. Mereka menerbitkan suatu filem pendek yang menghina Nabi Muhammad SAW yang digambarkan sebagai seorang penipu, gila seks dan menyeru untuk pembunuhan beramai-ramai. Mereka juga menerbitkan karikatur yang memaparkan Nabi Muhammad dalam keadaan bogel. Mereka juga mengambarkan umat Islam sebagai mereka yang ganas dan suka bermusuhan.

Ingin ditegaskan di sini bahawa perbuatan ini, sebenarnya merupakan satu kebiadaban kepada umat Islam, dan akan mencetuskan kemarahan ummah. Justeru, mimbar ingin berpesan kepada semua pihak agar jangan cuba bermain api dengan umat Islam yang sememangnya cinta dan kasih kepada junjungan besar Nabi SAW. Sebagai umat Islam kita tidak akan membiarkan pemimpin agung ini dicaci apatah lagi digambarkan dalam keadaan yang hina. Biar darah mengalir ke bumi namun umat Islam tidak akan reda kemuliaan Rasulullah SAW dipermainkan. Sesungguhnya filem dokumentari penghinaan ke atas Nabi bukan satu insiden yang terpisah dan tersendiri, malah ia adalah suatu konspirasi terancang untuk menghina utusan Allah dan memadam cahaya Islam. Firman Allah SWT di dalam surah as-Saaf ayat 8:

Maksudnya: Mereka sentiasa berusaha hendak memadamkan cahaya Allah (agama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tetap menyempurnakan cahaya-Nya, sekalipun orang kafir tidak suka (akan yang demikian).

Jangan membiarkan mana-mana pihak bertindak sesuka hati mempertikai dan menghina Islam dan umatnya. Marilah kita bergandingan dan terus mempertahankan kesucian Islam ini sesuai dengan semangat cinta kepada Allah SWT berdasarkan peristiwa pengorbanan Nabi Ibrahim AS, Nabi Ismail AS dan Hajar. Insaflah bahawa, ibadah haji dan ibadat korban mengingatkan kita agar jangan lupa bahawa kita berada dalam satu kesatuan kemanusiaan dan jangan pula kita hancur menjadi mangsa korban kepada musuh Islam.

Marilah kita gunakan kesempatan hari yang mulia ini, untuk membina keutuhan tali persaudaraan diantara kita dengan amalan ziarah-menziarahi dan bermaaf-maafan sesama kita. Buang yang keruh, ambillah yang jernih. lebih-lebih lagi dalam menangani isu yang membabitkan agama dan masa depan umat Islam, maka sewajarnya kita sama-sama bangkit bersatu hati tanpa mempedulikan perbezaan latar belakang,  ekonomi, miskin atau kaya, berbeza latar belakang fahaman atau politik. Kita ketepikan segala perbezaan-perbezaan tersebut.

Ingatlah bahawa pengorbanan yang sebenarnya adalah pengorbanan yang berasaskan kesatuan dan perpaduan. Inilah pengorbanan yang mesti dilakukan oleh setiap kita, demi membela dan menyelamatkan Islam dan umatnya. Kesemua ini menuntut pengorbanan jiwa raga dan harta benda berlandaskan ketakwaan dan keikhlasan. Tanpa dua elemen ini, maka tidak tercapai matlamat pengorbanan seperti mana yang dituntut oleh Allah SWT. Firman Allah SWT: 

Daging dan darah binatang korban itu tidak akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya ialah ketaqwaan kamu. Demikianlah Ia memudahkan binatang itu bagimu supaya kamu mengagungkan Allah atas petunjuk-Nya kepadamu. Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang yang berusaha supaya baik amalnya.” (Al Hajj : 37)

Marilah kita menghayati tuntutan-tuntutan syarak yang terkandung dalam amalan ibadah haji dan ibadah korban yang berpaksikan hubungan kita yang erat dengan Allah SWT dan hubungan kita sesama kita, demi kecemerlangan di dunia dan kesejahteraan di akhirat. Mimbar ini berpesan bahawa hari raya korban yang dirayakan tanpa pematuhan kepada syariat Allah SWT, tidak akan memberi apa-apa makna dan kesan kepada kita. Semoga semangat pengorbanan Nabi Ibrahim AS yang suci, Nabi Ismail AS yang berani dan bondanya Hajar yang begitu tabah hati, mampu menyuntik semangat kepada kita semua. Marilah sama-sama kita menghayati firman Allah SWT dalam surah al-Kauthar ayat 1-3:

Maksudnya "Sesungguhnya kami telah mengurniakan kepadamu (wahai Muhammad) kebaikan-kebaikan yang banyak (di dunia dan akhirat). Oleh itu kerjakanlah sembahyang kerana tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur). Sesungguhnya orang yang bencikan engkau, dialah yang terputus (dari mendapat sebarang perkara yang diingininya)."

Sunday, 6 November 2011

SELAMAT HARI RAYA AIDILADHA

Kami sekeluarga mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada semua umat Islam. Hari ini merupakan salah satu daripada hari kebesaran Islam yang diraikan setiap 10 Zulhijjah setiap tahun.

Selepas solat Sunat Aidiladha, pada hari ini juga, umat Islam yang mampu disunatkan melakukan ibadah korban sebagai tanda ingatan terhadap peristiwa Nabi Ibrahim Alaihissalam yang begitu cekal mengorbankan anak kesayangan, Ismail Alaihissalam.

Mengapa?   

Tidak lain hanyalah kerana demi patuh dan taat baginda terhadap perintah Allah swt. Di samping itu melalui peristiwa ini jelas membayangkan betapa setiap yang hendak dikorbankan itu mestilah sesuatu yang bersifat paling disayangi dan berharga. Ibadah ini juga boleh melatih perasaan individu Muslim agar jangan bersikap bakhil dan kedekut di dalam mengeluarkan harta demi membela dan membantu golongan yang lebih memerlukan seperti orang-orang fakir dan miskin.

Firman Allah Subhanahu Wataala di dalam Surah Al-Hajj ayat 37 yang bermaksud:

“Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan takwa dari kamu….”

Wednesday, 17 November 2010

NIAT DI HATI NAK MELAKUKAN IBADAH KORBAN TAPI APAKAN DAYA LEMBU TERLEPAS LARI

Yang tua dan yang muda bersama-sama menyembelih,
 melapah dan mengagihkan daging korban.
Hari ini umat Islam di seluruh dunia merayakan Hari Raya Aidiladha. Ia adalah perayaan terbesar di dalam Islam selain daripada Hari Raya Aidilfitri. Aidiladha disambut pada hari ke sepuluh, sebelas, dua belas dan tiga belas bulan Zulhijjah setiap tahun.

Pada Hari Raya Aidiladha ini juga, umat Islam disunatkan melakukan ibadah korban sebagai tanda ingatan terhadap peristiwa Nabi Ibrahim Alaihissalam telah mengorbankan anak baginda, Ismail Alaihissalam. Betapa setiap yang hendak dikorbankan itu mestilah sesuatu yang bersifat paling disayangi dan berharga. Selain daripada itu Ibadah ini juga boleh melatih perasaan individu Muslim agar jangan bersikap bakhil dan kedekut di dalam mengeluarkan harta demi membela dan membantu golongan yang lebih memerlukan seperti orang-orang fakir dan miskin.

Ibadah korban ialah penyembelihan haiwan tertentu pada tanggal 10, 11, 12 dan 13 Zulhijjah dengan maksud untuk mendekatkan diri kepada Allah s.w.t.. Hukum menyembelih haiwan korban pada Hari Raya Aidiladha  ialah sunat muakkad dan meninggalkannya adalah makruh.

Firman Allah s.w.t. maksudnya : “Dan bacakanlah kepada mereka berita tentang dua anak Adam iaitu Habil dan Qabil dengan benar, ketika anak Adam itu mempersembahkan korbannya, maka Allah menerima korban salah seorang dari keduanya iaitu Habil dan tidak diterima korban yang seorang lagi iaitu Qabil. Qabil berkata: Aku pasti membunuhmu? Habil berkata: “Sesunguhnya Allah hanya menerima korban dari orang-orang yang bertakwa”. (Surah al-Maidah ayat 27.

Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya :“Tidak ada amalan yang dilakukan oleh anak Adam pada Hari Raya Korban yang lebih disukai Allah melainkan menumpahkan darah (menyembelih binatang korban). Sesungguhnya binatang korban itu akan datang pada hari kiamat bersama tanduk, kuku dan bulunya dan Allah memberi pahala ibadah korban itu sebelum darah binatang korban itu jatuh ke bumi. Oleh itu, elokkanlah korban kamu.” (Hadis riwayat Tirmidzi, Ibnu Majah dan Hakim).
Kami sekeluarga sememangnya berniat hendak melakukan ibadah korban ini. Sebulan sebelum Aidiladha, kami dah tempah seekor lembu daripada Tn. Hj. Mohd Talib bin Salamon, seorang penternak lembu di kampung kami. Pada hari Selasa iaitu sehari sebelum Aidiladha lembu yang telah ditangkap meliar dan terlepas lari entah ke mana. Lembu-lembu lain pula telah ada pembelinya yang juga untuk dikorbankan. Jadi dalam waktu yang terdekat itu, Tn. Hj. Talib tak dapat mencari lembu lain sebagai penggantinya. Tak apalah, Allah belum mengizinkan....
Kami tumpang kegembiraan di pagi Aidiladha ini dengan sama-sama bergotong-royong melakukan ibadah korban di kawasan masjid kampung kami. Ada juga individu yang melakukan ibadah korban di rumah masing-masing. Kalau ikut rancangan, ada tujuh ekor lembu yang akan dikorbankan, tetapi oleh kerana ada dua yang terlepas cuma lima sahaja yang disembelih. Syukur kepada Allah SWT....

SELAMAT HARI RAYA AIDILADHA

Selamat Hari Raya Aidiladha