Wednesday, 17 November 2010

NIAT DI HATI NAK MELAKUKAN IBADAH KORBAN TAPI APAKAN DAYA LEMBU TERLEPAS LARI

Yang tua dan yang muda bersama-sama menyembelih,
 melapah dan mengagihkan daging korban.
Hari ini umat Islam di seluruh dunia merayakan Hari Raya Aidiladha. Ia adalah perayaan terbesar di dalam Islam selain daripada Hari Raya Aidilfitri. Aidiladha disambut pada hari ke sepuluh, sebelas, dua belas dan tiga belas bulan Zulhijjah setiap tahun.

Pada Hari Raya Aidiladha ini juga, umat Islam disunatkan melakukan ibadah korban sebagai tanda ingatan terhadap peristiwa Nabi Ibrahim Alaihissalam telah mengorbankan anak baginda, Ismail Alaihissalam. Betapa setiap yang hendak dikorbankan itu mestilah sesuatu yang bersifat paling disayangi dan berharga. Selain daripada itu Ibadah ini juga boleh melatih perasaan individu Muslim agar jangan bersikap bakhil dan kedekut di dalam mengeluarkan harta demi membela dan membantu golongan yang lebih memerlukan seperti orang-orang fakir dan miskin.

Ibadah korban ialah penyembelihan haiwan tertentu pada tanggal 10, 11, 12 dan 13 Zulhijjah dengan maksud untuk mendekatkan diri kepada Allah s.w.t.. Hukum menyembelih haiwan korban pada Hari Raya Aidiladha  ialah sunat muakkad dan meninggalkannya adalah makruh.

Firman Allah s.w.t. maksudnya : “Dan bacakanlah kepada mereka berita tentang dua anak Adam iaitu Habil dan Qabil dengan benar, ketika anak Adam itu mempersembahkan korbannya, maka Allah menerima korban salah seorang dari keduanya iaitu Habil dan tidak diterima korban yang seorang lagi iaitu Qabil. Qabil berkata: Aku pasti membunuhmu? Habil berkata: “Sesunguhnya Allah hanya menerima korban dari orang-orang yang bertakwa”. (Surah al-Maidah ayat 27.

Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya :“Tidak ada amalan yang dilakukan oleh anak Adam pada Hari Raya Korban yang lebih disukai Allah melainkan menumpahkan darah (menyembelih binatang korban). Sesungguhnya binatang korban itu akan datang pada hari kiamat bersama tanduk, kuku dan bulunya dan Allah memberi pahala ibadah korban itu sebelum darah binatang korban itu jatuh ke bumi. Oleh itu, elokkanlah korban kamu.” (Hadis riwayat Tirmidzi, Ibnu Majah dan Hakim).
Kami sekeluarga sememangnya berniat hendak melakukan ibadah korban ini. Sebulan sebelum Aidiladha, kami dah tempah seekor lembu daripada Tn. Hj. Mohd Talib bin Salamon, seorang penternak lembu di kampung kami. Pada hari Selasa iaitu sehari sebelum Aidiladha lembu yang telah ditangkap meliar dan terlepas lari entah ke mana. Lembu-lembu lain pula telah ada pembelinya yang juga untuk dikorbankan. Jadi dalam waktu yang terdekat itu, Tn. Hj. Talib tak dapat mencari lembu lain sebagai penggantinya. Tak apalah, Allah belum mengizinkan....
Kami tumpang kegembiraan di pagi Aidiladha ini dengan sama-sama bergotong-royong melakukan ibadah korban di kawasan masjid kampung kami. Ada juga individu yang melakukan ibadah korban di rumah masing-masing. Kalau ikut rancangan, ada tujuh ekor lembu yang akan dikorbankan, tetapi oleh kerana ada dua yang terlepas cuma lima sahaja yang disembelih. Syukur kepada Allah SWT....

No comments:

Post a Comment