Showing posts with label Kampungku. Show all posts
Showing posts with label Kampungku. Show all posts

Thursday, 12 November 2009

WAK DOL KADIR MASUK TV3 KERANA LALAT


Wak Dol Kadir masuk TV3 kerana lalat. Berita ini benar-benar berita. Ia disiarkan semasa Buletin Utama TV3 pukul 8.00 malam hari ini 12 Nov. 2009. Beritanya mengenai lalat yang terlalu banyak di kampung kami khususnya di rumah Wak Dol Kadir. Rumah Wak Dol Kadir ni bersempadan dengan reban ayam. Dalam berita tu kelihatan rumah Wak Dol Kadir, lalat di rumah Wak Dol Kadir dan reban ayam yang menjadi punca ketidakselesaan kami. Sebenarnya cerita mengenai lalat yang berpunca dari reban ayam di kampung kami telah lama berlaku. Orang lain kaya raya kami yang menerima padahnya. Lalat-lalat itu dah tak mengira waktu. Pukul 2 pagi pun masih berterbangan di rumah kami asalkan ada cahaya. Terima kasih kepada TV3 atas pendedahan ini.

Wednesday, 11 November 2009

KAMPUNG KAMI DAPAT BANGUNAN SEKOLAH AGAMA


Sesuatu yang menggembirakan apabila kampung kami dapat bangunan sekolah agama. Ia dibina di atas tanah wakaf yang dikhaskan untuk pembinaan sekolah agama. Pada bulan puasa yang lepas kerja-kerja menambak tanah giat dijalankan. Sekarang kerja-kerja menanam cerucuk sedang dijalankan.







Tuesday, 1 September 2009

RAMADHAN DI KAMPUNGKU


Ramadhan di kampungku samalah seperti di tempat-tempat lain di Malaysia. Di siang hari masyarakatnya terus bekerja seperti biasa mencari nafkah untuk meneruskan kehidupan. Ada kalanya terdengar bunyi meriam dan mercun. Kerja budak-budak....

Di malam hari, seperti biasa pada awal-awal Ramadhan ini ramailah jemaah bersolat tarawih. Meriah suasana di masjid. Rasa-rasanya masjid jadi terang benderang. Ramai jemaah yang hadir bersolat tarawih. Lelaki dan perempuan. Anak-anak pun ramai yang hadir. Solat tarawih diimamkan olah Tn. Hj. Mohd. Sapii Bin Kadar. Kadang-kadang Tn. Hj. Hanafi Bin Sahed jadi imam jika ketiadaan Tn. Hj. Mohd. Sapii. Bilalnya ialah En. Ahmad Bin Ithnin (Wak Amat). Selepas solat tarawih diadakan pula tadarus al-Quran. Tadarus dibuat berpasang-pasangan. Seorang baca ayat-ayat al-Quran dan seorang lagi menyemak bacaan rakannya. Selepas itu dia orang makan-makan dan minum sambil berbual-bual di serambi masjid. Orang kampung kami biasanya pakat-pakat mengikut giliran membawa sedikit penganan ke masjid. Selepas solat tarawih, anak-anak remaja menghidangkan dan menyusun penganan tersebut ....kemudian pakat makan ramai-ramai.

Di bulan Ramadhan ini wujud gerai jual kuih-muih di kampung kami. Satu di Parit Rambai Hilir dan beberapa gerai di Parit Rambai Ulu. Kira-kira bazaar Ramadhan jugalah tu... Adalah pilihan bagi penduduk kampung untuk memenuhkan meja makan semasa berbuka.... Oleh kerana kampung ini tidaklah jauh sangat dari bandar Pontian, maka ada di kalangan penduduk kampung yang membeli juadah buka puasa di bazaar Ramadhan di bandar Pontian. Pilihan lebih banyak dan lebih meriah.

SELAMAT BERPUASA.

Tuesday, 4 August 2009

KAMPUNG KAMI BERNAMA KAMPUNG PARIT RAMBAI


Dahulu kami tinggal di Perak sebab kerja di sana. Mula-mula di Sitiawan, kemudian pindah ke Taiping. Di Taiping pada mulanya menyewa rumah kawan di Taman Saujana dekat dengan Lapangan Terbang Tekah. Kemudian kami buat rumah sendiri di kawasan perumahan PKNP Larut Tin. Sebenarnya saya Johorean. Orang rumah anak jati Perak. Emak mertua tinggal di Bagan Serai. Tiga orang anak semua lahir di Perak.

Sekarang kami menetap di sebuah kampung di hujung tanah semenanjung. Kampung kami bernama Kampung Parit Rambai, di daerah Pontian. Kampung Parit Rambai, Rambah, Pontian, Johor. Kampung ini dinamakan sedemikian kerana semasa penerokaannya pada tahun 1940an dulu, banyak terdapat pokok rambai. Pokoknya besar-besar pulak tu. Ia terletak 10 km dari bandar Pontian dalam kawasan Parlimen Tanjung Piai dan DUN Kukup.

Saya di lahirkan di kampung ini. Di kampung inilah saya bermain, belajar, bersekolah dan lain-lain bersama kedua ibu bapa, adik beradik, kawan-kawan dan orang kampung. Kampung ini taklah besar dan taklah kecil. Penduduknya lebih kurang seramai 2000 orang. Majoritinya msyarakat melayu keturunan jawa. Didalamnya ada sebuah masjid, dua buah surau, sebuah sekolah kebangsaan dan sekolah agama, dua TADIKA, satu balairaya, tiga kedai runcit, tiga warung, sebuah klinik desa, sebuah padang bolasepak, dan dua tanah kubur. Kampung ini dibahagikan kepada tiga kawasan iaitu Parit Rambai Hilir, Parit Rambai Ulu, dan Parit Gantung. Jalan-jalan di kampung ini ialah Jalan Parit Rambai Hilir, Jalan parit Rambai Ulu, Jalan Parit Dukacita, Jalan Parit Ponorogo, Jalan Parit Sukaraja, Jalan Parit Gantung, Jalan Parit Hj. Kasimon, dan Jalan Dato' Ajib. Jiran-jiran kampung ini ialah Kampung Rambah, Kampung Telok Kerang, Kampung Parit Sulaiman, Kampung Sri Bunian, Kampung Tenggayun, dan Kampung Parit Tegong. Banyak jalan masuk ke kampung ini. Di antaranya dari Sungai Rambah, dari Sri Bunian dan dari Parit Sulaiman. Ketika ini ketua kampung ialah Hj. Mohd Talib Hj Salamon. Jalan-jalannya telah diturap tar. Seratus peratus penduduk menikmati kemudahan bekalan elektrik, telefon dan air 24 jam. Boradband hanya GPRS sahaja dapat diterima.

Kampung ini ada Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung, Jawatankuasa K-Bestari, Jawatankuasa Masjid Annur, Jawatankuasa surau-surau, Jawatankuasa Kompang, Jawatankuasa Persatuan Belia, Jawatankuasa Pakatan, Jawatankuasa Pasukan Rela, dan Jawatankuasa Yasin dan Tahlil. Di antara kegiatan-kegiatan kemasyarakatan yang biasa dan selalu diadakan ialah majlis bacaan surah yasin dan tahlil setiap malam Jumaat dan hari Ahad, ceramah-ceramah agama, majlis sambutan maulidurrasul, kegiatan-kegiatan yang dianjurkan oleh PIBG SK Parit Rambai, kegiatan-kegiatan yang dikelolakan oleh K. Bestari, rewang kenduri kahwin, gotong-royong, sukan dan permainan dan lain-lain yang diadakan dari semasa ke semasa. Satu aktiviti di kampung ini yang saya paling suka dan hadir jika ada kesempatan ialah kenduri tahlil. Dalam majlis ini selain membaca kalimah-kalimah al-Quran, saya dapat makan nasi ambeng. Sedap makan berkat nasi ambeng ni.... Nasi ambeng sinonim dengan orang jawa.




Lokasi Kampung Parit Rambai, Rambah, Pontian, Johor yang terletak di hujung Semenanjung.


Tanda nama kampung dan penunjuk arah jalan masuk ke kampung Parit Rambai.


Jalan masuk ke Kampung Parit Rambai dari Kampung Tenggayun.

Jalan masuk ke Kampung Parit Rambai dari tepi Sungai Rambah, Jalan Kukup.

Jalan masuk ke kampung di tepi tali air.



Masjid Annur, Kampung Parit Rambai.








Sekolah Kebangsaan Parit Rambai, Pontian, Johor.

Klinik Desa Kampung Parit Rambai.

Balairaya Kampung Parit Rambai sedang diubahsuai.