Tuesday 1 September 2009

RAMADHAN DI KAMPUNGKU


Ramadhan di kampungku samalah seperti di tempat-tempat lain di Malaysia. Di siang hari masyarakatnya terus bekerja seperti biasa mencari nafkah untuk meneruskan kehidupan. Ada kalanya terdengar bunyi meriam dan mercun. Kerja budak-budak....

Di malam hari, seperti biasa pada awal-awal Ramadhan ini ramailah jemaah bersolat tarawih. Meriah suasana di masjid. Rasa-rasanya masjid jadi terang benderang. Ramai jemaah yang hadir bersolat tarawih. Lelaki dan perempuan. Anak-anak pun ramai yang hadir. Solat tarawih diimamkan olah Tn. Hj. Mohd. Sapii Bin Kadar. Kadang-kadang Tn. Hj. Hanafi Bin Sahed jadi imam jika ketiadaan Tn. Hj. Mohd. Sapii. Bilalnya ialah En. Ahmad Bin Ithnin (Wak Amat). Selepas solat tarawih diadakan pula tadarus al-Quran. Tadarus dibuat berpasang-pasangan. Seorang baca ayat-ayat al-Quran dan seorang lagi menyemak bacaan rakannya. Selepas itu dia orang makan-makan dan minum sambil berbual-bual di serambi masjid. Orang kampung kami biasanya pakat-pakat mengikut giliran membawa sedikit penganan ke masjid. Selepas solat tarawih, anak-anak remaja menghidangkan dan menyusun penganan tersebut ....kemudian pakat makan ramai-ramai.

Di bulan Ramadhan ini wujud gerai jual kuih-muih di kampung kami. Satu di Parit Rambai Hilir dan beberapa gerai di Parit Rambai Ulu. Kira-kira bazaar Ramadhan jugalah tu... Adalah pilihan bagi penduduk kampung untuk memenuhkan meja makan semasa berbuka.... Oleh kerana kampung ini tidaklah jauh sangat dari bandar Pontian, maka ada di kalangan penduduk kampung yang membeli juadah buka puasa di bazaar Ramadhan di bandar Pontian. Pilihan lebih banyak dan lebih meriah.

SELAMAT BERPUASA.

No comments:

Post a Comment