Saturday 23 November 2013

BANGUNAN PERANCIS DI COLMAR TROPICALE

Colmar terletak di bahagian timur laut Perancis. Colmar (Colmer) ialah ibukota pentadbiran Haut-Rhin, Perancis. Dari tahun 1871 sehingga tahun 1918, kota ini adalah sebagian wilayah pemerintahan Jerman yang dikenali dengan nama Kolmar. Colmar masuk ke wilyah Perancis pada tahu 1697. 

Daripada sekelumit catatan sejarah itu, menyebabkan kami teringin nak tengok sendiri keadaan perkampungan dan bangunan Colmar. Namun tak terdaya aku nak pergi terus ke Colmar, Perancis. Cukuplah sekadar ke Colmar Tropicale, Berjaya Hills Resort, Bukit Tinggi, Bentung, Pahang. Di sini dibina replika bangunan-bangunan dan kota yang menyerupai dari kampung di timur laut Peranchis sejak abad ke-16  itu. Colmar Tropicale yang dimiliki oleh Berjaya Hills Resort dibina berdasarkan reka bentuk kota  di Colmar, Perancis. 

Nak ke sana, ambil jalan menuju Kuantan melalui Lebuhraya Karak. Tidak berapa jauh selepas melepasi Kampung Bukit Tinggi, belok kiri ambil pula susur keluar menuju Berjaya Hills Resort. Memandu di jalan menaik yang berliku merentasi hutan malar yang masih segar dan bersih dari pencemaran. Sambil menyusuri laluan berliku menuju puncak, bolehlah melayangkan pandangan mata ke kejauhan sana ke bukit-bukau dan lereng yang membiru. 

Pengunjung ke Colmar Tropicale biasanya diarahkan oleh pengawal keselamatan untuk meletak kenderaan mereka di La Chevalier iaitu bangunan berbentuk kota lama Perancis. Letaknya bertentangan dengan Colmar Tropicale. Jika kita menginap di Colmar Tropicale kita boleh teruskan pemanduan ke Colmar Tropicale dan parking kenderaan kita di aras bawah Colmar Tropicale.

Kami hanya berjalan-jalan nengok binaan bangunan di sini. Makanan dan minuman dah tentu lebih mahal daripada tempat lain. Kalau orang tanya dah pergi Colmar, Perancis  ke belum, aku akan jawab dah pergi dah...









 

CUTI DAN BERSANTAI DI JANDA BAIK

Bercuti dan bersantai di Kampung Janda Baik. Kami berdua menghabiskan masa bersama berdua-duan di sebuah desa yang masih alami. Dengan menyewa sebuah chalet di Pulau Santap, Janda Baik, percutian pada kali ini memang menyeronokkan. Chalet yang kami sewa itu ialah Chalet Kobaik. Chalet ini terletak betul-betul di tepi sungai dan berdekatan dengan masjid, sekolah kebangsaan, D'Ark Resort, dan kawasannya menjadi tumpuan pengunjung. Kereta boleh parkir terus di depan chalet. Kawasan chalet ini biasa-biasa sahaja dan tidak menakutkan. Pada malam hari banyak lampu terpasang. 
 
Suasana yang hening, sunyi dan harmoni ditambah pula dengan bunyi deruan air sungai jernih yang mengalir, menjadikan kami leka bermain, menikmati, dan menghayati dengan alam semulajadi. Ada ketikanya kami berjalan-jalan di sekitar kawasan chalet dan juga di sekitar kawasan kampung. Kami juga singgah di kawasan rumah Syed Hussien Alattas (penulis buku) untuk menghayati dan mengambil foto taman dan landskap yang dibinanya. Memang menarik... 
 
Ada ketikanya kami naik ke Berjaya Hills Resort di Bukit Tinggi untuk melihat seni bina bangunan Colmar. Jaraknya lebih kurang 20 km dari Kampung Janda baik ini. Memang cantik. Pelaburan orang kaya yang menjadi. Jadi kami tidak perlu ke Colmar, Perancis. Dengan menaiki kenderaan yang disediakan, kami dibawa jalan-jalan di Japanese Village di puncak bukit dengan ketinggian 3500 kaki dari paras laut. Sedikit dingin dan menyegarkan. Cantik Taman Jepun ini...


















 

Thursday 21 November 2013

JALAN-JALAN DI TAMAN JEPUN, BERJAYA HILLS RESORT

Pada cuti sekolah ini, kami berdua jalan-jalan ke Berjaya Hills Resort, Bukit Tinggi,  Bentung, Pahang. Pilihan kami ialah Japanese Village. Saja-saja nak rasa, nak menikmati dan menginginkan suasana yang tenang dan mendamaikan. Japanese Village ini berada di puncak bukit pada ketinggian 3500 dari paras laut. Bertambah unik mengenai kampung ini ialah ia terletak di kawasan hutan tropika. Taman yang direalisasi daripada ilham arkitek Jepun, Kaio Ariizumi ini dibina untuk mereka yang mencintai kehijauan hutan tropika tanah tinggi yang dingin dan nyaman. Ariizumi dan kumpulan pereka landskapnya berjaya menghidupkan penataan seni landskap taman dan perkampungan Jepun. 
 
Nak pergi ke sana mudah aje. Dari Kuala Lumpur dengan melalui Lebuhraya Karak, selepas melewati 5 kilometer dari Kampung Bukit Tinggi lalu masuk ke kiri. Ada signbord penunjuk arah di situ. Memandu terus menuju ke Berjaya Hills Resort di atas jalan menaik dan berliku. Kena bayar sekali RM12.00 apabila masuk ke kawasan Colmar Tropicale dan Japanese Village.
 
Taman Jepun yang berada dalam Japanese Village ini menyambut pengunjung dengan menawarkan taman Jepun yang mempunyai siar kaki berliku, pintu gerbang chumon, Japanese Tea House, Tatami spa, UME Tatami Suite, Botanical Garden, Ryo Zan Tei Restaurant, dan Souvenir Shop. Dengan laluan taman denai yang kemas, seni dan falsafah Jepun banyak melatari persekitaran taman.
 
Berjalan dengan melewati deretan rumpun buluh, pokok-pokok renek, ara bonsai, dan batu-batu gunung, deria pendengaran juga pasti terpaut pada irama aliran air di sungai dan riak bunyi air terjun yang menghempas ke bongkah-bongkah batu berlumut.  Ia sungguh istimewa! Di kolam ikan, dihimpunkan spesies koi dalam warna-warna garang, bersisik kuning, merah, emas, dan perak. Koi-koi itu tidak malu-malu berenang ke sana ke mari seolah-olah menghiburkan pengunjung, namun disebaliknya ia meminta makanan setiap kali ternampak kelibat manusia.
 
Pengalaman berkunjung ke taman Jepun ini akan menyimpulkan bahawa sebuah taman Jepun perlu memiliki elemen penting seperti buluh, pulau, jambatan, pelita batu dan juga sebuah pondok teh atau pavilion. Jika elemen-elemen itu tidak dapat direka secara fizikal, ia boleh dibuat secara perlambangan. 
 
Sayonara...