Thursday, 21 November 2013

JALAN-JALAN DI TAMAN JEPUN, BERJAYA HILLS RESORT

Pada cuti sekolah ini, kami berdua jalan-jalan ke Berjaya Hills Resort, Bukit Tinggi,  Bentung, Pahang. Pilihan kami ialah Japanese Village. Saja-saja nak rasa, nak menikmati dan menginginkan suasana yang tenang dan mendamaikan. Japanese Village ini berada di puncak bukit pada ketinggian 3500 dari paras laut. Bertambah unik mengenai kampung ini ialah ia terletak di kawasan hutan tropika. Taman yang direalisasi daripada ilham arkitek Jepun, Kaio Ariizumi ini dibina untuk mereka yang mencintai kehijauan hutan tropika tanah tinggi yang dingin dan nyaman. Ariizumi dan kumpulan pereka landskapnya berjaya menghidupkan penataan seni landskap taman dan perkampungan Jepun. 
 
Nak pergi ke sana mudah aje. Dari Kuala Lumpur dengan melalui Lebuhraya Karak, selepas melewati 5 kilometer dari Kampung Bukit Tinggi lalu masuk ke kiri. Ada signbord penunjuk arah di situ. Memandu terus menuju ke Berjaya Hills Resort di atas jalan menaik dan berliku. Kena bayar sekali RM12.00 apabila masuk ke kawasan Colmar Tropicale dan Japanese Village.
 
Taman Jepun yang berada dalam Japanese Village ini menyambut pengunjung dengan menawarkan taman Jepun yang mempunyai siar kaki berliku, pintu gerbang chumon, Japanese Tea House, Tatami spa, UME Tatami Suite, Botanical Garden, Ryo Zan Tei Restaurant, dan Souvenir Shop. Dengan laluan taman denai yang kemas, seni dan falsafah Jepun banyak melatari persekitaran taman.
 
Berjalan dengan melewati deretan rumpun buluh, pokok-pokok renek, ara bonsai, dan batu-batu gunung, deria pendengaran juga pasti terpaut pada irama aliran air di sungai dan riak bunyi air terjun yang menghempas ke bongkah-bongkah batu berlumut.  Ia sungguh istimewa! Di kolam ikan, dihimpunkan spesies koi dalam warna-warna garang, bersisik kuning, merah, emas, dan perak. Koi-koi itu tidak malu-malu berenang ke sana ke mari seolah-olah menghiburkan pengunjung, namun disebaliknya ia meminta makanan setiap kali ternampak kelibat manusia.
 
Pengalaman berkunjung ke taman Jepun ini akan menyimpulkan bahawa sebuah taman Jepun perlu memiliki elemen penting seperti buluh, pulau, jambatan, pelita batu dan juga sebuah pondok teh atau pavilion. Jika elemen-elemen itu tidak dapat direka secara fizikal, ia boleh dibuat secara perlambangan. 
 
Sayonara...
















No comments:

Post a Comment