Friday, 26 October 2012

AIDILADHA DAN PEMATUHAN SYARIAT ALLAH SWT

SELAMAT HARI RAYA AIDILADHA

Pada hari ini 10 Zulhijjah sebagaimana seperti pada setiap tahun, seluruh umat Islam menyambut hari raya Haji atau hari raya Korban. Hari ini jutaan umat Islam berada di Makkah menunaikan ibadah Haji. Bagi kita yang tidak berkesempatan untuk ke tanah suci, maka pada hari ini kita berhimpun, bertakbir, bertahmid dan menunaikan solat sunat iduladha. Seterusnya pada hari ini juga, umat Islam diperintah dan disunatkan berkorban binatang ternakan sebagai korban untuk disedekahkan dagingnya kepada fakir misikin semata-mata kerana Allah SWT.  Sabda Rasulullah SAW:

Mafhumnya: Sesungguhnya pertama-tama amalan yang kita lakukan pada hari ini (iduladha) ialah supaya kita solat kemudian kembali ke rumah lalu kita menyembelih korban, maka barangsiapa yang mengerjakan sedemikian ia telah mengikut sunnahku. Adapun orang yang menyembelih sebelum melakukan solat, maka itu hanyalah merupakan daging yang hendak dipergunakan untuk keluarganya sahaja, tidak termasuk amalan ibadah penyembelihan korban”. (Riwayat Muslim dan al Bukhari)

Aidiladha merupakan hari perayaan yang sangat istimewa dalam syariat Islam. Keistimewaannya ialah kerana mempunyai dua tuntutan ibadah besar yang dilaksanakan secara serentak di seluruh dunia iaitu:
  1. Di tanah suci Mekah dilaksanakan ibadah haji. Bermula 9 Zulhijjah berjuta-juta umat Islam menyempurnakan ibadah haji dengan berwukuf di padang Arafah, tawaf di Kaabah dan melontar jamrah. Meskipun di padang Arafah matahari panas terik, namun dengan  berpakaian yang sama dan tujuan yang sama, mereka tetap mengabdikan diri kepada Allah SWT. Syiar ibadah haji juga merupakan perhimpunan tahunan yang disyariatkan oleh Allah dalam bentuk yang amat berkesan iaitu mengikat kesatuan dan perpaduan melalui pegangan akidah yang satu dan bukannya melalui fahaman bangsa dan material. Inilah asas perpaduan yang dipraktikkan oleh Nabi SAW yang berjaya menegakkan negara Islam Madinah hanya dalam masa 10 tahun.
  2. Seluruh umat Islam di segenap ceruk rantau dunia semenjak hari Arafah hingga tamat hari Tasyrik mengumandangkan gema takbir, tahlil dan tahmid dengan suara yang penuh keyakinan mengisytiharkan pengakuan bahawa hanya Allah SWT sebagai  tuhan yang perlu disembah, dipatuhi dan ditakuti. Pengajarannya kepada kita ialah supaya seluruh kehidupan, setiap perjuangan dan segenap pekerjaan yang dilakukan mestilah atas dasar penyerahan diri kepada Allah SWT.

Pengabdian diri kepada Allah SWT mestilah diterjemahkan melalui pelaksanaan syariat Allah yang terkandung dalam al-Qur'an dan as-Sunnah. Perlu kita insafi bahawa timbulnya pelbagai isu dan permasalahan dalam masyarakat seperti gejala keruntuhan akhlak, penyelewengan moral, jenayah rompakan, rogol, bunuh, penagihan dadah, penghidap AIDS, kes-kes rasuah, pecah amanah dan sebagainya; adalah kerana belum menyeluruhnya penghayatan kita kepada tuntutan-tuntutan syarak. Hal ini dinyatakan oleh Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 85:

Maksudnya: Sesudah itu maka patutkah kamu hanya percaya kepada sebahagian (dari isi) kitab Taurat dan mengingkari akan sebahagian yang lain?. Maka tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian itu dari antara kamu selain dari kehinaan ketika hidup di dunia; dan pada hari kiamat akan ditolak mereka ke dalam azab seksa yang amat berat, dan (ingatlah) Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang kamu lakukan.

Aidiladha dengan pensyariatan ibadah korban adalah isyarat yang jelas daripada Allah mengenai keperluan berkorban tenaga, masa dan harta benda demi agama Allah SWT. Tanpa pengorbanan agama, fikiran dan harta benda, tidak mungkin syariat Allah SWT dapat ditegakkan. Renungkanlah sejarah pengorbanan agong Nabi Ibrahim AS yang sanggup menyembelih Nabi Ismail AS, satu-satunya anak kesayangan Baginda semata-mata pengorbanan kepada Allah SWT. Inilah satu contoh seorang bapa yang berjaya membina sebuah keluarga yang cemerlang. Demikian juga, kepatuhan Hajar kepada suaminya Nabi Ibrahim untuk tinggal keseorangan di tanah gersang Mekah, merupakan model isteri mithali yang sanggup mengorbankan jiwa raga semata-mata kepatuhan kepada perintah Allah dan Nabi-Nya.

Demikian juga kerelaan seorang anak iaitu Nabi Ismail AS untuk disembelih oleh bapanya, semata-mata kerana perintah Allah adalah merupakan isyarat bahawa berkorban sebenarnya tidak melihat kepada usia. Ini bermakna samada golongan tua, dewasa, belia, lelaki dan wanita, perlu bersedia untuk berkorban apa sahaja demi tertegaknya akidah tauhid dan terlaksananya syariat Allah SWT. Inilah intipati pengajaran daripada pengorbanan agong yang diterokai oleh Nabi Ibrahim AS, isteri dan anaknya alahimussolatuwassalam. Firman Allah SWT dalam surah As-Saafaat ayat 103-107:

Maksudnya: Setelah keduanya berserah diri, dan Nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya di atas tompok tanah. Serta Kami menyerunya: Wahai Ibrahim! Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi itu. Demikianlah sebenarnya kami membalas orang yang berusaha mengerjakan kebaikan. Sesungguhnya perintah ini adalah satu ujian yang nyata. Dan Kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar. Dan Kami kekalkan baginya nama yang harum dalam kalangan orang yang datang kemudian.

Kedudukan umat Islam akhir-akhir ini semakin dicabar oleh musuh Islam dan pihak yang tiada kaitan dengan Islam. Cahaya kebenaran Islam sentiasa cuba dipadamkan oleh musuh Islam di mana mereka tidak pernah rehat dan berhenti dalam memesongkan manusia daripada menerima kebenaran Islam. Maka pada hari ini kita dapat lihat bagaimana mereka berusaha menghasut dunia agar membenci dan memusuhi Islam dan umatnya. Mereka sanggup lakukan segalanya termasuk penipuan dan penghinaan. Mereka menerbitkan suatu filem pendek yang menghina Nabi Muhammad SAW yang digambarkan sebagai seorang penipu, gila seks dan menyeru untuk pembunuhan beramai-ramai. Mereka juga menerbitkan karikatur yang memaparkan Nabi Muhammad dalam keadaan bogel. Mereka juga mengambarkan umat Islam sebagai mereka yang ganas dan suka bermusuhan.

Ingin ditegaskan di sini bahawa perbuatan ini, sebenarnya merupakan satu kebiadaban kepada umat Islam, dan akan mencetuskan kemarahan ummah. Justeru, mimbar ingin berpesan kepada semua pihak agar jangan cuba bermain api dengan umat Islam yang sememangnya cinta dan kasih kepada junjungan besar Nabi SAW. Sebagai umat Islam kita tidak akan membiarkan pemimpin agung ini dicaci apatah lagi digambarkan dalam keadaan yang hina. Biar darah mengalir ke bumi namun umat Islam tidak akan reda kemuliaan Rasulullah SAW dipermainkan. Sesungguhnya filem dokumentari penghinaan ke atas Nabi bukan satu insiden yang terpisah dan tersendiri, malah ia adalah suatu konspirasi terancang untuk menghina utusan Allah dan memadam cahaya Islam. Firman Allah SWT di dalam surah as-Saaf ayat 8:

Maksudnya: Mereka sentiasa berusaha hendak memadamkan cahaya Allah (agama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tetap menyempurnakan cahaya-Nya, sekalipun orang kafir tidak suka (akan yang demikian).

Jangan membiarkan mana-mana pihak bertindak sesuka hati mempertikai dan menghina Islam dan umatnya. Marilah kita bergandingan dan terus mempertahankan kesucian Islam ini sesuai dengan semangat cinta kepada Allah SWT berdasarkan peristiwa pengorbanan Nabi Ibrahim AS, Nabi Ismail AS dan Hajar. Insaflah bahawa, ibadah haji dan ibadat korban mengingatkan kita agar jangan lupa bahawa kita berada dalam satu kesatuan kemanusiaan dan jangan pula kita hancur menjadi mangsa korban kepada musuh Islam.

Marilah kita gunakan kesempatan hari yang mulia ini, untuk membina keutuhan tali persaudaraan diantara kita dengan amalan ziarah-menziarahi dan bermaaf-maafan sesama kita. Buang yang keruh, ambillah yang jernih. lebih-lebih lagi dalam menangani isu yang membabitkan agama dan masa depan umat Islam, maka sewajarnya kita sama-sama bangkit bersatu hati tanpa mempedulikan perbezaan latar belakang,  ekonomi, miskin atau kaya, berbeza latar belakang fahaman atau politik. Kita ketepikan segala perbezaan-perbezaan tersebut.

Ingatlah bahawa pengorbanan yang sebenarnya adalah pengorbanan yang berasaskan kesatuan dan perpaduan. Inilah pengorbanan yang mesti dilakukan oleh setiap kita, demi membela dan menyelamatkan Islam dan umatnya. Kesemua ini menuntut pengorbanan jiwa raga dan harta benda berlandaskan ketakwaan dan keikhlasan. Tanpa dua elemen ini, maka tidak tercapai matlamat pengorbanan seperti mana yang dituntut oleh Allah SWT. Firman Allah SWT: 

Daging dan darah binatang korban itu tidak akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya ialah ketaqwaan kamu. Demikianlah Ia memudahkan binatang itu bagimu supaya kamu mengagungkan Allah atas petunjuk-Nya kepadamu. Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang yang berusaha supaya baik amalnya.” (Al Hajj : 37)

Marilah kita menghayati tuntutan-tuntutan syarak yang terkandung dalam amalan ibadah haji dan ibadah korban yang berpaksikan hubungan kita yang erat dengan Allah SWT dan hubungan kita sesama kita, demi kecemerlangan di dunia dan kesejahteraan di akhirat. Mimbar ini berpesan bahawa hari raya korban yang dirayakan tanpa pematuhan kepada syariat Allah SWT, tidak akan memberi apa-apa makna dan kesan kepada kita. Semoga semangat pengorbanan Nabi Ibrahim AS yang suci, Nabi Ismail AS yang berani dan bondanya Hajar yang begitu tabah hati, mampu menyuntik semangat kepada kita semua. Marilah sama-sama kita menghayati firman Allah SWT dalam surah al-Kauthar ayat 1-3:

Maksudnya "Sesungguhnya kami telah mengurniakan kepadamu (wahai Muhammad) kebaikan-kebaikan yang banyak (di dunia dan akhirat). Oleh itu kerjakanlah sembahyang kerana tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur). Sesungguhnya orang yang bencikan engkau, dialah yang terputus (dari mendapat sebarang perkara yang diingininya)."

No comments:

Post a Comment