Kolej MARA Kuala Nerang terletak lebih kurang 3 km dari pekan Kuala Nerang, daerah Padang Terap, Kedah. Dari Alor Star jaraknya lebih kurang 35 km dan dihubungkan oleh jalan raya yang sedang diupgredkan melalui sebuah pekan kecil iaitu pekan Pokok Sena. Di sepanjang jalan ke KMKN kita akan melalui kampung-kampung tradisional yang ada antaranya berlatarkan pertanian getah dan padi.
Kolej MARA Kuala Nerang memulakan operasi dan misi utamanya dalam mendidik anak bangsa bermula pada 1hb Disember 1994. Pembinaannya telah menelan belanja sebanyak RM16 juta di dalam kawasan seluas 36 ekar yang terdiri daripada blok pentadbiran, blok akademik dan blok asrama. Pada asal pembinaan Kolej ini, ia menggunakan peruntukan MRSM dan terus berada di bawah pengendalian Bahagian Pendidikan Dan Latihan (Menengah) MARA sebelum ditukarkan ke Bahagian Pendidikan Tinggi MARA pada tahun 2008.
Kawasan Kolej merangkumi sebuah blok pentadbiran yang bersambung terus dengan dua blok akademik utama iaitu blok akademik Utara (kini dikenali sebagai Cemerlang) dan Selatan (kini dikenali sebagai Gemilang), Recreation Center (kini dikenali sebagai Dataran Usahawan), dewan selera, tiga blok asrama iaitu blok L (kini dikenali sebagai Iman), blok P (kini dikenali sebagai Ikhlas) dan blok Q (kini dikenali sebagai Ikhsan), dua unit rumah sebuah/banglow (kini salah satunya didiami oleh ketua warden), dua unit kuarters guru semi-D, dewan besar, pondok pengawal, perpustakaan dan surau.
Selepas beberapa tahun, kawasan Kolej diperluaskan untuk beberapa penambahbaikan dari segi prasarana. Antaranya, pada tahun 1998, surau diperbesarkan untuk menampung kapasiti pelajar dari 600 orang kepada 1000 orang. Pada tahun 2002, kediaman Pengarah dan blok R (kini dikenali sebagai Iltizam) dibina. Empat tahun berikutnya, pembinaan blok Unggul, blok F (kini dikenali sebagai Insaniah) dan kediaman Timbalan Pengarah siap dilaksanakan.
Pada awalnya Kolej MARA Kuala Nerang menjalankan Program Matrikulasi Universiti Utara Malaysia bermula dari tahun 1995 sehingga April 2000. Kumpulan pertama pelajar sesi 1995/1996 adalah pecahan kecil yang dipindahkan dari Kolej MARA Kulim untuk ditempatkan di kolej ini. Sepanjang tempoh usia Matrikulasi UUM, Kolej telah menghasilkan 1,864 orang pelajar yang kemudiannya berhijrah ke Universiti Utara Malaysia.
Program Matrikulasi UUM tamat pada tahun 2000 setelah Kementerian Pendidikan Malaysia (kini dikenali sebagai Kementerian Pelajaran Malaysia) mengambil alih Program Matrikulasi pada tahun tersebut. Sejak itu bermula satu lembaran baru buat Kolej apabila diberi mandat untuk melaksanakan Program Matrikulasi Kementerian Pelajaran Malaysia dan berdiri megah bersaing bersama-sama Kolej Matrikulasi yang lain.
Program Matrikulasi Kementerian Pelajaran Malaysia bermula dari Jun 2000 sehinggalah ke hari ini. Bermula Sesi 2000 hingga Sesi 2007, Kolej hanya menempatkan pelajar Jurusan Perakaunan sahaja. Buat julung kalinya pada sesi 2007/2008, Kolej dibenarkan untuk mengambil pelajar dalam dua aliran iaitu Jurusan Perakaunan dan Jurusan Sains. Walaupun tempoh Jurusan Sains diperkenalkan agak singkat tetapi pencapaian pelajar jurusan ini amat memberangsangkan.
Selain daripada Program Matrikulasi, Kolej juga menjalankan Program UniKL yang dikenali dengan nama Foundation in Science & Technology (FIST). Pada peringkat awal perlaksanaan program asasi UniKL sebelum kemunculan Program FIST, UniKL terlebih dahulu memperkenalkan Program FET dan Program FIBS masing-masing bermula pada 17 Februari 2008 dan 27 Julai 2008. Tempoh kedua-dua program ini hanyalah setahun kerana ia adalah program persediaan untuk Skim Pelajar Cemerlang. FET bermaksud Foundation in Engineering Technology. Kumpulan ini didedahkan dengan aliran kejuruteraan seperti elektrical, mechanical dan chemical. Selepas tamat pengajian di kolej, kumpulan ini akan menjalani latihan praktikal di kampus-kampus UniKL bergantung kepada pengkhususan mereka. Kemudian memasuki tahun pertama pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda juga di UniKL. Selepas tamat tahun pertama, pelajar-pelajar ini akan menyambung pengajian mereka di universiti luar negara yang ditetapkan.
Berbeza dengan FET, FIBS (Foundation in Biological Science) juga mempunyai kekuatannya yang tersendiri. Kumpulan pelajar ini boleh dikatakan bakal-bakal doktor yang dihasilkan oleh MARA sendiri. Mereka akan ditempatkan di kampus UniKL-RCMP yang terletak di Ipoh, Perak selepas tamat pengajian asas.
Bermula sesi 2010/2011, pihak UniKL telah menyelaraskan nama programnya kepada FIST. Umumnya, kolej menjalankan Program UniKL FIST (Skim Pelajar Terbuka) dan Program UniKL FIST (Skim Pelajar Cemerlang). Kedua-dua program tersebut berjalan selama setahun. Walau bagaimanapun pendaftaran pelajar setiap program berbeza terutamanya Program UniKL FIST (SPC). Hal ini disebabkan program SPC ini sendiri terbahagi kepada 3 kumpulan yang berasingan iaitu FIST-UK, FIST-Australia dan FIST-RCMP.
Di kolej inilah Fakhrul Syahmi Azri bin Hasan ('Adik') meneruskan pelajarannya dalam program matrikulasi KPM menerusi bidang perakaunan. Mula mendaftar diri pada Jun 2011, pengajian yang mengambil masa 10 bulan akan tamat pada bulan April nanti. Semoga 'adik' berjaya setelah menimba ilmu di kolej ini.