Hari ini adalah Hari Raya Aidilfitri. Kami sekeluarga mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada rakan-rakan di laman ini dan semua umat Islam seluruh dunia. Kami menyusun jari mohon maaf zahir dan batin.
Tiga orang anak kami semua berada di sisi. Fakfrul Razin (Abang) yang kini sedang melanjutkan pelajaran di bidang biologi di peringkat master ada di kampung, Nur Izyani Nadhirah (Kakak) yang melanjutkan pelajaran jurusan kedoktoran di Yogyakarta, Indonesia juga berada di kampung, dan Fakhrul Syahmi Azri (Adik) yang akan mendaftar pada 1 September 2012 melanjutkan pelajaran di bidang perakaunan di UITM juga memang dah berada di kampung halaman. Semuanya berada di sisi keluarga untuk beraya di kampung.
Insyaalah pada hari raya pertama ini selepas solat sunat Aidilfitri, kami sekeluarga berehat dan beraya bersama di rumah. Selepas itu ziarah pusara ayah dan kaum keluarga di kubur di kampung kami. Pada petang dan malam berziarah pula ke rumah sanak saudara dan keluarga sekampung. Esok pada hari raya kedua, kami akan berziarah sanak saudara di Kota Tinggi, Mersing dan Kluang. Mengambil kesempatan ziarah pusara emak di Felda Sungai Mas, Kota Tinggi. Pada hari raya ketiga (Selasa) insyaallah kami akan balik kampung di Bagan Serai, Perak. Di sana nanti kami mungkin berziarah keluarga di sebelah sana iaitu di Bagan Serai, Kuala Kangsar, Taiping, Pulau Pinang dan Perlis.
Aidilfitri disambut sebagai suatu kemenangan bagi orang yang dapat mengerjakan ibadat puasa Ramadan dengan sempurna. Kemenangan itu bukan saja menang kerana berjaya mengawal nafsu makan dan minum selama sebulan pada siang hari sepanjang Ramadan, malah kejayaan menghalang diri daripada melakukan perkara dilarang, di mana jika dilakukan akan terbatal puasanya. Oleh kerana itu, Allah menganugerahkan satu hari untuk kita sama-sama meraikan kejayaan daripada kemenangan itu.
Kegembiraan ini khas kepada mereka yang berpuasa kerana telah berpuasa penuh sebulan, kejayaan melawan nafsu makan dan pancaindera yang lain dan ketiga, melunakkan syaitan-syaitan.
Semoga hari raya kali ini kita berusaha bersungguh untuk melaksanakan tuntutan Nabi SAW dalam meraikan hari raya. Bergembiralah meraikannya. Sesungguhnya bergembira di hari raya adalah sunnah Nabi SAW manakala bersedih-sedihan di hari raya pula bukan daripada ajaran Islam. Apa yang terbaik itu adalah mengikut petunjuk Nabi SAW.