Wednesday, 20 October 2010

SAYU DAN PILU MELIHAT BERAKHIRNYA RUMAH WARISAN KAMI

Sayu hati kami. Apakan tidak apabila melihat rumah pusaka kami dibuka dan dirobohkan. Ia dirobohkan pada hari Ahad 19 September 2010.

Di tapak rumah inilah kami adik beradik dibesarkan sehingga kami semua dewasa dan berkeluarga sendiri. Rumah warisan daripada arwah bapak dan emak ini mempunyai tiga bilik. Saiz keseluruhannya ialah 34 kaki X 60 kaki. Cukup besar bagi standard rumah kampung.

Dirumah ini jugalah arwah bapak dan emak mengadakan majlis kenduri kahwin untuk anak-anakkya yang seramai tujuh orang. Saya adalah anak terakhir yang diraikan sebagai pengantin baru di rumah ini kerana saya adalah anak bungsu. Biasanya dalam majlis kenduri kahwin itu, arwah bapak akan mengadakan pencak silat dengan diiringi peralatan muzik tradisional (arwah bapak sememangnya pakar dalam pencak silat sehinggakan ada di kalangan rakan-rakannya yang memanggilnya dengan panggilan 'Kasmuri Pendekar). Ramailah pemuda-pemuda dan ahli pencak silat menunjukkan bakat dalam pertarungan pencak silat itu. Meriah sekali pada masa itu.

Rumah ini telah beberapa kali diubahsuai oleh arwah bapak dan emak untuk disesuaikan dengan peredaran masa. Daripada sebuah rumah panggungbesar bertiang dan berbumbung limas, ia diturunkan menjadi separuh batu dan separuh kayu. Bahagian hadapan masih bertiang dan berlantai papan dan bahagian dapur berlantai simen. Kemudian ia diubahsuai lagi dan diturunkan menjadikan semua bahagian rumah ini berlantaikan simen, separuh batu dan separuh kayu sehinggalah ia dirobohkan.

Bukan kami tak sayang dengan rumah warisan ini. Setelah bapak dan emak meninggal dunia, tiada siapa yang tinggal di rumah ini. Semua abang dan kakak telah mempunyai rumah masing-masing. Saya dan keluarga apabila balik dan menetap di kampung ini juga membuat sebuah rumah di sebelah kiri (barat) rumah warisan ini. Maka tinggallah rumah warisan ini kesunyian tanpa penghuni. 

Walaupun saya sentiasa menjaga kebersihan sekeliling rumah ini namun apabila sesebuah rumah itu tidak dihuni, ia semakin cepat menjadi buruk. Kayu-kayunya  dimakan anai-anai dan bumbungnya berkarat dan berlubang-lubang. Saya bercadang untuk membaikinya tetapi kos untuk membaikinya juga tinggi. Akhirnya saya mengambil keputusan membuka dan merobohkan rumah warisan ini. Maafkan kami.

Sebagai kenangan saya akan menggunakan kayu-kayu daripada rumah ini yang masih baik untuk dibuat beberapa pondok gazebo di kawasan rumah kami.





 












No comments:

Post a Comment