Tuesday, 23 November 2010

KAMI SEKELUARGA DOAKAN SEMOGA FAKHRUL SYAHMI BERJAYA MENGHARUNGI PEPERIKSAAN SPM

Hari ini semua calon-calon peperiksaan SPM memulakan cabaran untuk menjawab soalan-soalan dalam dalam peperiksaan SPM. Kepada 'Adik' Fakhrul Syahmi Azri Bin Hasan kami doakan semoga 'Adik' berjaya menjawab dengan betul kesemua subjek yang diambil. Semua usaha dan ikhtiar dah kita buat.  Berdoalah kepada Allah SWT agar terus  dibuka dan dipermudahkan hati, dan diberi kesihatan mental dan fizikal sepanjang menghadapi peperiksaan ini.... Amin....

Wednesday, 17 November 2010

NIAT DI HATI NAK MELAKUKAN IBADAH KORBAN TAPI APAKAN DAYA LEMBU TERLEPAS LARI

Yang tua dan yang muda bersama-sama menyembelih,
 melapah dan mengagihkan daging korban.
Hari ini umat Islam di seluruh dunia merayakan Hari Raya Aidiladha. Ia adalah perayaan terbesar di dalam Islam selain daripada Hari Raya Aidilfitri. Aidiladha disambut pada hari ke sepuluh, sebelas, dua belas dan tiga belas bulan Zulhijjah setiap tahun.

Pada Hari Raya Aidiladha ini juga, umat Islam disunatkan melakukan ibadah korban sebagai tanda ingatan terhadap peristiwa Nabi Ibrahim Alaihissalam telah mengorbankan anak baginda, Ismail Alaihissalam. Betapa setiap yang hendak dikorbankan itu mestilah sesuatu yang bersifat paling disayangi dan berharga. Selain daripada itu Ibadah ini juga boleh melatih perasaan individu Muslim agar jangan bersikap bakhil dan kedekut di dalam mengeluarkan harta demi membela dan membantu golongan yang lebih memerlukan seperti orang-orang fakir dan miskin.

Ibadah korban ialah penyembelihan haiwan tertentu pada tanggal 10, 11, 12 dan 13 Zulhijjah dengan maksud untuk mendekatkan diri kepada Allah s.w.t.. Hukum menyembelih haiwan korban pada Hari Raya Aidiladha  ialah sunat muakkad dan meninggalkannya adalah makruh.

Firman Allah s.w.t. maksudnya : “Dan bacakanlah kepada mereka berita tentang dua anak Adam iaitu Habil dan Qabil dengan benar, ketika anak Adam itu mempersembahkan korbannya, maka Allah menerima korban salah seorang dari keduanya iaitu Habil dan tidak diterima korban yang seorang lagi iaitu Qabil. Qabil berkata: Aku pasti membunuhmu? Habil berkata: “Sesunguhnya Allah hanya menerima korban dari orang-orang yang bertakwa”. (Surah al-Maidah ayat 27.

Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya :“Tidak ada amalan yang dilakukan oleh anak Adam pada Hari Raya Korban yang lebih disukai Allah melainkan menumpahkan darah (menyembelih binatang korban). Sesungguhnya binatang korban itu akan datang pada hari kiamat bersama tanduk, kuku dan bulunya dan Allah memberi pahala ibadah korban itu sebelum darah binatang korban itu jatuh ke bumi. Oleh itu, elokkanlah korban kamu.” (Hadis riwayat Tirmidzi, Ibnu Majah dan Hakim).
Kami sekeluarga sememangnya berniat hendak melakukan ibadah korban ini. Sebulan sebelum Aidiladha, kami dah tempah seekor lembu daripada Tn. Hj. Mohd Talib bin Salamon, seorang penternak lembu di kampung kami. Pada hari Selasa iaitu sehari sebelum Aidiladha lembu yang telah ditangkap meliar dan terlepas lari entah ke mana. Lembu-lembu lain pula telah ada pembelinya yang juga untuk dikorbankan. Jadi dalam waktu yang terdekat itu, Tn. Hj. Talib tak dapat mencari lembu lain sebagai penggantinya. Tak apalah, Allah belum mengizinkan....
Kami tumpang kegembiraan di pagi Aidiladha ini dengan sama-sama bergotong-royong melakukan ibadah korban di kawasan masjid kampung kami. Ada juga individu yang melakukan ibadah korban di rumah masing-masing. Kalau ikut rancangan, ada tujuh ekor lembu yang akan dikorbankan, tetapi oleh kerana ada dua yang terlepas cuma lima sahaja yang disembelih. Syukur kepada Allah SWT....

SELAMAT HARI RAYA AIDILADHA

Selamat Hari Raya Aidiladha

Friday, 12 November 2010

MASJID PERTAMA KANADA DI ARTIK DIBUKA

Berita Harian 12 November 2010



OTTAWA: Masjid pertama Kanada di Artik dibuka semalam di Inuvik untuk memulakan khidmat sebagai rumah ibadat di kawasan komuniti Islam di sana. ‘Masjid pasang siap’ itu tiba di bandar utara kecil bulan lalu melalui perjalanan 4,000 kilometer (km) melalui darat dan air.

Beberapa wartawan termasuk pemberita televisyen Arab menyertai penduduk Islam tempatan untuk majlis pembukaannya.

Bilangan penduduk Islam di bandar dengan 4,000 penduduk di Wilayah Barat Laut Kanada itu meningkat sejak beberapa tahun kepada kira-kira 80 orang. Mereka sebelum ini beribadat di dalam sebuah karavan berukuran tiga kali tujuh meter sehingga ia tidak lagi dapat menampung bilangan jemaah.

Masjid baru yang digelar sebagai masjid kecil di Tundra oleh media Kanada itu dihiasi dengan permaidani merah di ruang utama, mempunyai sebuah dapur dan perpustakaan, kata ahli jawatankuasa masjid, Amer Suliman.

“Langit kelabu tetapi lampu dari masjid dan kubah menjadikan ia terang, ia tidaklah terlalu sejuk di luar sana dan tetamu berkumpul di sini,” katanya yang dihubungi.

Bangunan pasang siap itu dibawa dari Manitoba kerana harga bagi buruh dan bahan adalah lebih rendah berbanding di bahagian utara Kanada. – AFP

Wednesday, 10 November 2010

PROTON INSPIRA

Sumber: Berita Harian dan Utusan Malaysia
 


PROTON Inspira yang dilancarkan hari ini mencatat prestasi luar jangkaan dari segi tempahan dengan purata lebih 100 unit sehari, justeru meneruskan kecemerlangan prestasi jualan model keluaran PROTON Holdings Bhd (PROTON) sebelumnya seperti Saga dan Exora.




Pengarah Urusannya, Datuk Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir, berkata sehingga semalam, model dita-warkan dengan tiga versi iaitu 1.8 liter dengan transmisi manual lima kelajuan; 1.8 liter dengan transmisi CVT; dan 2.0 liter dengan transmisi CVT itu, sudah mencatatkan jumlah tempahan keseluruhan 1,800 unit sejak ia dibuka pada 14 Oktober lalu.

“Sambutan terhadap Inspira melampaui jangkaan dan amat memberangsangkan. Ini adalah petanda baik menjelang pelancaran rasminya esok (hari ini). PROTON yakin dapat memenuhi semua tempahan dan pada masa sama komited mengurangkan jangka masa menunggu bagi model itu,” katanya selepas sesi pandu uji eksklusif model berkenaan bersama Berita Harian di Putrajaya semalam.

Sesi pandu uji model yang ditawarkan dengan harga permulaan RM79,888 seunit itu, turut disertai tiga jurutera yang terbabit dalam program pembangunan Inspira, Pengurus Projeknya, Zulkiflee Bidin; Pengurus Ujian Kenderaan, Abdul Wahab Long; dan Jurutera Pemanduan dan Pengendalian, Mohamad Sharafuddin Salleh.

Syed Zainal berkata, meskipun Inspira dibangunkan hasil kerjasama PROTON dengan Mitsubishi Motor Corporation (MMC), ia tidak bermakna PROTON hanya membuat salinan dengan menukarkan logo dan tanda jenamanya semata-mata.

“Proton Inspira hasil usaha sama antara dua syarikat pembuat kereta iaitu PROTON dan MMC.
Menerusinya, PROTON melakukan usaha penambahbaikan terhadap model asal bagi memberikan nilai tambah kepada pemiliknya. Paling ketara adalah penambahbaikan penalaan pemanduan dan pengendalian menerusi sentuhan Lotus, sekali gus meningkatkan prestasi model asal dari segi teknologi dan kebolehannya,” katanya sambil menambah kandungan tempatan Inspira akan ditingkatkan secara berperingkat sehingga 40 peratus menjelang akhir tahun ini.

Sementara itu, Pengerusi PROTON, Datuk Seri Mohd Nadzmi Salleh, berkata model yang dimulakan pemasangannya di Shah Alam pada 28 Oktober lalu itu, dilihat berada dalam landasan terbaik untuk di eksport ke luar negara.

“Mengikut perjanjian dengan MMC, Inspira hanya dikeluarkan untuk pasaran tempatan, namun PROTON akan berunding dengan MMC bagi tujuan eksport dan kalau tidak wujud percanggahan kepentingan, Inspira berkemungkinan boleh dieksport,” katanya.

Prestasi bagi enjin 2 liter Inspira tidak jauh sangat daripada Lancer. Bagi varian 1.8 liter (yang tidak dijual oleh Mitsubishi di Malaysia), ia menggunakan enjin diperbuat daripada aluminium keseluruhannya iaitu Global Engine Manufacturing Alliance yang dibangunkan bersama antara MMC dengan Chrysler dan Hyundai.

Kuasa maksimumnya ialah sekitar 143 ps/177 Nm manakala varian 2 liter Lancer yang dijual di Malaysia menjana 155 ps/199 Nm. Dengan transmisi manual, Inspira benar-benar seronok dipandu, terutama di jalan bengkang-bengkok. Jangkauan gear adalah baik dan kotak gearnya beroperasi lancar. Prestasi baiknya dipamerkan semasa mendaki Genting Highland.

Jika ada yang masih sinikal mengenai Proton Inspira yang dicemuh kerana 'menceduk' dari Mitsubishi Lancer, penulis akan katakan: 'mengapa tidak?''. Jika anda boleh menerima Perodua Myvi, anda harus bersedia menerima Proton Inspira. Mudah saja.

Proton melahirkan Inspira dengan lesen kebenaran MMC. Teknologi dan prestasi Lancer sudah diperakui. Dan paling penting, harganya kini ditawarkan pada harga yang sangat hebat. Malah ia bakal menggegarkan dua segmen sekali gus iaitu segmen enjin 1.8 liter dan 2 liter.