Sunday, 10 April 2011

KEMALANGAN MAUT MELIBATKAN ANAK, MENANTU DAN CUCU PAK ASRANI

Di bawah ini adalah laporan berita mengenai kemalangan maut anak, menantu dan cucu Pak Asrani orang kampung kami. Kami ucapkan takziah kepada keluarga Pak Asrani. Marilah kita hadiahkan bacaan al- Fatihah kepada anak, menantu dan cucu Pak Asrani yang telah meninggal dunia... al-Fatihah

Dari Mingguan Malaysia, 10 April 2011
Tiga Beranak Terbunuh di Serendah.
SERENDAH 9 April – Tiga beranak yang berpisah selama empat hari hanya sempat melepaskan rindu beberapa jam sebelum kesemua mereka maut dalam kemalangan ngeri di Kilometer 40, Jalan Persekutuan Kuala Lumpur-Ipoh di simpang ke Ladang Sungai Gapi berhampiran Serendah dekat sini, pagi ini.

Anggota bomba dan penyelamat berusaha mengeluarkan tiga
mangsa kemalangan ngeri di Serendah, semalam.


Dalam kejadian pada pukul 6.30 pagi itu, Mohd. Farid Idris, 29; isterinya, Eirlenna Asrani, 28, dan anak tunggal mereka, Muhammad Faiz Hakimi, 4, meninggal dunia di tempat kejadian selepas kereta mereka remuk teruk dirempuh sebelum dihempap lori tanah 10 tayar.

Mohd. Farid dan Eirlenna masing-masing bertugas sebagai pembantu perubatan dan jururawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di sini.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Supritendan Norel Azmi Yahya Affandi berkata, ketika kejadian, tiga beranak itu dalam perjalanan dari Kampar, Perak ke ibu kota dengan menaiki kereta Proton Satria.

“Semasa melalui tempat kejadian, kereta yang dipandu Mohd. Farid dipercayai bertembung dengan sebuah lori dari arah bertentangan. Kenderaan mangsa diseret sejauh 70 meter sebelum terjatuh ke cerun sedalam dua meter. Lori yang gagal berhenti itu terbalik lalu menghempap kereta tersebut sehingga menyebabkan kesemua mangsa tersepit di bawah kenderaan berat itu,” katanya di sini, hari ini.

Tambahnya, mayat tiga beranak itu hanya berjaya dikeluarkan daripada kenderaan yang remuk selepas tiga jam.

“Usaha mengeluarkan mayat yang dilakukan oleh anggota bomba memakan masa kerana kereta tersebut berada di bawah lori,” ujarnya.

Menurutnya, pemandu lori tersebut, K. Duraisingam, 40, bagaimanapun hanya mengalami cedera ringan.

Sementara itu, ibu Mohd. Farid, Azmah Zarif, 50-an memberitahu, anak dan menantunya bertolak pulang dari rumahnya di Kampar pada pukul 5.30 pagi ini.

“Ahmad Farid meninggalkan anaknya dengan saya selama empat hari untuk dijaga kerana Eirlenna berkursus di Negeri Sembilan. Pada pukul 9.30 malam semalam, kedua-dua mereka tiba di Kampar untuk mengambil semula Muhammad Faiz Hakimi selepas terlalu rindu empat hari tidak bertemu,” katanya.

Jenazah ketiga-tiga beranak itu dikebumikan di tanah perkuburan Islam di Kampar petang ini.


Dari Berita Minggu, 10 April 2011
Lima Maut Kereta Bertembung Lori
KUALA LUMPUR: Lima beranak daripada dua keluarga maut dalam nahas jalan raya berasingan di Serendah, Selangor dan Baling, Kedah, pagi semalam.

Dalam kejadian pertama di Serendah, tiga beranak termasuk kanak-kanak lelaki berusia empat tahun, terkorban apabila kereta Proton Satria dinaiki mereka dirempuh sebuah lori yang membawa muatan batu-bata di Kilometer 40, Jalan Kuala Lumpur-Ipoh, Ladang Gapi, kira-kira jam 6.30 pagi.

ANGGOTA bomba dan penyelamat cuba mengeluarkan mayat
Mohd Farid (gambar kecil) yang maut dalam nahas di Kilometer
40, Jalan Kuala Lumpur-Ipoh, Ladang Gapi, pagi semalam.


Mangsa dikenal Mohd Farid Idris, 29; isterinya, Eirlenna Asrani, 28, dan anak mereka, Muhammad Faiz Hakimi, empat tahun.

Kemalangan berlaku ketika Mohd Farid dan Eirlenna dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Cheras selepas mengambil anak tunggal mereka, Muhammad Faiz yang ditinggalkan di rumah ibu Farid di Kampar, Perak sejak seminggu lalu.

Ketika melalui jalan lama Kuala Lumpur-Ipoh, kereta dipandu Farid yang bertugas sebagai pembantu perubatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), dilaporkan dirempuh sebuah lori dari arah bertentangan sebelum diseret sejauh 70 meter lalu terhumban ke dalam gaung tidak jauh dari simpang Ladang Gapi, Serendah.

Kereta mangsa kemudian dihempap lori terbabit ketika jatuh ke dalam gaung sedalam dua meter. Berikutan itu, tiga beranak itu tersepit dan saling bertindih dalam kereta yang remuk.

Ketua Polis Daerah Kuala Kubu Baru, Superintendan Norel Azmi Yahya ketika mengesahkan kejadian itu berkata, polis dengan bantuan dua jentera dari Balai Bomba Kuala Kubu Baru mengambil masa lebih dua jam bagi mengeluarkan mayat ketiga-tiga beranak itu.

Manakala pemandu lori, Duraisingam Karuppiah, 40, menyerah diri di Balai Polis Kuala Kubu Baru dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam nahas kedua di Baling, seorang bapa dan anak berusia dua tahun maut, manakala isterinya parah selepas kereta dinaiki bertembung sebuah lori di Jalan Simpang Empat Telok Pendiat-Carok Nau di sini, kira-kira jam 10.30 pagi semalam.

Mangsa terbunuh ialah Yahaya Md Daud, 39, dan anaknya, Mohamad Fahin Afdal Yahaya, dua tahun. Manakala isterinya, Rusnani Abu Bakar, 30, cedera parah. Kemalangan itu berlaku ketika keluarga terbabit dikatakan sedang dalam perjalanan ke Hospital Baling untuk mengambil ubat asma Mohamad Fahin Afdal.

Kereta jenis Proton Wira dipandu Yahaya yang juga Pegawai Penyelaras UMNO Dewan Undangan Negeri (DUN) Kupang dikatakan bertembung dengan sebuah lori yang datang dari arah bertentangan.

Lori itu dipercayai terbabas ketika cuba mengelak sebuah motosikal yang dikatakan memotong secara tiba-tiba dalam kejadian jam 10.30 pagi itu.

Akibat rempuhan itu, anak mangsa, Mohamad Fahin yang dipangku ibu, Rusnani Abu Bakar, 30, di bahagian depan tempat duduk penumpang mati di tempat kejadian akibat kecederaan serius di kepala dan badan.

Manakala, Yahaya yang tersepit di tempat duduk pemandu, cedera parah di kepala dan dikejarkan ke Hospital Baling sebelum meninggal dunia kira-kira jam 1.30 petang, semalam.

No comments:

Post a Comment