Pada Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini kami sekeluarga terlebih dulu beraya di rumah sendiri. Anak-anak dah besar, masing-masing nak beraya di rumah sendiri dan merasa masakan emak diorang. Dah tentu juadah kegemaran diaorang seperti ketupat nasi, lemang, ketupat daun palas, rendang pedas, rendang tok, korma ayam dan kari daging pekat, disediakan oleh emak diorang. Biasanya kitorang anak beranak bersama-sama menyediakan juadah itu menjelang petang hari lebaran.
Tahun lepas kami balik kampung pada hari raya kedua. Tahun ini, kami balik beraya di kampung, di Bagan Serai, Perak pada hari raya ketiga (Khamis). Pada hari raya pertama saya kena mengikuti komuniti rakan sekampung untuk baraan dari rumah ke rumah selepas solat Aidilfitri hingga malam. Hari raya kedua sambung lagi. Pada hari raya kedua pula kami sekeluarga beraya di Kota Tinggi iaitu ke rumah waris-waris di sana. Kami sama-sama ziarah kubur arwah ibu saya (Hajjah Johariah binti Amat Taruno) di Felda Sungai Mas. Lewat petang baru balik rumah.
Pagi Khamis selepas solat Subuh kami bertolak balik kampung di Bagan Serai, Perak. Mengapa balik kampung? Sebab di kampung ada Mak Mertua saya (Puan Hamsiah binti Mohd Isa). Itulah Mak yang saya masih ada. Itulah Tok (nenek) anak-anak saya yang masih ada.
Di sepanjang lebuhraya Plus dari Simpang Renggam hingga ke Taiping Utara, banyak kenderaan bertali-arus. Bukan sehala tapi di kedua-dua hala. Mengapa ye? Agaknya diorang juga macam kitorang, beraya di kedua-dua belah pihak. Kampung aku dan kampung orang rumah aku. Pemanduan tidak lancar. Nak capai 100 km/h pun susah. Setiap hentian sama ada R&R atau hentian sebelah penuh sesak dengan kenderaan. Nak buang air pun susah... Kami sampai ke destinasi (rumah mak mertua) di Taman Serai Jaya pada pukul 4.00 petang. Kitorang juga balik kampung...
Pada hari Jumaat kami bertolak pula ke Arau, Perlis beraya dengan Tok Teh anak-anak aku. Pekan Arau yang ciput pun banyak kenderaan. Selepas beraya di sana, kami patah balik ke Alor Star. Kami menginap di Alor Star. Perjalanan dari Arau ke Alor Star yang selalunya mengambil masa hanya 40 minit, tapi kini mengambil masa 2 jam. Jalan Jitra - Alor Star macet habisss... Mengeluh aku.
Esok pagi kami menghantar Adik balik belajar di Kolej Matrikulasi MARA Kuala Nerang. Jalan kampung pun macet. Tapi tak semua. Macet di pekan kecil Pokok Sena. Banyak kenderaan di sepanjang jalan bernombor pendaftaran Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Selangor. Diorang kan balik kampung....
Sebelum hantar Adik masuk ke kolej, kami berjalan-jalan di Pasar Sabtu, Kuala Nerang. Beli kerdas dan jering. Walaupun baru raya ke lima, orang berjual dah ramai. Orang yang datang membeli jauh lebih ramai. Nak parking pun susah. Kan diorang juga balik kampung....
Lepas hantar Adik masuk ke asrama kolej, kami pun bertolak balik. Isi petrol penuh-penuh di Pekan Langgar. Takut nanti jem di lebuhraya. Memang betul, masuk sahaja di lebuhraya selepas Tol Alor Star Utara, kenderaan memang banyak. Nak lari 110 km/h memang tak boleh. Keadaan lebih teruk apabila masuk ke kawasan Sungai Petani. Perrgh... macam mana ni? Bila nak sampai ke Pontian, Johor? Oh ya... kan diorang pun macam kitorang, sama-sama balik kampung....
Keadaan trafik menjadi bertambah-tambah-tambah-tambah teruk dari Tol Sungai Dua hingga ke Juru. Ada kalanya kenderaan tak jalan langsung beberapa minit. Nasib baik MPV aku automatik, kalau manual dah tentu lutut aku boleh tercabut....
Apabila tiba di Tol Taiping Utara, kami keluar dari lebuhraya. Hari dah lewat petang. Kami singgah di Cangkat Jering untuk solat, makan tengahari+petang dan juga isi petrol dalam tangki (tangki mesti sentiasa penuh takut jem di lebuhraya). Keluar sahaja dari Tol Changkat Jering, kami jadi risau dan panik. Ape tak nye! Lebuhraya dah jem. Kenderaan terhenti dan berhenti di sepanjang lebuhraya di hadapan kami. Nak menyusur masuk pun tak boleh. Kura-kura jalan pun lebih laju. Pada ketika itu kalau pakai Ferrari puk tak guna.... Bilalah kami nak sampai ke Pontian... Keadaan macet sebegitu sehingga ke Terowong Menora. Kan diorang juga balik kampung seperti kitorang....
Selepas melepasi Terowong Menora, aliran trafik agak ok... Tapi macet teruk apabila sampai Simpang Pulai - Gopeng, dan kawasan Bidor. Sekejap berhenti, sekejap jalan. Sekejap jalan perlahan, sekejap berhenti. Sekejap jalan laju sikit, sekejap jalan perlahan, dan sekejap berhenti. Keadaan menjadi lebih baik apabila sampai di jalan tiga lorong selepas Slim River. Masing-masing seperti melepaskan gian nak memecut laju. Tapi tak laju mana pun... Sekejap 100 km/h, sekejap 60 km/h, sekejap 110 km/h, sekejap 40 km/h. Tapi tak apalah, daripada terhenti langsung. Keadaan menjadi bertambah lebih baik selepas melepasi Lembah kelang. Aliran trafik ke selatan nampaknya ok... Kan kita sama-sama balik kampung....
Kami sampai di rumah pada pukul 3.30 pagi. Syukur kepada Allah SWT, kami selamat sampai ke destinasi....
Mengapa di sana sini macet teruk sewaktu Aidilfitri?
Kereta bertambah banyak. Rakyat Malaysia mampu membeli kereta. Beli kereta lebih mudah daripada beli rumah.
Balik kampung menjadi acara tahunan rakyat Malaysia.
Balik kampung beraya bersama keluarga.
Raya di kota tak best.
Trend berhari raya di kedua-dua belah pihak.
Seronok berhari raya bersama ibu bapa dan sanak saudara.
Kunjung mengunjung lebih meriah di kampung.
Anak-anak ajak balik kampung.
Masak memasak juadah lebaran bersama keluarga di buat di luar rumah...sungguh santai.
Dengar lagu raya malar hijau di kampung lebih sedap...
Dapat melepaskan gian mengejar ayam kampung bersama adik beradik keliling rumah.
Gema dan dentuman bunyi mercun lebih sedap didengar di kampung.
Di kampung ada 'munjung' (menghantar dan berbalas-balas juadah hari raya) di kalangan keluarga dan jiran-jiran. Dapatlah rasa menu raya diorang.
Orang kampung 'respect' kita yang balik kampung dari perantauan... eeewwahh... cerita pun lebih...
Nak tayang kereta baru...kereta besar... kat member-member sekampung.
... dan lain-lain.