Mereka yang mempelajari al-Quran, beristiqamah dalam membacanya dan beramal dengan isi kandungannya telah diumpamakan oleh Rasulullah saw dengan bekas minyak wangi yang dipenuhi dengan kasturi dan baunya yang harum dapat dihidu di setiap tempat. Semua orang suka kepada sesuatu yang wangi dan harum dan itulah fitrah manusia. Sesiapa yang membaca al-Quran akan sampailah keberkatannya itu ke rumahnya dan kepada para pendengar, lalu ketenangan dan pahala itu akan dapat diperoleh sejauh sampainya suara bacaannya itu, seperti bekas minyak wangi yang dipenuhi dengan kasturi, apabila dibuka penutupnya nescaya wangiannya itu akan sampai ke segenap tempat di sekitarnya.
"Belajarlah al-Quran serta bacalah kerana perumpamaan al-Quran bagi orang yang mahu belajar, membaca dan melaksanakannya adalah seperti satu bekas yang dipenuhi dengan wangian kasturi yang baunya menyebar pada setiap tempat. Dan perumpamaan orang yang mahu mempelajarinya dan ia lupa (mengamalkannya), maka di hatinya seperti ada satu bekas wangian kasturi yang masih tertutup." (Riwayat al-Tirmizi)
Petua seronok membaca al-Quran:
- Mulakan dengan ta'awuz dan bismillah.
- Baca al-Fatihah sekali sebelum membaca apa-apa surah pun.
- Sekali-sekala jenguklah terjemahan al-Quran bagi memahami maksud ayat-ayat yang tidak difahami.
- Sediakan satu rekod yang mencatatkan jumlah ayat atau muka surat yang dibaca setiap hari.
- Hafal beberapa ayat daripada al-Quran untuk dibaca dalam solat.
- Ulangi ayat yang dirasa memberi kesan di hati sebanyak 3 kali.
- Dengarlah dan hayati bacaan al-Quran dari qari-qari semasa memandu, memasak, sebelum tidur dan sebagainya.
- Jadikan bacaan al-Quran sebagai penawar keresahan hati dan sumber ketenangan.
- Setiap kali berdepan dengan masalah, berwuduklah, buka al-Quran, baca isi kandungan dan terjemahannya. Dengan izin Allah jawapan kepada masalah kadang-kadang ditemui dalam al-Quran.
No comments:
Post a Comment