Thursday 26 November 2009

TAK ADA LAGI TOL JELAPANG DAN IPOH SELATAN


Dah lama tak balik kampung di Bagan Serai. Dalam perjalanan balik semalam, Tol Jelapang dan Tol Ipoh Selatan dah tak ada lagi. Kalau diingat balik, Tol Jelapang telah makan banyak korban kemalangan. Kali ini perjalanan lebih lancar tanpa berhenti dua kali sama ada ke utara atau ke selatan. Lebih selesa. Dulu terfikir juga aku, mengapa perlu ada dua tol di Ipoh. Tempat-tempat lain tak ada melainkan kini ada satu lagi di Pulau Pinang. Buatlah jalan yang memudahkan dan menyelesakan pengguna, dan permintaan kami TIADAKAN TOL!!!!.....NO TOL-TOL!!!!








Dulu disinilah Tol Jelapang yang makan banyak korban. Sekarang Tol Jelapang dah tiada.

KIA FORTE


Semalam bersama keluarga pergi ke bilik pameran Naza di Taiping tengok kereta baru keluaran Kia. Kia Forte namanya. Sekali pandang rekabentuk kereta ni memang cantik serba serbi luar dan dalam. Lampu dan grill depan sungguh mengancam. Begitu juga lampu belakang memang cantik. Bergaya. Pada amatan saya ia akan laris. Ia menggantikan Kia Spectra. Ia lebih cantik dan bergaya daripada Toyota Vios dan Honda City saingannya malah lebih cantik daripada Toyota Altis dan Honda Civic. Percayalah!!








Saturday 14 November 2009

TUAI BUAH ROCKMELON HASIL USAHA KAMI SEKELUARGA


Hari Sabtu dan Ahad 15 November 2009 kami anak beranak sibuk sikit. Buah rockmelon yang kami tanam dah sampai tempoh untuk dituai. Kali ini kami tuai 5 hari sebelum ia ia betul-betul masak supaya ia tidak terlalu masak dan rosak semasa dijual.

Ada perbezaan antara rockmelon glamour dan sweetie. Kedua-duanya saya tanam. Saya lebih suka tanam glamour. Pegawai pertanian minta saya cuba tanam sweetie. Glamour lebih berat walaupun siznya sama. Urat atau jaring pada glamor nampak timbul dan cantik berbanding sweetie. Glamour rasanya rangup manakala sweetie lembut macam betik. Daun pokok glamor berwarna hijau pekat manakala sweetie kekuningan macam tak cukup baja. Apabila buahnya masak, daun pada buah sweetie akan tua kekuningan dan kering manakala glamour tetap hijau.

Banyak jugak buah yang reject yang kebanyakkannya jenis sweetie kerana jaringnya tak cantik dan kulitnya merekah (mungkin baja tak sesuai). Buah yang selebihnya saya sedekahkan kepada orang kampung. Dapatlah diaorang rasa. Terdapat beberapa pokok yang buahnya telah dipetik orang. Hanya tinggal pokoknya sahaja. Entah siapa punya kerja, saya tak tahu.

Ini rockmelon jenis sweetie. Apabila dah masak daunnya menguning dan kering.
Jaringnya tak berapa cantik.
Ini rockmelon jesis glamour.
Menuai buah rockmelon.
Adik dibantu 'Matu' memasukkan buah ke dalam kereta sorong.
Memunggah buah.
Tolak buah....








Sebahagian buah rockmelon yang telah digredkan dan dikumpulkan.

RPH kelihatan lapang setelah buah-buah dituai.

Daun dan batang dikumpulkan dan akan dibakar apabila kering.

Selepas penuaian selesai, medium akan direhatkan.

Diantara buah rockmelon yang beratnya 2.5kg.

Kakitangan FAMA berehat sebentar selepas memunggah buah rockmelon ke dalam lori.

Lori bergerak dengan membawa buah-buah rockmelon untuk dipasarkan.


Thursday 12 November 2009

WAK DOL KADIR MASUK TV3 KERANA LALAT


Wak Dol Kadir masuk TV3 kerana lalat. Berita ini benar-benar berita. Ia disiarkan semasa Buletin Utama TV3 pukul 8.00 malam hari ini 12 Nov. 2009. Beritanya mengenai lalat yang terlalu banyak di kampung kami khususnya di rumah Wak Dol Kadir. Rumah Wak Dol Kadir ni bersempadan dengan reban ayam. Dalam berita tu kelihatan rumah Wak Dol Kadir, lalat di rumah Wak Dol Kadir dan reban ayam yang menjadi punca ketidakselesaan kami. Sebenarnya cerita mengenai lalat yang berpunca dari reban ayam di kampung kami telah lama berlaku. Orang lain kaya raya kami yang menerima padahnya. Lalat-lalat itu dah tak mengira waktu. Pukul 2 pagi pun masih berterbangan di rumah kami asalkan ada cahaya. Terima kasih kepada TV3 atas pendedahan ini.

Wednesday 11 November 2009

KAMPUNG KAMI DAPAT BANGUNAN SEKOLAH AGAMA


Sesuatu yang menggembirakan apabila kampung kami dapat bangunan sekolah agama. Ia dibina di atas tanah wakaf yang dikhaskan untuk pembinaan sekolah agama. Pada bulan puasa yang lepas kerja-kerja menambak tanah giat dijalankan. Sekarang kerja-kerja menanam cerucuk sedang dijalankan.







Tuesday 10 November 2009

AMALAN MEMBACA AL-QURAN


Mereka yang mempelajari al-Quran, beristiqamah dalam membacanya dan beramal dengan isi kandungannya telah diumpamakan oleh Rasulullah saw dengan bekas minyak wangi yang dipenuhi dengan kasturi dan baunya yang harum dapat dihidu di setiap tempat. Semua orang suka kepada sesuatu yang wangi dan harum dan itulah fitrah manusia. Sesiapa yang membaca al-Quran akan sampailah keberkatannya itu ke rumahnya dan kepada para pendengar, lalu ketenangan dan pahala itu akan dapat diperoleh sejauh sampainya suara bacaannya itu, seperti bekas minyak wangi yang dipenuhi dengan kasturi, apabila dibuka penutupnya nescaya wangiannya itu akan sampai ke segenap tempat di sekitarnya.

"Belajarlah al-Quran serta bacalah kerana perumpamaan al-Quran bagi orang yang mahu belajar, membaca dan melaksanakannya adalah seperti satu bekas yang dipenuhi dengan wangian kasturi yang baunya menyebar pada setiap tempat. Dan perumpamaan orang yang mahu mempelajarinya dan ia lupa (mengamalkannya), maka di hatinya seperti ada satu bekas wangian kasturi yang masih tertutup." (Riwayat al-Tirmizi)
Petua seronok membaca al-Quran:

  • Mulakan dengan ta'awuz dan bismillah.
  • Baca al-Fatihah sekali sebelum membaca apa-apa surah pun.
  • Sekali-sekala jenguklah terjemahan al-Quran bagi memahami maksud ayat-ayat yang tidak difahami.
  • Sediakan satu rekod yang mencatatkan jumlah ayat atau muka surat yang dibaca setiap hari.
  • Hafal beberapa ayat daripada al-Quran untuk dibaca dalam solat.
  • Ulangi ayat yang dirasa memberi kesan di hati sebanyak 3 kali.
  • Dengarlah dan hayati bacaan al-Quran dari qari-qari semasa memandu, memasak, sebelum tidur dan sebagainya.
  • Jadikan bacaan al-Quran sebagai penawar keresahan hati dan sumber ketenangan.
  • Setiap kali berdepan dengan masalah, berwuduklah, buka al-Quran, baca isi kandungan dan terjemahannya. Dengan izin Allah jawapan kepada masalah kadang-kadang ditemui dalam al-Quran.

Sunday 8 November 2009

PIALA MALAYSIA 2009 - NEGERI SEMBILAN JUARA

Negeri Sembilan di nobatkan sebagai juara Piala Malaysia 2009. Pasukan negeri itu berjaya membenamkan Kelantan 3-1. Sekali lagi saya ulangi 3-1. Gol-gol negeri Sembilan dijaringkan oleh Shahurain Abu Samah, Hairudin Omar dan Zaquan Adha Abdul Razak. Manakala Indra Putra Mahayuddin dapatkan satu jaringan untuk Kelantan. Perlawanan akhir Piala Malaysia itu di adakan di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 7 September 2009 dengan ditonton seramai 80,000 penonton yang dua pertiga daripadanya adalah penyokong Kelantan.
Pemain negeri Sembilan Shukor Adan dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan akhir itu. Piala disampaikan oleh Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir. TV1 menyiarkan perlawanan tersebut secara langsung.
Pada pengamatan saya, permainan tidak menarik. Seperti biasalah permainan bola sepak di Malaysia. Hantaran bola kurang tepat, pemain kurang mahir mengawal bola, lemah gerakan-gerakan menyerang (berterabur), pemain tidak cukup bertenaga dan tegar (dibentes sikit dah jatuh tergolek) dan beberapa posisi lemah (terutamanya pasukan Kelantan). Memang bola sepak di Malaysia membosankan (mungkin kita telah dibiasakan menyaksikan aksi-aksi EPL sebagai contohnya).

Tahniah diucapkan kepada pasukan bola sepak Negeri Sembilan dan semua penyokongnya.