Monday, 8 February 2010

TAIPING BANDAR WARISAN MUNDUR, INDAH KHABAR DARI RUPA

TAIPING yang dikenali sebagai Bandar Warisan sudah tidak asing lagi bagi rakyat di negara ini. Taiping adalah antara bandar terawal menerima pembangunan yang dibawa masuk oleh British. Antara kesan sejarah yang terdapat di Bandar Warisan ini ialah landasan kereta api pertama di Tanah Melayu, bangunan Penjara Taiping, bangunan Muzium Perak, Kota Ngah Ibrahim dan tidak ketinggalan bangunan New Club yang juga merupakan Kelab Rekreasi pertama di negara ini serta banyak lagi bangunan yang dibina sekitar 1870-an. Selain itu, Taiping juga dikenali dengan Taman Tasik semulajadinya yang indah hasil kesan perlombongan bijih timah terawal dan beberapa lokasi beriadah yang lain seperti Bukit Larut dan Zoo Taiping yang terkenal dengan Night Safari.

Semua kesan sejarah ini harus dipelihara dan ia dilihat mampu menggamit kehadiran pelancong ke bandar ini seterusnya menjana ekonomi penduduk setempat. Namun apa yang menyedihkan ialah keadaan bandar Taiping sekarang yang dilihat terlalu jauh ketinggalan berbanding keadaan di bandar-bandar lain. Dari aspek pembangunan, penyediaan landskap, kebersihan dan kemudahan awam termasuk sistem jalan raya, ternyata Taiping adalah sebuah bandar yang jauh ketinggalan dan tidak keterlaluan jika dikatakan sebagai bandar yang paling mundur di negeri Perak.

Mengekalkan kesan sejarah selari dengan konsep sebagai sebuah Bandar Warisan bukanlah bererti pembangunan harus dipinggirkan. Pihak berkuasa tempatan seperti Majlis Perbandaran Taiping (MPT) harus bertanggungjawab dalam perkara ini. Kemunduran bandar Taiping cukup ketara sekarang, banyak rungutan di kalangan pengunjung luar yang dikesan ekoran kunjungan mereka ke Bandar Warisan ini gagal memberi pulangan dan kepuasan, lebih tepat jika dikatakan 'indah khabar dari rupa'.

Tahap kebersihan di sekitar bandar ini amat menyedihkan. Sepanjang jalan dari kawasan Simpang menuju masuk ke bandar Taiping menyediakan pemandangan yang menyakitkan mata. Terdapat deretan bengkel kereta dan premis perniagaan dalam keadaan uzur dan tidak terurus. Bangunan tersebut yang sebahagian besarnya berdindingkan zink berkarat hanya menanti masa untuk roboh menyembah bumi tetapi masih aktif menjalankan aktiviti perniagaan dan senario ini seolah-olah mendapat restu daripada pihak MPT.

Penyediaan landskap terbukti gagal kerana tiada usaha dijalankan oleh MPT untuk mengindahkan persekitaran bandar seperti menanam pokok teduhan yang lebih kepada mesra alam. Penyediaan landskap yang berkonsepkan bandar warisan bersejarah tidak dilaksanakan di mana pelaksanaannya dilihat mampu menarik kedatangan lebih ramai pelancong. Pokok teduhan (yang terdapat dalam kawasan bandar) yang ditanam sejak zaman British ditebang sesuka hati dan pokok yang masih ada dibiarkan tanpa diselenggara dengan baik menyebabkannya berada dalam keadaan 'hidup segan mati tak mahu'.

Pihak MPT juga gagal menjalankan peranannya menyelenggara bangunan lama, walaupun tanggungjawab sepenuhnya terletak pada pemilik premis. Tanpa dorongan dan kerjasama pihak MPT, sebahagian besar bangunan lama di bandar ini berwajah suram dan terus berdiri dalam keadaan cat yang pudar di samping tumbuhan tumpang yang tumbuh di atasnya.

Pemandangan jelik sebegini membuktikan kegagalan dan ketidakupayaan MPT dalam mentadbir Bandar Warisan ini. Pihak atasan MPT harus mempunyai cita rasa tersendiri dalam menyediakan pelan pembangunan, penyediaan landskap dan pemuliharaan bandar Taiping selari dengan konsep sebagai Bandar Warisan.

SAZLINA ISMAIL
Anak Taiping


Komen saya:
Saya setuju dengan apa yang ditulis oleh Sazlina Ismail. Jika saya yang dikatakan 'orang luar' yang pernah bermastautin di Taiping, mempunyai pandangan mengecewakan mengenai Bandar Warisan ini, apatah lagi bagi anak Taiping seperti Sazlina Ismail.

Saya berpindah ke tempat lain dari bandar Taiping pada tahun 1994. Apabila cuti saya biasanya balik kampung di Bagan Serai. Saya akan singgah menjenguk rumah saya yang terletak di Jalan Simpang. Pemandangan di sepanjang jalan Simpang Taiping samalah dengan apa yang digambarkan oleh Sazlina Ismail. Di bandar ini banyak bangunan buruk yang yang lusuh dan ditumbuhi pokok tumpang.

Majlis Perbandaran Taiping (MPT) mesti berbuat sesuatu untuk mencantikkan dan manambahbaikkan Bandar Warisan ini. Jangan mengecewakan penduduk tempatan, pengunjung dan pelancong ke bandar ini. Masih ada keistimewaan di Bandar Warisan Taiping, antaranya: Taman Tasik Taiping, Zoo Taiping, Bukit Larut, Muzium Taiping, Penjara Taiping, sekolah tertua SMK King Edward VII, kueteow goreng Doli, mi udang Kuala Sepetang, ais kacang dan yong taufu bomba, Setesen Keretapi Taiping (buruk sangat) dan lain-lain.

3 comments:

  1. Assalamualaikum.....
    sy telah beberapa kali ke Bandar Taiping, sememangnya Bandar Taiping jauh berbeza dan boleh dikatakan agak ketinggalan pembangunannya berbanding bandar-bandar yang lain. Tetapi harus diakui, Bandar Taiping ada keunikan tersendiri. Sekiranya kita ingin membangunkan Taiping sebagaimana bandar-bandar yang lain atas tujuan pembangunan moden, sy tidak setuju. Tetapi sekiranya ingin mengindahkan dan melandskapkan Bandar Taiping selari dengan sejarahnya sy sangat setuju. Jika kita istilahkan "Taiping Bandar Warisan Mundur" ya sememangnya pengekalan warisan seperti bangunan kedai lama menampakkan kemunduran. Tetapi sekiranya kita gantikan dengan bangunan baru ianya akan menghilangkan ciri2 warisan. Ini kerana sesuatu warisan itu, tidak hanya melibatkan satu komponen sahaja, ianya melibatkan banyak komponen. Tetapi apa yg mungkin diperlukan di sini, pembangunan semula landskap sebagaimana asal dan tidak menampakkan kecacatan yg ketara, walaupun rekabentuknya agar mundur. tetapi harus diingat itu sejarah, merubah keseluruhan landskap bandar akan menghilangkan sejarah warisan. Anda sebagai anak jati Taping harus berbangga dengannya. Percayalah sekiranya Bandar Taiping berupah wajah dengan bangunan-bangunan moden yang besar dan menghilangkan landskap asalnya, anda akan merasai kehilangan warisan suatu hari kelak. Mungkin sempadan bandar warisan ini perlu ditentukan, dan seterusnya luar dari sempadan itu dibangunkan dengan pelbagai pembangunan moden.

    Anak Mak...
    Perak Darul Ridzuan
    Town Planner.

    ReplyDelete
  2. Sayang sekali landasan keretapi pertama di Malaysia dari Taiping ke Kuala Sepetang dicabut dan dibuang hingga tiada lagi kesan sejarah yang tak dapat dicari ganti lagi. Lenyap sudah kesan sejarah yang tidak ternilai. Malang oh malangggg.Jika pihak berkenaan kreatif sudah tentu disediakan pakej menaiki keretapi lama dari Taiping ke Kuala Sepetang sambil menyaksikan Muzium Arkeologi, Muzium Bakau,kilang memproses arang, laut Kuala Sepetang dll yang sangat menarik sepanjang perjalanan.

    ReplyDelete
  3. Dulu setesyen bas ekspress di pindahkan ke Kamunting. Baru-baru ni ada berita yang setesyen keretapi Taiping akan dipindahkan ke Pondok Tanjung. Kesian Taiping...

    ReplyDelete