Jeti penambang Kampung Sungai Melayu bersebelahan jeti konkrit yang baru.
Bot penduduk kampung di tambat di jeti terapung.
Di kejauhan sana boleh dilihat bangunan tinggi di Bandaraya Johor Bahru dan Singapura.
Jeti pengusaha ternakan kupang. Di seberang sana ialah Singapura.
Sangkar ternakan kupang yang diusahakan oleh penduduk Kampung Sungai Melayu.
Pagi tadi aku berjalan-jalan arah ke Gelang Patah. Sebelum sampai Pekan Gelang Patah aku belok ke kiri ke arah Kota Iskandar. Sebelum sampai ke Kota Iskandar, ternampak tanda nama 'Kampung Sungai Melayu'. Belok ke kiri lagi lalu masuk ladang kelapa sawit. Sebelum ini aku tak pernah dengar nama Kampung Sungai Melayu.
Jauh jugak nak sampai ke kampung ini. Lebih kurang 9 kilometer masuk ke dalam. Jalannya nampak masih baru. Rupa-rupanya kampung itu terletak di tepi sungai. Air sungai warna hijau. Setelah berbual-bual dengan seorang nelayan tua di jeti, barulah jelas sedikit cerita tentang Kampung Sungai Melayu. Rumah di kampung ini taklah banyak. Aku anggarkan penduduknya lebih kurang seribu orang. Ada sebuah sekolah rendah, sebuah masjid, sebuah dewan orang ramai dan sebuah jeti konkrit yang masih baru. Yang lain-lain aku tak tahu. Suasana kampung taklah sibuk sangat. Tenang aje. Ketua Kampungnya bernama Pandak Ahmad.
Daripada cerita nelayan tua yang baru aku kenali, penduduk kampung lebih mudah pergi ke Bandaraya Johor Bahru dengan menggunakan bot berenjin yang mengambil masa 10 minit sahaja daripada menggunakan jalan darat yang mengambil masa 1 jam. Sebab itu aku lihat banyak bot tertambat di jeti di kampung ini. Ada bot penambang yang membawa penumpang ke Pantai Lido dan Danga Bay. Walaupun sudah mempunyai jalan darat tetapi kemudahan jeti ini masih diperlukan penduduk kampung, malah menaiki bot sudah menjadi tradisi penduduk sejak berpuluh tahun lalu. Kampung yang berdekatan dengan Kampung Sungai Melayu ialah Sungai Danga, Sungai Temon dan Bakar Batu di Taman Perling. Semuanya dihubungkan dengan jalan laut. Penduduk kampung dah sinonim dengan bot, sungai dan air. Penduduk kampung selain bertani dan menangkap ikan, ada yang mengusahakan ternakan kupang di sangkar. Ada juga yang buat perusahaan memproses belacan.
Dulu-dulu budak-budak kampung ini bersekolah menengah di kawasan Bandaraya Johor Bahru yang pergi dan balik dengan menggunakan bot. Sekarang diorang bersekolah di Gelang Patah atas arahan Jabatan Pelajaran (agaknya arahan itu berkaitan dengan soal keselamatan murid).
No comments:
Post a Comment