Thursday, 18 March 2010

KOTA ISKANDAR

Hari ini dengan kesempatan yang ada kami pergi berjalan-jalan ke Kota Iskandar di Nusa Jaya. Tujuannya untuk melihat keindahan reka bentuk binaan bangunan di sana. Kota Iskandar adalah pusat pentadbiran kerajaan negeri Johor yang baru.

Kalau diamati reka bentuk bangunan-bangunan di Kota Iskandar memang indah dan cantik. Sebenarnya ada yang berbentuk klasik dan ada yang berbentuk moden. Tetapi yang menonjol ialah bentuk bangunan yang seolah-olah meniru gaya dan bentuk istana Al-Hambra di Sepanyol.

Semasa kami ke sana, masih banyak lagi kerja-kerja yang masih dijalankan. Landskapnya pun masih belum menjadi. Yang menarik hati saya ialah lengkungan informasi mengenai negeri Johor di dataran. Tak payah baca buku sejarah tentang Johor. Semuanya ada di situ. Menarik sekali....






KAMPUNG TEBING RUNTUH - CERITA SEDIH SEBUAH KAMPUNG YANG AKAN LENYAP

Nama kampung ini ialah Kampung Tebing Runtuh. Nama Tebing Runtuh popular apabila ia berkaitan dengan Felcra Tebing Runtuh. Felcra Tebing Runtuh juga lenyap apabila kawasan petempatan itu dimajukan untuk dijadikan Kota Iskandar, pusat pentadbiran kerajaan negeri Johor.

Berikut adalah laporan berita mengenainya:

Felcra diperintah bayar pampasan RM6.4 juta
Wednesday, 13 January 2010 07:37AM
©Utusan Malaysia


JOHOR BAHRU 12 Jan. - Felcra Berhad (Felcra) diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini membayar pampasan RM6.4 juta kepada 38 peserta Felcra Tebing Runtuh, Gelang Patah setelah agensi itu didapati melanggar perjanjian. Pesuruhjaya Kehakiman, Vernon Ong Lam Kiat memerintahkan Felcra membayar RM168,311.42 bagi setiap peserta tersebut serta faedah lapan peratus terhadap jumlah itu mulai tarikh tuntutan difailkan pada tahun 2001.

Lam Kiat memutuskan demikian setelah mendapati Felcra melanggar perjanjian dengan penduduk yang merupakan peserta Projek Penyusunan Semula Kampung Tebing Runtuh.
Perjanjian itu melibatkan tanah seluas 604 hektar di Felcra Tebing Runtuh yang dijadikan kompleks pentadbiran Kerajaan Negeri Johor.


Para peserta Felcra itu selaku plaintif memfailkan tuntutan pada 3 Mei 2001 dengan menamakan Felcra defendan pertama, Pejabat Tanah Daerah Johor Bahru defendan kedua dan Kerajaan Negeri Johor defendan ketiga. Mereka menuntut pampasan RM1.8 juta seorang berdasarkan andaian bahawa tanah mereka bernilai RM300,000 bagi setiap 0.4 hektar.

Lam Kiat bagaimanapun menolak tuntutan plaintif terhadap defendan kedua dan ketiga. Dalam pernyataan tuntutan, plaintif mendakwa, pada 4 April 1995, Kerajaan Negeri Johor melalui sepucuk surat dari Pejabat Menteri Besar Johor telah mengesahkan bahawa tanah tersebut akan dikurniakan kepada peserta terbabit. Bagaimanapun, pada 2001, pihak plaintif dimaklumkan hak dan kepentingan mereka telah dibatalkan dan masingmasing hanya diberi pampasan dalam bentuk sebuah rumah berharga RM50,000 dan wang tunai RM173,689.

Peserta Felcra itu diwakili peguam, K. Sasindran, Desmond J. Louis, J. J. Naidu dan S. Jayakumar manakala peguam dari firma guaman, Tetuan Wan Sharifah Jamilah & Partners yang mewakili Felcra tidak hadir. Defendan kedua dan ketiga diwakili Penasihat Undang-Undang Negeri, Datuk Abdul Rahman Putra Taha.

Dah lama saya nak ke kampung ini. Apabila sampai di sini rupa-rupanya ia hanya bersebelahan dengan Puteri Harbour, Kota Iskandar yang dipisahkan oleh tebing yang belum diruntuhkan.

Didakwa asal-usul kampung ini dibina oleh orang-orang Melayu. Ada cerita mengatakan asal-usul orang Melayu itu datang dari Daik di Pulau Lingga dan dari Kampar semasa pemerintahan Johor-Riau-Lingga beratus tahun dulu. Keturunan Kampar tidak membesar manakala keturunan orang Daik terus berkembang sehinggalah hari ini. Kemudian keturunan itu berkahwin campur dengan orang Jawa, Bugis dan lain-lain.

Kampung ini tidaklah sebesar mana. Sunyi dan senyap semasa siang hari. Agaknya penduduk kampung sibuk bekerja mencari rezeki untuk diri dan keluarga. Terdapat sebuah sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan Sikijang, sebuah pos tentera (ATM), sebuah menara tinjau kepunyaan ATM, sebuah kubur lama dan sebuah masjid iaitu Masjid Al-Hidayah. Lain-lain kemudahan tak berapa nampak. Ada juga rumah-rumah yang dibina di gigi air Selat Tebrau.

Yang menariknya mengikut cerita seorang penduduk kampung ini, pada zaman Jepun dulu, tepi pantai kampung ini iaitu berhampiran dengan kubur lama berhimpunlah beribu soldadu/tentera Jepun untuk menyerang tentera British di Singapura. Jarak Singapura dengan kampung ini tak jauh, dekat sahaja yang dipisahkan oleh Selat Tebrau. Penduduk kampung diperintahkan keluar dari kampung ini untuk mencari perlindungan. Ketika perang. salah seorang jeneral Jepun mati kena bedil tentera British dari arah pulau Singapura lalu ditanam di kawasan kubur di kampung ini. Ironinya jeneral Jepun yang terbunuh itu beragama Islam (betul ke?). Tak lama kemudian kubur digali dan mayat dibawa balik ke Jepun.

Sayang sekali apabila mendapat tahu bahawa kampung ini akan lenyap diambil-alih kerana kawasan kampung in i berada di kawasan WPI dan Kota Iskandar, sebagaimana lenyapnya Felcra Tebing Runtuh. Sebagaimana namanya iaitu Tebing Runtuh, kampung ini yang tebingnya bercenuram juga akan runtuh dan lenyap tak lama lagi. Bukan sahaja runtuh tetapi lenyap terus. Saya harap penduduk Kampung Tebing Runtuh bersabar....




Inilah Kampung Tebing Runtuh. Ada rumah yang dibina di gigi air Selat Tebrau.
Di kejauhan sana ialah pulau Singapura yang dipisahkan oleh Selat Tebrau.
Rumah-rumah penduduk Kampung Tebing Runtuh yang menghadap ke Selat Tebrau.

Kedudukan Kampung Tebing Runtuh di cenuram tebing Selat Tebrau.
Diceritakan di sinilah tentera Jepun berhimpun untuk menyerang
Singapura semasa perang dunia ke 2.

Kubur lama Kampung Tebing Runtuh berhampiran Selat Tebrau.
Diceritakan juga bahawa seorang jeneral tentera Jepun di kebumikan di kubur ini
setelah terbunuh dibedil oleh tentera British dari seberang di pulau Singapura.

Menara tinjau Angkatan Tentera Malaysia berhampiran kubur lama
Kampung Tebing Runtuh. Tentera membuat tinjauan ke arah
Selat Tebrau dan pulau Singapura.


Monday, 1 March 2010

KAMPUNG PENDAS

Pendas... sebuah kampung di hujung jalan mati yang berakhir dengan Sungai Pendas. Jika ke sini kita akan melalui Gelang Patah terlebih dulu. Beberapa kampung seperti Kampung Pekajang, Kampung Pok dan Kampung Ladang akan kita lalui sebelum sampai di Pendas. Di seberang sana ialah Kampung Pendas Laut yang tak ramai penduduknya. Di sana ada sebuah sekolah dan sebuah masjid. Kebanyakan penduduknya adalah nelayan.

Pendas ni ialah pengkalan bagi nelayan-nelayan kecil. Bot-bot diorang pun kecil sahaja. Jika hari Sabtu dan Ahad ramai kaki pancing yang menggunakan jeti di kampung ini untuk pergi memancing di sepanjang Selat Tebrau. Bot boleh di sewa. Di Pendas ni tiada penduduk. Penduduknya tinggal di Kampung Ladang. Buat masa ini pembinaan penempatan bagi perpindahan penduduk Pendas Laut sedang dibina.

Di sekitar Pendas banyak hutan bakau, ada sebuah restoran makanan laut , kolam ternakan udang dan tapak perkhemahan Sungai Che Manan. Rasanya apabila malam mungkin membosankan. Namun kita boleh melihat pemandangan yang cantik pada waktu awal pagi dan sewaktu senja terutamanya jika kita berada di Kampung Pendas Laut.

Kalau nak cari dan beli ikan atau ketam segar datanglah ke Pendas sebelah pagi. Di sini ada tempat jualan hasil laut. Tapi jangan terlewat selepas pukul 12.00 tengahari. Tempat jualan dah tutup. Segala hasil laut yang berlebihan di pasarkan ke Pontian dan Johor Bahru.



Olengan bot nelayan.

Restoran di gigi air.

Dulu pondok tu adalah restoran makanan laut. Sekarang dah tutup.

Seorang nelayan mencuci bot kesayangannya.