Friday, 9 July 2010

MANFAAT PENGAJARAN PENTING DALAM ISRA' MIKRAJ

Oleh HASHIM AHMAD
Utusan Melayu, 9 Julai 2010

KITA sekali lagi berada di bulan Rejab - bulan yang mulia, bulan Rasulullah SAW di Isra' Mikraj sehingga bulan ini turut dinamakan bulan Isra' dan Mikraj. Menurut kaul yang masyhur, peristiwa Isra' dan Mikraj berlaku pada 27 Rejab, setahun sebelum Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah, kira-kira dalam tahun 621 masehi.

Tahun itu juga disebut sebagai Tahun Dukacita kerana Rasulullah SAW pada tahun tersebut telah mengalami musibah yang paling sedih dengan kehilangan bapa saudaranya, Abu Talib yang sentiasa memberi perlindungan kepada baginda dan isterinya, Khadijah, seorang isteri yang telah memberi pengorbanan harta dan jiwanya untuk membela perjuangan Rasulullah SAW.
Ayat al-Quran pada permulaan Surah al-Isra' menjelaskan bahawa Rasulullah SAW telah di Isra'kan pada suatu malam dari Masjidil Haram di Mekah hingga ke Masjidil Aqsa di Palestin dengan tujuan untuk memperlihatkan ayat-ayat Allah (tanda-tanda kebesaran Allah).

Sesungguhnya al-Quran tidak menjelaskan satu persatu apa yang dilihat dan disaksikan oleh Rasulullah SAW pada malam Isra' dan Mikraj itu. Tetapi hadis-hadis telah banyak meriwayatkan peristiwa luar biasa dan ajaib yang penuh dengan pengajaran dan perbandingan yang sangat penting dan bernilai itu.

Peristiwa Mikraj yang menyaksikan Rasulullah SAW dari Baitulmaqdis naik ke langit pertama, kedua, ketiga dan seterusnya ke Sidratul Muntaha, mengadap Allah SWT ada digambarkan dalam Surah An Najm ayat 1 hingga 18.

Kita dapat mengikuti peristiwa-peristiwa Isra' dan Mikraj dalam beberapa hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim selain daripada hadis-hadis yang daif. Ada beberapa kesimpulan dapat diperkatakan mengenai peristiwa Isra' dan Mikraj.

  1. Ia satu peristiwa besar yang luar biasa dan mukjizat kepada Rasulullah yang khusus dan hanya layak diberi dan diterima oleh Nabi Muhammad SAW selaku Nabi terakhir dan penyudah segala Nabi dan Rasul.
  2. Intisari kandungan Surah al-Isra' adalah untuk menegaskan tujuan dan hikmah berlakunya mukjizat Isra' yang luar biasa itu, kerana hendak memperlihatkan kepada Nabi Muhammad SAW tanda-tanda kekuasaan dan kebesaran Allah azzawajalla. Kemuliaan yang besar itu dikurniakan oleh Allah ketika baginda sedang menghadapi penentangan keras daripada puak kafir Quraisy Mekah dan ditambah pula dengan peristiwa-peristiwa sedih kehilangan Abu Talib dan Khadijah agar baginda terus berjuang menyebarkan dakwah Islamiah sehingga Islam berjaya mencapai matlamatnya.
  3. Mengenai kekuatan jiwa (rohani), As Syed Muhammad Rasyid Redha dalam tafsirnya Al Hakim dan Al Manar antara lain menjelaskan bahawa: "Israk dan Mikraj itu berlaku dalam keadaan 'kerohanian' yang kukuh dan teguh. Di dalamnya ada kekuatan jiwa menurut 'sunnah Allah' yang telah berlaku kepada jasad (badan kasar) Rasulullah, lalu menjadi ringan dan halus seperti tubuh para malaikat." Ini adalah jawapan kepada setengah-setengah orang di zaman sains dan teknologi ini yang masih meragui bagaimana boleh berlaku Isra' dan Mikraj kepada baginda Rasulullah, sebagai seorang manusia bertubuh kasar, bukannya malaikat bertubuh halus.
  4. Hadis-hadis banyak meriwayatkan perjalanan (Isra') Rasulullah yang bermula dari masjid Mekah menuju ke Madinah, dan kemudian ke Masjidil Aqsa. Semasa dalam perjalanan itu, baginda telah diperlihatkan dengan pelbagai peristiwa, pengajaran, contoh teladan dan perbandingan yang baik dan buruk yang dilakukan oleh umat manusia di dunia, khususnya oleh umat Nabi Muhammad SAW sendiri. Di antara peristiwa tersebut ialah balasan baik kepada orang yang berjihad di jalan Allah, juga balasan buruk yang diterima oleh orang yang melakukan maksiat seperti zina, minum arak, meninggalkan sembahyang lima waktu dan sebagainya.
  5. Hadis-hadis juga meriwayatkan bahawa setelah baginda Rasulullah sampai di Masjidil Aqsa di Baitulmaqdis, maka dari sanalah baginda dimikraj naik ke angkasa lepas ke langit pertama, kedua, ketiga, sampai ke langit ketujuh, bertemu dengan roh para Nabi dan Rasul-rasul. Kemudian naik lagi ke tempat yang paling tinggi (Sidratul Muntaha) mengadap ke hadrat Allah SWT.Pada saat yang paling penting dan istimewa inilah Rasulullah menerima perintah sembahyang fardu lima waktu yang pada mulanya berjumlah 50 waktu. Setelah Nabi Muhammad SAW beberapa kali memohon keringanan, akhirnya diperkenankan oleh Allah SWT setakat lima waktu sahaja, tetapi nilai pahalanya tetap seperti 50 waktu juga. Di sini jelaslah betapa pentingnya menunaikan sembahyang fardu yang lima waktu itu. Ia telah menjadi rukun kedua di dalam Rukun Islam sehingga Rasulullah dijemput sendiri mengadap Allah SWT untuk menerima perintah mengerjakannya pada malam Isra' dan Mikraj itu. Perintah mengerjakan sembahyang ini berbeza dengan perintah-perintah ibadat yang lain seperti puasa, zakat dan haji yang disampaikan melalui perantaraan Jibrail yang turun membawa wahyu kepada Rasulullah di muka bumi ini. Menyedari pentingnya sembahyang lima waktu maka marilah kita jadikan sepanjang bulan Rejab ini sebagai bulan untuk memastikan diri kita, keluarga dan setiap umat Islam tidak meninggalkan sembahyang lima waktu kerana ia adalah tugas fardu ain yang tidak dapat ditukar ganti atau diuzurkan.
  6. Akhir sekali, perkara yang tidak dapat kita lupakan dalam memperingati Isra' dan Mikraj ialah Masjid Al Aqsa di Baitulmaqdis yang menjadi tempat berpijak Rasulullah ketika baginda hendak melakukan Mikraj naik ke langit pernah menjadi kiblat umat Islam selama 17 bulan di zaman Rasulullah SAW. Setiap umat Islam tentu tidak rela melihat rumah suci Masjidil Aqsa itu dinodai dan dicemari kuasa penjajah Zionis Israel yang sudah menjangkau masa puluhan tahun itu.

No comments:

Post a Comment