Sunday, 19 September 2010

BERJALAN-JALAN DI KELILING GEMERLAPAN WARNA-WARNI PANCARAN CAHAYA LED DI i-CITY

Pada hari Sabtu semalam kitorang sekeluarga menghantar 'Abang' dan 'Kakak' ke tempat bertapa diorang; 'Abang' di Shah Alam dan 'Kakak' di Sepang, setelah puas bercuti hari raya aidilfitri di kampung. Pada kali ini kami singgah di i-City yang terletak di Seksyen 7 Shah Alam. Apa yang menarik di i-City ini? i-City adalah taman tema yang kini menjadi tumpuan pengunjung dalam dan luar negara terutamanya pada waktu malam kerana keindahan landskap lampu LED yang berwarna-warni. i-City telah menerima pengiktirafan sebagai pusat tarikan pelancong kerana keunikan reka bentuk dan taman temanya. Datanglah ke i-City ini pada waktu malam untuk menikmati pancaran cahaya berwarna-warni LED yang dijadikan landskap sambil berekreasi. Banyak pokok-pokok LED yang dipasang merata tempat. Terdapat juga taman salji di dalam bangunan. Memang mengagumkan. Kesemuanya berasaskan teknologi LED.




















Friday, 10 September 2010

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI

Selamat Hari Raya Aidilfitri. Maaf Zahir dan Batin.

Thursday, 9 September 2010

RAMADHAN MENGHILANG SYAWAL MENJELMA

Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar.
Lailaha Illallah Wallahu Akbar.
Allahuakbar Walillahil Hamd.


Hari Raya Aidlifitri menjelang lagi. InsyaAllah umat Islam di Malaysia merayakannya esok iaitu pada hari Jumaat 10 September 2010. Hari Raya Aidilfitri mempunyai keistimewaan yang tersendiri. Hari Raya Aidilfitri ini merupakan kemenangan bagi umat Islam yang melepasi godaan nafsu dengan berpuasa dan menahan diri daripada lapar dan dahaga. Sempena dengan hari kemenangan ini sepatutnya umat Islam mengisinya dengan aktiviti yang terus mengekalkan dirinya dalam keadaan fitrah yang suci setelah dosanya diampunkan oleh Allah SWT.

Setelah beribadah puasa selama sebulan, bergembira di Syawal tidak ditegah. Malah Rasulullah SAW sendiri membenarkan umat Islam bergembira di Syawal, dengan syarat gembira itu mestilah dilaksanakan dan dizahirkan dalam bentuk yang di terima Islam. Nabi SAW pernah menegur Abu Bakar As-Siddiq apabila melihat Abu Bakar memarahi Aisyah r.a dan penghibur kanak-kanak yang sedang menyanyikan nasyid di rumah Rasulullah SAW dengan katanya: "Biarkan ia (wahai Abu Bakar) kerana ini adalah hari raya" (Riwayat Al-Bukhari).

Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud: “Bagi orang yang berpuasa itu dua kegembiraan, pertama kegembiraan ketika mereka berbuka dan kedua kegembiraan mereka ketika bertemu dengan Tuhannya yang Maha Pemurah.”

Umat Islam digalakkan menyambut Hari Raya Aidil Fitri dengan tahmid sebagai bersyukur kepada Allah bersempena dengan hari yang mulia itu. Ini diterangkan di dalam Al-Quran dan juga di dalam hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. Maksudnya: "Hiasilah hari raya kamu dengan Takbir dan Tahmid." dan daripada Anas r.a.: "Hiasilah kedua-dua hari raya kamu iaitu Hari Raya Aidilfitri dan juga Hari Raya Aidiladha dengan Takbir, Tahmid dan Taqdis."

Bagi meyambut hari kebesaran ini, ramai yang bertakbir tetapi tidak ramai yang berusaha menghayati lafaz-lafaz dalam takbir dan tahmid itu walaupun ianya diulang-ulang setiap kali tiba hari raya. Penghayatan dan kemanisan lafaz-lafaz itu tidak dapat dirasai.

Maksud takbir:

"Allah maha besar. Tiada tuhan melainkan Allah, kami tidak menyembah kecuali kepada-Nya, dengan ikhlas untuk agama (Islam), walaupun dibenci oleh golongan yang menyekutukan Allah."

"Tiada tuhan melainkan Allah Yang Esa yang benar janjiNya, yang memuliakan tentera-tenteraNya (tentera Muslimin) yang menolong hamba-Nya (dengan) mengalahkan tentera Ahzab (tentera bersekutu yang diketuai oleh kaum musyrikin serta kaum Yahudi dan Nasrani) dengan keesaanNya."

"Tiada tuhan melainkan Allah yang Maha Besar Allah Yang Maha Besar dan untuk Allahlah segala puji-pujian."

Justeru, amat penting bagi kita berhati-hati dalam bergembira di hari raya. Untuk memastikan yang kita berhati-hati, perlulah menjaga beberapa adab penting sepanjang Aidilfitri, seperti:

  1. Mandi sunat hari raya aidilfitri di awal pagi.
  2. Memakai wangian dan pakaian paling bagus, dan tidak semestinya baru.
  3. Makan sebelum berangkat menuju ke tempat solat sunat Aidilfitri.
  4. Di sepanjang perjalanan ke tempat solat sunat aidilfitri, pada waktu inilah sebenarnya waktu terbaik untuk melafazkan takbir raya.
  5. Sebaik-baik tempat solat Aidilfitri ialah di tempat yang terbuka seperti di padang atau dewan besar, di mana dibolehkan perhimpunan besar diadakan.
  6. Semua disunatkan pergi ke tempat solat tersebut. Bagi yang terlambat, atau keseorangan di kejauhan, maka bolehlah dibuat secara bersendirian.
  7. Pulang mengikuti jalan yang lain berbanding jalan pergi ke tempat solat. Ini bagi membolehkan kita bertemu dengan lebih ramai umat Islam.
  8. Mengucapkan tahniah dan doa kepada umat Islam lain.
  9. Membuat apa sahaja simbol gembira dan menggembirakan orang lain, asalkan tidak melanggar syariat.
  10. Allah menyuruh kita agar mengiktiraf akan kebesaranNya dengan mengucap 'Takbir' pada malam Aidilfitri dengan gema yang mampu menggemparkan para syaitan.
  11. Allah menyuruh kita mensyukuri segala nikmatNya dengan bertahmid dan berzikir.
  12. Allah menyuruh kita supaya memohon keampunan dengan beristighfar.
  13. Allah memerintahkan kita supaya mengeluarkan 'Sadaqatul Fitri' (membayar zakat fitrah).
  14. Keluar beramai-ramai untuk menunaikan solat Aidilfitri dan mendengar khutbah dengan penuh penghayatan.
  15. Bertemu, beramah mesra dan bermaaf-maafan sesama muslimin.
  16. Menziarahi kubur dan memohon keampunan untuk ahli-ahlinya.
  17. Kunjung mengunjungi dan ziarah-menziarahi untuk mengeratkan silaturrahim.

Semoga Syawal pada tahun ini memberi makna dalam kehidupan kita di dunia mahupun akhirat...InsyaAllah...


Selamat Hari Raya Aidilfitri.

Wednesday, 8 September 2010

SEDIH DI AKHIR RAMADHAN

Hari ini Rabu adalah hari ke dua puluh lapan umat Islam berpuasa di bulan Ramadhan. InsyaAllah ia akan berakhir sama ada esok atau Jumaat. Syawal yang dirai akan menjelma.

Di akhir Ramadhan ini saya rasa sedih. Sedih kerana tak lama lagi kita akan kehilangan Ramadhan pada tahun ini. Di akhir Ramadhan Allah menjanjikan pahala yang berlipat kali ganda dan dijauhkan dari api neraka. Ramadhan juga bulan yang hanya satu kali dalam satu tahun yang Lailatul Qadar, yang nilainya lebih baik dari 1000 bulan. Mungkin ramai orang yang menangis meninggalkan Ramdhan apabila melihat keutamaan bulan ini.

Lebih beruntung lagi bagi orang yang berpuasa dan dapat beribadat di malam Al-Qadar (malam agung dan mulia), iaitu satu malam yang mempunyai keistimewaan dan kelebihannya menandingi seribu bulan malam-malam biasa. Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya kami menurunkan (Al-Quran) pada malam Al-Qadar itu, tahukah kamu apakah malam Qadar itu?, malam itu adalah lebih baik daripada seribu bulan".(Surah Al-Qadar: 1-3).

Setelah kita berpuasa, kita perlulah bermuhasabah dan merenung kualiti puasa yang kita lakukan. Adakah rasa keimanan dan ketaqwaan dalam diri kita semakin meningkat atau masih seperti sebelumnya. Kalaulah ini yang dicapai,bererti tanda amalan kita di terima oleh Allah SWT.

Sasaran berpuasa ialah untuk mendapat puasa yang di terima oleh Allah SWT. Jika tidak ada peningkatan antara ibadat sebelum dan selepasnya, ini jelas menunjukkan ibadat puasa kita tidak sampai ke matlamatnya.

Terasa amat berat untuk kita berpisah dengan bulan Ramadhan, kerana banyaknya keistimewaan dan ganjaran di dalamnya, walau bagaimanapun, peluang untuk kita masih terbuka. Bulan Syawal yang bakal tiba, Allah SWT menyediakan pula kepada kita dengan menjanjikan ganjaran-ganjaran pahala setahun bagi yang berpuasa 6 hari di bulan Syawal, sebaik sahaja kita selesai menyambut 1 Syawal (Aidilfitri). Rasulullah SAW bersabda, "Sesiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian diikuti pula dengan puasa sunat enam hari pada bulan Syawal, ia adalah seperti berpuasa setahun".(Hadis Riwayat Muslim).

Ramai memahami bahawa Ramadan itu, kehadirannya dinanti, pemergiannya ditangisi. Selain itu, semua bersetuju bahawa ketibaan Syawal perlu dirai. Masakan tidak sedih berpisah dengan tempoh masa di mana sifat Pemurah dan Penerima Taubat Allah itu berlipat ganda. Masakan tidak sedih berpisah dengan saat di mana bala syaitan itu digari. Masakan tidak sedih berpisah dengan saat pintu syurga dibuka seluasnya, dan pintu neraka itu ditutup serapatnya. Masakan tidak sedih berpisah dengan tempoh masa khusus untuk melahirkan generasi bertaqwa, berasaskan kepada hidayah al-Quran. Semua ganjaran ini, hanya ditawarkan terhad sepanjang bulan Ramadhan sahaja.

Adakah kita termasuk golongan orang yang gembira atau yang bersedih apabila saat meninggalkan Ramadhan? Hanya diri kita sahaja yang boleh menjawabnya.

Jadi mengapa orang mukmin sepatutnya bersedih apabila Ramadhan dah nak berakhir?

Secara ringkasnya, dengan berdasarkan dalil-dalil yang sohih, peluang dan kemudahan yang diberikan Allah SWT di bulan ini yang pastinya akan dirindui dan di tangisi oleh para mukminin dan solihin adalah:-
  1. Peluang untuk meraih ke syurga yang terbuka luas di dalamnya, berdasarkan hadith yang menyebut tentang pintu syurga dibuka, pintu neraka ditutup dan syaitan di belenggu. Lalu mukmin sentiasa bimbang akan penerimaan Allah SWT terhadap diri dan amalannya.
  2. Tawaran pengampunan dosa-dosa silam bagi yang berpuasa dan menghidupkan malamnya dengan solat terawih ikhlas kerana Allah. Berdasarkan hadith Bukhari dan Muslim. Tamat jua peruntukan hebat ini di akhir Ramadhan.
  3. Kemaqbulan doa yang hebat ketika berpuasa dan berbuka berdasarkan hadith Riwayat Ibn Majah yang sohih. Berlalulah tawaran ini dengan pemergian Ramadhan.
  4. Peluang mempertingkat taqwa, iman dan menambah keberkatan dalam hidup dunia dan akhirat. Ia berdasarkan firman Allah SWT.
  5. Peluang terbesar di Malam al-Qadar yang amat istimewa. Hasil dari sebab inilah, kita dapati ramai ulama silam disifatkan amat sedih dengan pemergian Ramadhan, terutamanya apabila memikirkan samada akan dapat bertemu lagi pelaung sehebat Ramadhan di tahun hadapan.

MALAM LAILATUL QADR

Sekarang kita sudah masuk hari ke27 berpuasa di bulan Ramadhan. Pada hari-hari terakhir ini, junjungan kita Rasulullah s.a.w. menggalakkan umat Islam untuk meningkatkan amal ibadah, kerana pada waktu inilah akan turunnya malam yang apabila seorang hamba beribadah, ibadahnya adalah seperti ibadah selama seribu bulan. Malam itu dinamakan malam Lailatul Qadar.

Saiyidatuna Aisyah, isteri Rasulullah pernah berkata: Ertinya: Adalah nabi s.a.w. apabila tiba malam sepuluh terakhir dari bulan Ramadhan, beliau mempergiatkan lagi ibadahnya, menghidupkan malamnya dan mengejutkan ahli keluarganya untuk beribadah.( Hadith riwayat Bukhari dan Muslim).

Lailatul Qadr menurut bahasa ialah malam kemuliaan dan malam kebesaran. Adapun kelebihan malam ini ada termaktub di dalam Al-Quran seperti turunnya kitab suci Al-Quran. Allah juga telah menerangkan bahawa malam ini adalah lebih baik daripada seribu bulan. Para malaikat beserta Jibril juga akan diturunkan ke bumi dengan izin Allah pada malam yang mulia ini. Allah juga telah menjamin kesejahteraan malam ini akan berpanjangan sehingga terbit fajar.

Bagi mendapatkan malam lalaitul qadr tersebut seseorang itu mestilah bersedia bukan sekadar mengaharpkan malam tertentu dalam bulan ramadhan tersebut sahaja, malahan perlulah besedia setiap masa sejak awal lagi untuk memperhambakan diri terhadap Allah swt semoga Allah swt memberikan kemudahan untuk mendapatkannya.

Malam lalatul qadr tersebut tidak di ketahui bila malamnya, kerana kalau diketahui umum seseorang itu hanya beribadat pada malam yang ditetapakan itu sahaja, tetapi yang lebih penting seorang mukmin itu dikehendaki sentiasa taat, beramal malksanakan ibadat dan kebajikan terhadap Allah swt sehingga kemuncaknya amalannya dianugerahkan Allah dengan lailatul qadar yang dimaksudkan.

Oleh itu, marilah kita berlumba-lumba untuk mendapatkan malam Lailatul Qadr itu, malam yang penuh dengan keberkahan dan kenikmatan dengan memperbanyakkan amal ibadah. Mudah-mudahan Allah akan memberikan hidayahNya kepada kita agar kita semua dapat ditemukan dengan malam yang amat dinanti-nantikan ini dan semoga dengan itu juga, dapatlah kita membiasakan diri kita untuk beribadah kepada Allah, sentiasa mengingatiNya dalam apa jua keadaan demi untuk meraih rahmat serta keampunan Allah s.w.t.

Diantara tanda-tanda berlakunya Lailatul Qadr:
  • Di antara tanda yang sempat terlihat pada masa Nabi s.a.w adalah bahwasanya ketika baginda bersujud di waktu Subuh di atas tanah yang dibasahi dengan air, ertinya bahawa pada malam itu turun hujan sehingga baginda sujud di atas tanah yang berair.
  • Malam itu tenang dan hening, keadaannya tidak dingin dan tidak panas; siangnya pula memancarkan cahaya matahari yang warnanya pucat; pada malam itu juga malaikat Jibril akan menyelami orang yang beribadat pada malam itu dan secara tiba-tiba kita akan rasa sangat sayu dan kemudiannya menangis teresak-esak.

Lailatul Qadr adalah malam dibukanya seluruh pintu kebaikan, didekatkannya para kekasih Allah, didengarkannya permohonan dan dijawabnya segala doa, amal kebaikan pada malam itu ditulis dengan pahala sebesar besarnya, malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Maka hendaknya kita berusaha untuk mencarinya dengan bersungguh-sungguh.

Surah Al-Qdr, ertinya : “Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu? Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut). Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!”

Terdapat banyak faedah dan khasiat yang terkandung dalam surah ini, antara lain ialah:

  • Memudahkan mendapat rezeki
  • Di lepaskan dari seksa kubur
  • Menguatkan iman.
  • Memudahkan mendapat rezeki yang halal
  • Untuk memperoleh segala impian.
  • Keluasan rezeki selama kain masih dapat dipakai.