Wednesday, 8 September 2010

SEDIH DI AKHIR RAMADHAN

Hari ini Rabu adalah hari ke dua puluh lapan umat Islam berpuasa di bulan Ramadhan. InsyaAllah ia akan berakhir sama ada esok atau Jumaat. Syawal yang dirai akan menjelma.

Di akhir Ramadhan ini saya rasa sedih. Sedih kerana tak lama lagi kita akan kehilangan Ramadhan pada tahun ini. Di akhir Ramadhan Allah menjanjikan pahala yang berlipat kali ganda dan dijauhkan dari api neraka. Ramadhan juga bulan yang hanya satu kali dalam satu tahun yang Lailatul Qadar, yang nilainya lebih baik dari 1000 bulan. Mungkin ramai orang yang menangis meninggalkan Ramdhan apabila melihat keutamaan bulan ini.

Lebih beruntung lagi bagi orang yang berpuasa dan dapat beribadat di malam Al-Qadar (malam agung dan mulia), iaitu satu malam yang mempunyai keistimewaan dan kelebihannya menandingi seribu bulan malam-malam biasa. Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya kami menurunkan (Al-Quran) pada malam Al-Qadar itu, tahukah kamu apakah malam Qadar itu?, malam itu adalah lebih baik daripada seribu bulan".(Surah Al-Qadar: 1-3).

Setelah kita berpuasa, kita perlulah bermuhasabah dan merenung kualiti puasa yang kita lakukan. Adakah rasa keimanan dan ketaqwaan dalam diri kita semakin meningkat atau masih seperti sebelumnya. Kalaulah ini yang dicapai,bererti tanda amalan kita di terima oleh Allah SWT.

Sasaran berpuasa ialah untuk mendapat puasa yang di terima oleh Allah SWT. Jika tidak ada peningkatan antara ibadat sebelum dan selepasnya, ini jelas menunjukkan ibadat puasa kita tidak sampai ke matlamatnya.

Terasa amat berat untuk kita berpisah dengan bulan Ramadhan, kerana banyaknya keistimewaan dan ganjaran di dalamnya, walau bagaimanapun, peluang untuk kita masih terbuka. Bulan Syawal yang bakal tiba, Allah SWT menyediakan pula kepada kita dengan menjanjikan ganjaran-ganjaran pahala setahun bagi yang berpuasa 6 hari di bulan Syawal, sebaik sahaja kita selesai menyambut 1 Syawal (Aidilfitri). Rasulullah SAW bersabda, "Sesiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian diikuti pula dengan puasa sunat enam hari pada bulan Syawal, ia adalah seperti berpuasa setahun".(Hadis Riwayat Muslim).

Ramai memahami bahawa Ramadan itu, kehadirannya dinanti, pemergiannya ditangisi. Selain itu, semua bersetuju bahawa ketibaan Syawal perlu dirai. Masakan tidak sedih berpisah dengan tempoh masa di mana sifat Pemurah dan Penerima Taubat Allah itu berlipat ganda. Masakan tidak sedih berpisah dengan saat di mana bala syaitan itu digari. Masakan tidak sedih berpisah dengan saat pintu syurga dibuka seluasnya, dan pintu neraka itu ditutup serapatnya. Masakan tidak sedih berpisah dengan tempoh masa khusus untuk melahirkan generasi bertaqwa, berasaskan kepada hidayah al-Quran. Semua ganjaran ini, hanya ditawarkan terhad sepanjang bulan Ramadhan sahaja.

Adakah kita termasuk golongan orang yang gembira atau yang bersedih apabila saat meninggalkan Ramadhan? Hanya diri kita sahaja yang boleh menjawabnya.

Jadi mengapa orang mukmin sepatutnya bersedih apabila Ramadhan dah nak berakhir?

Secara ringkasnya, dengan berdasarkan dalil-dalil yang sohih, peluang dan kemudahan yang diberikan Allah SWT di bulan ini yang pastinya akan dirindui dan di tangisi oleh para mukminin dan solihin adalah:-
  1. Peluang untuk meraih ke syurga yang terbuka luas di dalamnya, berdasarkan hadith yang menyebut tentang pintu syurga dibuka, pintu neraka ditutup dan syaitan di belenggu. Lalu mukmin sentiasa bimbang akan penerimaan Allah SWT terhadap diri dan amalannya.
  2. Tawaran pengampunan dosa-dosa silam bagi yang berpuasa dan menghidupkan malamnya dengan solat terawih ikhlas kerana Allah. Berdasarkan hadith Bukhari dan Muslim. Tamat jua peruntukan hebat ini di akhir Ramadhan.
  3. Kemaqbulan doa yang hebat ketika berpuasa dan berbuka berdasarkan hadith Riwayat Ibn Majah yang sohih. Berlalulah tawaran ini dengan pemergian Ramadhan.
  4. Peluang mempertingkat taqwa, iman dan menambah keberkatan dalam hidup dunia dan akhirat. Ia berdasarkan firman Allah SWT.
  5. Peluang terbesar di Malam al-Qadar yang amat istimewa. Hasil dari sebab inilah, kita dapati ramai ulama silam disifatkan amat sedih dengan pemergian Ramadhan, terutamanya apabila memikirkan samada akan dapat bertemu lagi pelaung sehebat Ramadhan di tahun hadapan.

No comments:

Post a Comment