Lailaha Illallah Wallahu Akbar.
Allahuakbar Walillahil Hamd.
Hari Raya Aidlifitri menjelang lagi. InsyaAllah umat Islam di Malaysia merayakannya esok iaitu pada hari Jumaat 10 September 2010. Hari Raya Aidilfitri mempunyai keistimewaan yang tersendiri. Hari Raya Aidilfitri ini merupakan kemenangan bagi umat Islam yang melepasi godaan nafsu dengan berpuasa dan menahan diri daripada lapar dan dahaga. Sempena dengan hari kemenangan ini sepatutnya umat Islam mengisinya dengan aktiviti yang terus mengekalkan dirinya dalam keadaan fitrah yang suci setelah dosanya diampunkan oleh Allah SWT.
Setelah beribadah puasa selama sebulan, bergembira di Syawal tidak ditegah. Malah Rasulullah SAW sendiri membenarkan umat Islam bergembira di Syawal, dengan syarat gembira itu mestilah dilaksanakan dan dizahirkan dalam bentuk yang di terima Islam. Nabi SAW pernah menegur Abu Bakar As-Siddiq apabila melihat Abu Bakar memarahi Aisyah r.a dan penghibur kanak-kanak yang sedang menyanyikan nasyid di rumah Rasulullah SAW dengan katanya: "Biarkan ia (wahai Abu Bakar) kerana ini adalah hari raya" (Riwayat Al-Bukhari).
Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud: “Bagi orang yang berpuasa itu dua kegembiraan, pertama kegembiraan ketika mereka berbuka dan kedua kegembiraan mereka ketika bertemu dengan Tuhannya yang Maha Pemurah.”
Umat Islam digalakkan menyambut Hari Raya Aidil Fitri dengan tahmid sebagai bersyukur kepada Allah bersempena dengan hari yang mulia itu. Ini diterangkan di dalam Al-Quran dan juga di dalam hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. Maksudnya: "Hiasilah hari raya kamu dengan Takbir dan Tahmid." dan daripada Anas r.a.: "Hiasilah kedua-dua hari raya kamu iaitu Hari Raya Aidilfitri dan juga Hari Raya Aidiladha dengan Takbir, Tahmid dan Taqdis."
Bagi meyambut hari kebesaran ini, ramai yang bertakbir tetapi tidak ramai yang berusaha menghayati lafaz-lafaz dalam takbir dan tahmid itu walaupun ianya diulang-ulang setiap kali tiba hari raya. Penghayatan dan kemanisan lafaz-lafaz itu tidak dapat dirasai.
Maksud takbir:
"Allah maha besar. Tiada tuhan melainkan Allah, kami tidak menyembah kecuali kepada-Nya, dengan ikhlas untuk agama (Islam), walaupun dibenci oleh golongan yang menyekutukan Allah."
"Tiada tuhan melainkan Allah Yang Esa yang benar janjiNya, yang memuliakan tentera-tenteraNya (tentera Muslimin) yang menolong hamba-Nya (dengan) mengalahkan tentera Ahzab (tentera bersekutu yang diketuai oleh kaum musyrikin serta kaum Yahudi dan Nasrani) dengan keesaanNya."
"Tiada tuhan melainkan Allah yang Maha Besar Allah Yang Maha Besar dan untuk Allahlah segala puji-pujian."
Justeru, amat penting bagi kita berhati-hati dalam bergembira di hari raya. Untuk memastikan yang kita berhati-hati, perlulah menjaga beberapa adab penting sepanjang Aidilfitri, seperti:
- Mandi sunat hari raya aidilfitri di awal pagi.
- Memakai wangian dan pakaian paling bagus, dan tidak semestinya baru.
- Makan sebelum berangkat menuju ke tempat solat sunat Aidilfitri.
- Di sepanjang perjalanan ke tempat solat sunat aidilfitri, pada waktu inilah sebenarnya waktu terbaik untuk melafazkan takbir raya.
- Sebaik-baik tempat solat Aidilfitri ialah di tempat yang terbuka seperti di padang atau dewan besar, di mana dibolehkan perhimpunan besar diadakan.
- Semua disunatkan pergi ke tempat solat tersebut. Bagi yang terlambat, atau keseorangan di kejauhan, maka bolehlah dibuat secara bersendirian.
- Pulang mengikuti jalan yang lain berbanding jalan pergi ke tempat solat. Ini bagi membolehkan kita bertemu dengan lebih ramai umat Islam.
- Mengucapkan tahniah dan doa kepada umat Islam lain.
- Membuat apa sahaja simbol gembira dan menggembirakan orang lain, asalkan tidak melanggar syariat.
- Allah menyuruh kita agar mengiktiraf akan kebesaranNya dengan mengucap 'Takbir' pada malam Aidilfitri dengan gema yang mampu menggemparkan para syaitan.
- Allah menyuruh kita mensyukuri segala nikmatNya dengan bertahmid dan berzikir.
- Allah menyuruh kita supaya memohon keampunan dengan beristighfar.
- Allah memerintahkan kita supaya mengeluarkan 'Sadaqatul Fitri' (membayar zakat fitrah).
- Keluar beramai-ramai untuk menunaikan solat Aidilfitri dan mendengar khutbah dengan penuh penghayatan.
- Bertemu, beramah mesra dan bermaaf-maafan sesama muslimin.
- Menziarahi kubur dan memohon keampunan untuk ahli-ahlinya.
- Kunjung mengunjungi dan ziarah-menziarahi untuk mengeratkan silaturrahim.
Semoga Syawal pada tahun ini memberi makna dalam kehidupan kita di dunia mahupun akhirat...InsyaAllah...
Selamat Hari Raya Aidilfitri.
No comments:
Post a Comment