Pada Sabtu yang lepas kami berdua berjalan-jalan di Kampung Janda Baik, Bentong, Pahang. Perjalanan dari Kuala Lumpur lebih kurang 1 jam. Itupun kerana trafik kat Gombak sesak sikit kerana orang pantai timur ramai-ramai balik kampung. Cuti Maal Hijrah 3 hari.
Janda Baik ni sebuah kampung jauh di pedalaman. Nak masuk kampung ini terpaksa menempuh jalan berliku berbukit di kelilingi hutan belantara. Keadaan jalan ke kampung ini kelihatan semak di kiri kanan jalan. Kampung aku jauh lagi cantik. Namun begitu kampung ini cukup popular di kalangan orang kota. Bahkan ia menjadi salah satu destinasi pelancongan rakyat Malaysia dan salah satu tempat orang kaya membuat istana hinggap.
Kampung ini memang unik. Keunikan Kampung Janda Baik ialah pada namanya, suhu pada waktu malam, aliran sungai yang jernih semula jadi dan khazanah hutan belantara Banjaran Titiwangsa.
Pasti ramai yang tertanya-tanya bagaimana lokasi pelancongan popular tanah air ini mendapat nama sedemikian. Banyak versi cerita mengenainya. Salah satunya begini: Nama Janda Baik wujud berdasarkan sebuah kisah lagenda masyakat orang Asli di sini suatu ketika dahulu. Kisah tersebut menyatakan Batin Wok dan isterinya Siah telah berpisah setelah berlakunya sedikit perselisihan faham. Setelah sekian lama berjauhan, mereka teringatkan padi huma yang mereka tanam bersama sudah mengeluarkan hasil. Oleh kerana keinginan hati mereka membuak-buak untuk melihat padi tersebut, kedua-dua mereka tergerak hati untuk kembali ke tempat asal mereka. Justeru kedua-dua mereka bertemu kembali setelah begitu lama memendam rindu dan akhirnya berbaik semula sebagai suami isteri. Daripada kisah janda yang berbaik semula dengan suaminya itulah Kampung Janda Baik mendapat nama. Peneroka asal Kampung Janda Baik ialah sekumpulan masyarakat yang berasal dari Kampung Benus dan Kampung Lebu di Bentong sekitar 1930-an.
Kini, setelah hampir 60 tahun telah berlalu, Janda Baik sudah jauh berubah. Terkenal sebagai salah sebuah lokasi terkemuka dalam sektor pelancongan tanah air, Kampung Janda Baik pernah memenangi Kampung Tercantik peringkat daerah Bentong pada tahun 2000. Selain itu, Kampung Janda Baik juga pernah merangkul tempat pertama dalam Pertandingan Keceriaan Kampung pada tahun 2001.
Untuk bermalam di sini tidak ada masalah. Di sini banyak resort pelancongan. Yang bertaraf bintang ada dan yang berbentuk homestay pun ada. Selain menikmati kesegaran udara dan merasai dan bermandi-manda di aliran jernih air daripada tiga sungai, kita boleh juga melakukan 'jungle tracking' untuk menikmati keindahan air terjun di Banjaran Titiwangsa. Hubungilah pengusaha resort di sini, mereka sedia membantu.
Selama sehari di sini kami sempat bermandi-manda di Pulau Santap, kawasan perkelahan popular di kampung ini. Kami juga merayau melihat dan menikmati deruan aliran sungai yang jernih. Sebelum itu kami singgah di Kalis Nursery & Landscaping untuk membeli tanaman hiasan Costus dan Mulberri disamping menyelusuri dan menikmati taman heliconia (untuk cari idea buat taman heliconia di rumah kami). Kami juga sempat melawat keindahan dan keunikan taman (University of Life) di rumah Pak Habib. Bersalaman dengan Pak Habib dan bertayakan khabar. Pada masa itu ada ramai pelancong di rumah Pak Habib termasuk yang datang dari USA dan Taiwan.
Kami meninggalkan kampung ini pada pukul 5.00 petang balik ke Putrajaya rumah adik. Lebuhraya menuju Sg Besi sesak macam pagi tadi juga. Membosankan...
Sekilas mengenai Janda Baik:
- Dibuka secara rasmi pada 1932.
- Terletak kira-kira 36 kilometer dari Kuala Lumpur dan 40 kilometer dari Bentong, Pahang.
- Kedudukan kawasan di Banjaran Titiwangsa pada ketinggian 600 hingga 800 meter dari paras laut.
- Suhu mencecah 28 darjah Celsius (siang) dan 22 darjah Celsius (malam).
- Menyimpan khazanah flora dan fauna, termasuk pokok Balau berusia 250 tahun.
- Mempunyai empat kampung tradisional Melayu, iaitu Kampung Sum Sum, Cheringin, Chemperoh, Kampung Janda Baik dan Kampung Orang Asli Semelai.
- Menjadi tempat pertemuan empat aliran sungai utama iaitu Sungai Benus, Sungai Cheringin, Sungai Sum Sum dan Sungai Chemparoh.
- Tanaman halia dan pelancongan sumber ekonomi utama penduduk Janda Baik