Thursday, 2 December 2010

JALAN-JALAN DI MAHA INTERNATIONAL 2010

Pada hari Selasa 30 November 2010 kami pergi jalan-jalan ke MAHA International 2010. Jam 6 pagi kami bertolak ke MAEPS (Malaysia Agro Exposition Park Serdang). Tujuan kitorang pergi ke sana nak melihat perkembangan pertanian dan produk-produk hiliran yang berkaitan dengan pertanian yang diusahakan oleh individu inovatif dan IKS.

Kami dapati pengunjung MAHA tahun ini lebih ramai daripada tahun-tahun terdahulu. Luar biasa sambutannya. Tempat parkir penuh dengan kenderaan termasuk bas-bas rombongan. Dewan-dewan pameran penuh sesak dengan orang ramai. Nak makan di Agrobazaar pun tak dapat... tak dapat tempat duduk.
 
Hanya lokasi-lokasi tertentu saja yang dapat kitorang kunjungi. Dewan A, Dewan B, Dewan C dan Dewan D walaupun sesak, kami usaha lawati. Nak tengok produk-produk rakan-rakan IKS. Macam-macam produk yang di promosikan.   Manakala tapak pameran di lokasi luar kami kena menaiki trem. Tak sanggup nak berjalan sebab lokasinya berjauhan. memenatkan. Takut tak cukup masa.... trem kurang sedangkan orang tersangatlah ramai yang menunggu...
 
Kitorang suka tengok lokasi ternakan kambing dan lembu. Sihat-sihat nampaknya ternakan itu. Geram nengoknya. Apakan daya orang punya... Selain itu, kitorang suka nengok pavilion negeri-negeri. Masing-masing nak tayang kehebatan produk negeri masing-masing...
Satu lagi lokasi yang kitorang suka ialah pameran pemenang-pemenang pertandingan orkid. Wow, memang cantik-cantik orkid yang menang tu... memang bestlah... geram tengok bunga orkid yang berwarna-warni tu... Hasil-hasil pertanian yang dipertandingkan kelihatan dah mula layu dan mengecut. Dah tak 'fresh' sebab lama dah dipamerkan.

Lawatan ke MAHA ni memang berbaloi. Dahlah percuma, banyak maklumat yang boleh didapati. Yang kena bayar ialah duit petrol dan duit bayar tollll dan bayar makan minum. Maklumat pelbagai mengenai sektor pertanian dan produk hiliran banyak boleh didapati. Ini termasuk maklumat mengenai pinjaman pertanian Agrobank. Memang cukup baik. Manalah tahu suatu hari nanti nak pinjam bank untuk membesarkan projek pertanian.... 
 
 










Tuesday, 23 November 2010

KAMI SEKELUARGA DOAKAN SEMOGA FAKHRUL SYAHMI BERJAYA MENGHARUNGI PEPERIKSAAN SPM

Hari ini semua calon-calon peperiksaan SPM memulakan cabaran untuk menjawab soalan-soalan dalam dalam peperiksaan SPM. Kepada 'Adik' Fakhrul Syahmi Azri Bin Hasan kami doakan semoga 'Adik' berjaya menjawab dengan betul kesemua subjek yang diambil. Semua usaha dan ikhtiar dah kita buat.  Berdoalah kepada Allah SWT agar terus  dibuka dan dipermudahkan hati, dan diberi kesihatan mental dan fizikal sepanjang menghadapi peperiksaan ini.... Amin....

Wednesday, 17 November 2010

NIAT DI HATI NAK MELAKUKAN IBADAH KORBAN TAPI APAKAN DAYA LEMBU TERLEPAS LARI

Yang tua dan yang muda bersama-sama menyembelih,
 melapah dan mengagihkan daging korban.
Hari ini umat Islam di seluruh dunia merayakan Hari Raya Aidiladha. Ia adalah perayaan terbesar di dalam Islam selain daripada Hari Raya Aidilfitri. Aidiladha disambut pada hari ke sepuluh, sebelas, dua belas dan tiga belas bulan Zulhijjah setiap tahun.

Pada Hari Raya Aidiladha ini juga, umat Islam disunatkan melakukan ibadah korban sebagai tanda ingatan terhadap peristiwa Nabi Ibrahim Alaihissalam telah mengorbankan anak baginda, Ismail Alaihissalam. Betapa setiap yang hendak dikorbankan itu mestilah sesuatu yang bersifat paling disayangi dan berharga. Selain daripada itu Ibadah ini juga boleh melatih perasaan individu Muslim agar jangan bersikap bakhil dan kedekut di dalam mengeluarkan harta demi membela dan membantu golongan yang lebih memerlukan seperti orang-orang fakir dan miskin.

Ibadah korban ialah penyembelihan haiwan tertentu pada tanggal 10, 11, 12 dan 13 Zulhijjah dengan maksud untuk mendekatkan diri kepada Allah s.w.t.. Hukum menyembelih haiwan korban pada Hari Raya Aidiladha  ialah sunat muakkad dan meninggalkannya adalah makruh.

Firman Allah s.w.t. maksudnya : “Dan bacakanlah kepada mereka berita tentang dua anak Adam iaitu Habil dan Qabil dengan benar, ketika anak Adam itu mempersembahkan korbannya, maka Allah menerima korban salah seorang dari keduanya iaitu Habil dan tidak diterima korban yang seorang lagi iaitu Qabil. Qabil berkata: Aku pasti membunuhmu? Habil berkata: “Sesunguhnya Allah hanya menerima korban dari orang-orang yang bertakwa”. (Surah al-Maidah ayat 27.

Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya :“Tidak ada amalan yang dilakukan oleh anak Adam pada Hari Raya Korban yang lebih disukai Allah melainkan menumpahkan darah (menyembelih binatang korban). Sesungguhnya binatang korban itu akan datang pada hari kiamat bersama tanduk, kuku dan bulunya dan Allah memberi pahala ibadah korban itu sebelum darah binatang korban itu jatuh ke bumi. Oleh itu, elokkanlah korban kamu.” (Hadis riwayat Tirmidzi, Ibnu Majah dan Hakim).
Kami sekeluarga sememangnya berniat hendak melakukan ibadah korban ini. Sebulan sebelum Aidiladha, kami dah tempah seekor lembu daripada Tn. Hj. Mohd Talib bin Salamon, seorang penternak lembu di kampung kami. Pada hari Selasa iaitu sehari sebelum Aidiladha lembu yang telah ditangkap meliar dan terlepas lari entah ke mana. Lembu-lembu lain pula telah ada pembelinya yang juga untuk dikorbankan. Jadi dalam waktu yang terdekat itu, Tn. Hj. Talib tak dapat mencari lembu lain sebagai penggantinya. Tak apalah, Allah belum mengizinkan....
Kami tumpang kegembiraan di pagi Aidiladha ini dengan sama-sama bergotong-royong melakukan ibadah korban di kawasan masjid kampung kami. Ada juga individu yang melakukan ibadah korban di rumah masing-masing. Kalau ikut rancangan, ada tujuh ekor lembu yang akan dikorbankan, tetapi oleh kerana ada dua yang terlepas cuma lima sahaja yang disembelih. Syukur kepada Allah SWT....

SELAMAT HARI RAYA AIDILADHA

Selamat Hari Raya Aidiladha

Friday, 12 November 2010

MASJID PERTAMA KANADA DI ARTIK DIBUKA

Berita Harian 12 November 2010



OTTAWA: Masjid pertama Kanada di Artik dibuka semalam di Inuvik untuk memulakan khidmat sebagai rumah ibadat di kawasan komuniti Islam di sana. ‘Masjid pasang siap’ itu tiba di bandar utara kecil bulan lalu melalui perjalanan 4,000 kilometer (km) melalui darat dan air.

Beberapa wartawan termasuk pemberita televisyen Arab menyertai penduduk Islam tempatan untuk majlis pembukaannya.

Bilangan penduduk Islam di bandar dengan 4,000 penduduk di Wilayah Barat Laut Kanada itu meningkat sejak beberapa tahun kepada kira-kira 80 orang. Mereka sebelum ini beribadat di dalam sebuah karavan berukuran tiga kali tujuh meter sehingga ia tidak lagi dapat menampung bilangan jemaah.

Masjid baru yang digelar sebagai masjid kecil di Tundra oleh media Kanada itu dihiasi dengan permaidani merah di ruang utama, mempunyai sebuah dapur dan perpustakaan, kata ahli jawatankuasa masjid, Amer Suliman.

“Langit kelabu tetapi lampu dari masjid dan kubah menjadikan ia terang, ia tidaklah terlalu sejuk di luar sana dan tetamu berkumpul di sini,” katanya yang dihubungi.

Bangunan pasang siap itu dibawa dari Manitoba kerana harga bagi buruh dan bahan adalah lebih rendah berbanding di bahagian utara Kanada. – AFP

Wednesday, 10 November 2010

PROTON INSPIRA

Sumber: Berita Harian dan Utusan Malaysia
 


PROTON Inspira yang dilancarkan hari ini mencatat prestasi luar jangkaan dari segi tempahan dengan purata lebih 100 unit sehari, justeru meneruskan kecemerlangan prestasi jualan model keluaran PROTON Holdings Bhd (PROTON) sebelumnya seperti Saga dan Exora.




Pengarah Urusannya, Datuk Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir, berkata sehingga semalam, model dita-warkan dengan tiga versi iaitu 1.8 liter dengan transmisi manual lima kelajuan; 1.8 liter dengan transmisi CVT; dan 2.0 liter dengan transmisi CVT itu, sudah mencatatkan jumlah tempahan keseluruhan 1,800 unit sejak ia dibuka pada 14 Oktober lalu.

“Sambutan terhadap Inspira melampaui jangkaan dan amat memberangsangkan. Ini adalah petanda baik menjelang pelancaran rasminya esok (hari ini). PROTON yakin dapat memenuhi semua tempahan dan pada masa sama komited mengurangkan jangka masa menunggu bagi model itu,” katanya selepas sesi pandu uji eksklusif model berkenaan bersama Berita Harian di Putrajaya semalam.

Sesi pandu uji model yang ditawarkan dengan harga permulaan RM79,888 seunit itu, turut disertai tiga jurutera yang terbabit dalam program pembangunan Inspira, Pengurus Projeknya, Zulkiflee Bidin; Pengurus Ujian Kenderaan, Abdul Wahab Long; dan Jurutera Pemanduan dan Pengendalian, Mohamad Sharafuddin Salleh.

Syed Zainal berkata, meskipun Inspira dibangunkan hasil kerjasama PROTON dengan Mitsubishi Motor Corporation (MMC), ia tidak bermakna PROTON hanya membuat salinan dengan menukarkan logo dan tanda jenamanya semata-mata.

“Proton Inspira hasil usaha sama antara dua syarikat pembuat kereta iaitu PROTON dan MMC.
Menerusinya, PROTON melakukan usaha penambahbaikan terhadap model asal bagi memberikan nilai tambah kepada pemiliknya. Paling ketara adalah penambahbaikan penalaan pemanduan dan pengendalian menerusi sentuhan Lotus, sekali gus meningkatkan prestasi model asal dari segi teknologi dan kebolehannya,” katanya sambil menambah kandungan tempatan Inspira akan ditingkatkan secara berperingkat sehingga 40 peratus menjelang akhir tahun ini.

Sementara itu, Pengerusi PROTON, Datuk Seri Mohd Nadzmi Salleh, berkata model yang dimulakan pemasangannya di Shah Alam pada 28 Oktober lalu itu, dilihat berada dalam landasan terbaik untuk di eksport ke luar negara.

“Mengikut perjanjian dengan MMC, Inspira hanya dikeluarkan untuk pasaran tempatan, namun PROTON akan berunding dengan MMC bagi tujuan eksport dan kalau tidak wujud percanggahan kepentingan, Inspira berkemungkinan boleh dieksport,” katanya.

Prestasi bagi enjin 2 liter Inspira tidak jauh sangat daripada Lancer. Bagi varian 1.8 liter (yang tidak dijual oleh Mitsubishi di Malaysia), ia menggunakan enjin diperbuat daripada aluminium keseluruhannya iaitu Global Engine Manufacturing Alliance yang dibangunkan bersama antara MMC dengan Chrysler dan Hyundai.

Kuasa maksimumnya ialah sekitar 143 ps/177 Nm manakala varian 2 liter Lancer yang dijual di Malaysia menjana 155 ps/199 Nm. Dengan transmisi manual, Inspira benar-benar seronok dipandu, terutama di jalan bengkang-bengkok. Jangkauan gear adalah baik dan kotak gearnya beroperasi lancar. Prestasi baiknya dipamerkan semasa mendaki Genting Highland.

Jika ada yang masih sinikal mengenai Proton Inspira yang dicemuh kerana 'menceduk' dari Mitsubishi Lancer, penulis akan katakan: 'mengapa tidak?''. Jika anda boleh menerima Perodua Myvi, anda harus bersedia menerima Proton Inspira. Mudah saja.

Proton melahirkan Inspira dengan lesen kebenaran MMC. Teknologi dan prestasi Lancer sudah diperakui. Dan paling penting, harganya kini ditawarkan pada harga yang sangat hebat. Malah ia bakal menggegarkan dua segmen sekali gus iaitu segmen enjin 1.8 liter dan 2 liter.

Wednesday, 20 October 2010

SAYU DAN PILU MELIHAT BERAKHIRNYA RUMAH WARISAN KAMI

Sayu hati kami. Apakan tidak apabila melihat rumah pusaka kami dibuka dan dirobohkan. Ia dirobohkan pada hari Ahad 19 September 2010.

Di tapak rumah inilah kami adik beradik dibesarkan sehingga kami semua dewasa dan berkeluarga sendiri. Rumah warisan daripada arwah bapak dan emak ini mempunyai tiga bilik. Saiz keseluruhannya ialah 34 kaki X 60 kaki. Cukup besar bagi standard rumah kampung.

Dirumah ini jugalah arwah bapak dan emak mengadakan majlis kenduri kahwin untuk anak-anakkya yang seramai tujuh orang. Saya adalah anak terakhir yang diraikan sebagai pengantin baru di rumah ini kerana saya adalah anak bungsu. Biasanya dalam majlis kenduri kahwin itu, arwah bapak akan mengadakan pencak silat dengan diiringi peralatan muzik tradisional (arwah bapak sememangnya pakar dalam pencak silat sehinggakan ada di kalangan rakan-rakannya yang memanggilnya dengan panggilan 'Kasmuri Pendekar). Ramailah pemuda-pemuda dan ahli pencak silat menunjukkan bakat dalam pertarungan pencak silat itu. Meriah sekali pada masa itu.

Rumah ini telah beberapa kali diubahsuai oleh arwah bapak dan emak untuk disesuaikan dengan peredaran masa. Daripada sebuah rumah panggungbesar bertiang dan berbumbung limas, ia diturunkan menjadi separuh batu dan separuh kayu. Bahagian hadapan masih bertiang dan berlantai papan dan bahagian dapur berlantai simen. Kemudian ia diubahsuai lagi dan diturunkan menjadikan semua bahagian rumah ini berlantaikan simen, separuh batu dan separuh kayu sehinggalah ia dirobohkan.

Bukan kami tak sayang dengan rumah warisan ini. Setelah bapak dan emak meninggal dunia, tiada siapa yang tinggal di rumah ini. Semua abang dan kakak telah mempunyai rumah masing-masing. Saya dan keluarga apabila balik dan menetap di kampung ini juga membuat sebuah rumah di sebelah kiri (barat) rumah warisan ini. Maka tinggallah rumah warisan ini kesunyian tanpa penghuni. 

Walaupun saya sentiasa menjaga kebersihan sekeliling rumah ini namun apabila sesebuah rumah itu tidak dihuni, ia semakin cepat menjadi buruk. Kayu-kayunya  dimakan anai-anai dan bumbungnya berkarat dan berlubang-lubang. Saya bercadang untuk membaikinya tetapi kos untuk membaikinya juga tinggi. Akhirnya saya mengambil keputusan membuka dan merobohkan rumah warisan ini. Maafkan kami.

Sebagai kenangan saya akan menggunakan kayu-kayu daripada rumah ini yang masih baik untuk dibuat beberapa pondok gazebo di kawasan rumah kami.





 












Friday, 8 October 2010

PERTAHAN AL-QURAN SATU KEWAJIPAN

Oleh SITI AINIZA KAMSARI
Utusan Malaysia, 8 Oktober 2010




Umat Islam menjulang-julang al-Quran membantah tindakan Paderi Terry Jones memperkenalkan Hari Membakar al-Quran setiap kali tibanya tarikh 11 September.
 


SAAT paderi tua, Terry Jones mengumumkan untuk membakar beratus-ratus kitab suci al-Quran di Dove Otreach Center, Florida Amerika Syarikat (AS) sebagai memperingati tahun kesembilan kejadian serangan 11 Sept 2001, umat Islam tidak boleh sekadar berdiam diri membiarkan ia berlaku.

Ekoran tindakan Jones itu, umat Islam telah tampil menemui paderi tersebut dengan tawaran untuk membeli kitab-kitab al-Quran tersebut bagi mengelakkannya dibakar.

"Tuan Jones, daripada al-Quran itu dibakar, adalah lebih baik jika kitab itu tuan jualkan sahaja kepada saya. Berapa pun harganya saya sanggup bayar, malah ia memberikan untung yang besar kepada Tuan dengan hanya menjual kitab-kitab yang tidak memberikan faedah kepada tuan ini!"

Dialog itu sebenarnya mengingatkan kita kepada bagaimana Saidina Abu Bakar As Siddiq menyelamatkan hamba abdi, Bilal bin Rabah daripada terus diseksa oleh majikannya, Umaiyyah bin Khalaf yang begitu marah apabila hambanya itu memeluk Islam.

Abu Bakar menawarkan harga yang jauh berlipat kali ganda tinggi untuk membeli Bilal dan majikannya itu pasti beroleh untung luar biasa jika menjualkan sahaja Bilal itu kepada Abu Bakar.

"Saya mungkin tidak dapat apa-apa untung pun dengan membeli Bilal. Malah sangat rugi kerana pastinya hamba ini akan mati tidak lama lagi. lihatlah betapa teruknya kamu menyeksa dia," kata Abu Bakar yang akhirnya berjaya membeli dan menyelamatkan Bilal.

Malangnya peristiwa bagaimana Bilal diselamatkan itu tiada ulangannya, hanya tersimpan cantik dalam sejarah.

Hari Membakar al-Quran itu bagaimanapun tidak menjadi kenyataan ekoran bantahan, termasuk daripada pihak pentadbiran Rumah Putih. Namun rancangan jahat Jones untuk membakar al-Quran itu wajar mendapat perhatian serius daripada seluruh umat Islam.

Lebih-lebih lagi ada pihak mengambil baton daripada Jones untuk membakar al-Quran, iaitu ketika AS mengadakan sambutan majlis memperingati hampir 3,000 mangsa yang maut dalam serangan ke atas Pusat Dagangan Dunia (WTC). Sekurang-kurangnya tiga insiden mengoyak dan membakar al-Quran dilapor berlaku di negara itu.

Dalam satu kejadian, seorang lelaki yang membantah rancangan pembinaan masjid berhampiran Ground Zero, mengoyakkan al-Quran sebelum membakarnya.

Pada insiden lain, seorang lelaki mengoyak dan menghina kitab suci Islam itu.

Di Nashville, Tennessee, paderi Bob Old dan Danny Allen menggunakan minyak pemetik api dan membakar sekurang-kurangnya dua naskah al-Quran di halaman rumahnya sambil Old menyifatkan Islam sebagai agama palsu.

"Jelas sekali daripada semua peristiwa-peristiwa ini, al-Quran perlu dipertahankan sepanjang masa. Umat Islam tidak mempunyai alasan untuk tidak berbuat demikian" kata Penolong Setiausaha Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks al-Quran, Kementerian Dalam Negeri (KDN), Mohd. Meeftah Anuar.

Tidak ada yang peliknya di sebalik perbuatan membakar al-Quran itu kerana kata Mohd. Meeftah semenjak Islam diturunkan, al-Quran sentiasa dimusuhi.

Semua itu tidak akan dapat memadamkan bukti-bukti pengkhianatan musuh-musuh terhadap Islam yang berlanjutan sehingga hari ini.

"Di zaman yang semakin canggih yang kononnya telah mencapai ketamadunan yang tinggi, musuh-musuh Islam hanya bertukar nama watak sahaja. Perwatakan tetap sama, sekadar penjenamaan semula.

"Sejak dari zaman Amr bin Hisham (Abu Jahal), Utbah bin Rabiah, Musailamah Al Kazzab adalah watak-watak antagonis yang kini menjelma kembali dengan muka-muka baru untuk lebih dahsyat lagi menghina dan memfitnah al-Quran.

"Gerakan yang sentiasa berlegar-legar sama ada kita menyedarinya mahupun tidak," kata Mohd. Meeftah.

Sedangkan mereka sendiri mengakui kebenaran mengenai segala isi kandungan al-Quran, persoalannya mengapa musuh-musuh Islam ini begitu paranoid sehingga sanggup membakar dan menghina al-Quran?

"Mereka menjadi paranoid apabila al-Quran itu boleh menjadi sumber kekuatan kepada sesiapa yang mempercayai dan mengimani kitab suci itu.

"Lalu supaya umat Islam tidak menjadi kuat disebabkan adanya al-Quran, maka kitab itu hendak dibakar supaya kononnya umat itu akan menjadi lemah," kata Mohd. Meeftah.

Kata Mohd. Meeftah, tindakan mereka itu bukan disebabkan kononnya al-Quran mendalangi keganasan sebagaimana yang mereka tuduh. Tetapi kerana al-Quran telah menyebabkan umat Islam tidak dapat dikuasai atau tunduk di bawah telunjuk mereka.

Tetapi pihak musuh begitu berani menghina al-Quran ekoran perpecahan dan kelemahan umat Islam masa kini.

"Pihak musuh mengambil pelbagai kesempatan kala umat Islam berpecah. Mereka mengambil kesempatan di saat umat Islam tidak mampu untuk membebaskan bumi Palestin dengan membakar masjid dan al-Quran.

"Benar, ayat-ayat al-Quran akan tetap terpelihara sehingga ke akhirat walaupun ia dibakar, direndam atau diperlakukan apa sahaja.

"Tetapi jangan kita salah konsep apabila dikatakan al-Quran tetap kekal terpelihara maka kita tidak perlu melakukan apa-apa, lebih-lebih lagi apabila al-Quran dipijak-pijak dan lain-lain penghinaan.

"Ini samalah apabila kita yakin bahawa rezeki itu daripada Allah, maka adakah itu bermakna kita tidak perlu keluar untuk bekerja? Begitu juga dengan al-Quran.

"Mempertahankannya daripada dihina, daripada dimalukan, daripada difitnah adalah menjadi satu kewajipan kepada umat Islam. Hatta dengan nyawa kita sendiri, sebagaimana kita wajib mempertahankan maruah diri, keluarga dan umat Islam yang lain," katanya.

Sunday, 19 September 2010

BERJALAN-JALAN DI KELILING GEMERLAPAN WARNA-WARNI PANCARAN CAHAYA LED DI i-CITY

Pada hari Sabtu semalam kitorang sekeluarga menghantar 'Abang' dan 'Kakak' ke tempat bertapa diorang; 'Abang' di Shah Alam dan 'Kakak' di Sepang, setelah puas bercuti hari raya aidilfitri di kampung. Pada kali ini kami singgah di i-City yang terletak di Seksyen 7 Shah Alam. Apa yang menarik di i-City ini? i-City adalah taman tema yang kini menjadi tumpuan pengunjung dalam dan luar negara terutamanya pada waktu malam kerana keindahan landskap lampu LED yang berwarna-warni. i-City telah menerima pengiktirafan sebagai pusat tarikan pelancong kerana keunikan reka bentuk dan taman temanya. Datanglah ke i-City ini pada waktu malam untuk menikmati pancaran cahaya berwarna-warni LED yang dijadikan landskap sambil berekreasi. Banyak pokok-pokok LED yang dipasang merata tempat. Terdapat juga taman salji di dalam bangunan. Memang mengagumkan. Kesemuanya berasaskan teknologi LED.




















Friday, 10 September 2010

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI

Selamat Hari Raya Aidilfitri. Maaf Zahir dan Batin.