Friday, 14 December 2012

MERAYAU KE BALI, JOGJAKARTA, SOLO DAN BANDUNG

Pada cuti sekolah hujung tahun 2012 ini, sambil mengunjungi si puteri yang berkuliah di UGM Jogjakarta, kami berdua mengambil kesempatan merayau-rayau di Bali, Jogjakarta, Solo dan Bandung. Selama dua minggu kami berdua merayau di negara jiran itu (ongkos tak banyak sebab tu ke sini...hehehe...). Merayaulah kami ke tempat-tempat yang sering dikunjungi orang lain dan tempat-tempat yang entah ape-ape... mengikut suka sendiri.

Perayauan kami tertumpu untuk melihat budaya, cara hidup, alam semula jadi, makanan dan pemandangan di perkampungan. Shopping tu ciput aje... buat syarat menunjukkan kami dah ke sana dan buat ole-ole saudara-mara dan teman-teman di Malaysia.

Sungguh seronok melihat pemandangan indah kawasan perkampungan, bukit-bukau, gunung-ganang dan sawah padi sama ada di tanah pamah atau sawah yang berteres melalui tingkap keretapi yang kami naiki atau tingkap kereta yang disewa atau merasai sendiri keseronokan menaiki motosikal di sepanjang perjalanan ke setiap destinasi.

Banyak maklumat mengenai sesuatu tempat kami peroleh melalui pak supir kami. Ada ketikanya kami menyewa motosikal untuk merayau-rayau. Ia lebih ekonomi, mudah dan murah, dapat mengelakkan kesesakan jalanraya, bebas ke sana dan ke sini, dan menepati apa yang kami cari. Sewa scooter 24 jam cuma RM16.00. Harga petrol di sana hanya RM1.45. Kami merayau sakan....

Lokasi pertama yang kami kunjungi ialah pulau Bali. Pulau ini yang juga dikenali sebagai pulau Dewata banyak menyimpan budaya dan cara hidup penganut agama Hindu. Pantainya yang cantik dan budaya yang unik menjadikan pulau Bali ini destinasi pelancung dari seluruh dunia.

Di Jogjakarta, yang dikenali juga sebagai kota budaya dan kota ilmu, kami merayau melihat tempat-tempat bersejarah termasuk candi-candi purba dan kota purba. Kami juga merayau di Jln. Malioboro yang terkenal dengan kesibukan peniaga-peniaga berjualan barangan produk Jogja. 

Kami juga merayau ke Tanah Tinggi Dieng Plateau di Wonosobo untuk merasai kedinginan tanah tinggi dan menikmati sang mentari menyinarkan diri di celah-celah pergunungan tanah tinggi ini. Di sini kami melihat sendiri usaha pertanian dengan tanaman ubi kentang bermutu tinggi dan dapat merasai keenakan kentang goreng fresh terus dari ladang.

Di Kota Solo atau Surakarta yang juga terkenal dengan lagu 'Begawan Solo' (sungai Begawan Solo membelah tengah-tengah kota ini) menggamit kami untuk melihat perusahaan kain batik Jawa asli. Kami juga berkesempatan melawat air terjun Gerojokan Sewu yang cantik, melihat Candi Sukuh di pergunungan, dan juga melihat perkampungan sawah padi dan sayur-sayuran di lereng-lereng gunung yang cantik.

Di Kota Bandung yang terkenal sebagai destinasi membeli-belah di kalangan pelancong Malaysia, hawanya lebih dingin terutamanya di daerah pergunungan. Pasar Baru setinggi 7 tingkat di tengah-tengah Kota Bandung wajib dikunjungi kerana di sini barangan yang dijual berharga murah, banyak pilihan dan cantik-cantik. Seperti orang lain, kami juga merayau ke Kawah ratu di Gunung Tangkuban Perahu untuk melihat kawah berasap kesan sulphur yang panas. Bandung juga terkenal dengan luasnya ladang-ladang teh di tanah tinggi. 

Di bandung juga kami singgah makan di Resto Kampung Daun yang cantik dan unik sekali. Restoran ini dibina berkonsepkan seseorang itu menikmati makanan yang enak di pondok-pondok tradisional yang kecil di kelilingi tumbuh-tumbuhan menghijau dan disertai sekali dengan deruan air terjun yang mengalir di celah-celah batu. Makanan yang telah siap dimasak akan dihantar ke pondok yang dipilih oleh pelanggan. Cantik sekali kawasan makan ini... Rasanya di Malaysia belum ada lagi restoran sebegini.

Sebenarnya banyak lagi tempat sebagai destanasi perayauan kami di negara tetangga itu. Di sini kami selitkan foto-foto sebahagian tempat yang kami kunjungi. Bercerita melalui foto...


Di pintu masuk pantai Kuta.
 
Monumen pengeboman Bali di Legian.

Pantai Kuta terkenal dengan 'surfing'.

Gunung Batur, gunung berapi yang masih aktif.

Gunung Batur dan Danau Batur.

Cantik. Teres sawah padi.

Pura di Tanah Lot

Pura di Batu Lobang

Upacara oleh penganut Hindu di Ulundanu, Danau beratan, Bedugul.

Pura Ulundanu

Pura di Taman Ayun

Pintu masuk utama Pura Taman Ayun

Haruman bunga segar di Taman Ayun.

Pantai Laut Selatan hujung Uluwatu.

Ombak menghempas tebing batu di Uluwatu.

Pura Uluwatu.

Di kedai bunga di Bedugul.

Angkringan dan rekabentuk bangunan Bali.

Pintu masuk kawasan rumah di Bali yang unik.

Bangunan Pura.

Pemandangan dari atas candi Borobudur.
 
Puncak candi Borobudur.
 
Candi Roro mendut di Magelang.

Jalan masuk ke candi Prambanan, Jogjakarta.

Kompleks candi Prambanan dari jauh.
 
Pintu masuk ke Keraton Jogjakarta.
 
Kawasan latihan berperang di hadapan pintu masuk keraton.

Dalam kawasan Keraton Jogjakarta.

Pintu gapura ke Kota Gede.
 
Dalam kawasan Kota Gede.
 
Masjid lama Kota Gede.

Berjualan barangan cenderahati di Jln. Malioboro, Kota Jogjakarta.

Banyak kereta kuda di Kota Jogjakarta.
 
Becak di Kota Jogjakarta menunggu penumpang.
 
Motosikal kenderaan utama di Jogjakarta.

Gapuro masuk ke Tanah Tinggi Dieng Plateau, Wonosobo.

Suria di ufuk timut Tanah Tinggi Dieng Plateau.

Pagi di Tanah Tinggi Dieng Plateau.

Ibu dan anak di Candi Gatotkaca, Dieng Plateau.

Di belakang tu ialah perkampungan Dieng Plateau yang di selimuri kabus pagi.

Pagi yang dingin di Dieng Plateau.


Sebuah masjid dan Candi Arjuna di Dieng Plateau.

Pagi yang berkabus di Dieng Plateau.


Semburan asap sulphur di Kawah Sikidang, Dieng Plateau.


Telaga Warna dimana warna airnya berubah kesan pemanasan sulphur.

Kami naik keretapi dari Jogjakarta ke Solo.

Nasi liwet makanan popular Solo.
 
Pemandangan menarik deretan penarik becak di Kota Surakarta.
 
Teres sawah padi, cantik...
 
Masjid Ageng, Kota Surakarta.
 
Memilih batik di Pasar Kelewer, Kota Surakarta.
 
Keraton Surakarta.
 
Kitorang di hadapan Keraton Surakarta.
 
Diberi taklimat mengenai salasilah Kesultanan Surakarta.
 
Cantik. Air keluar dari lubang di Air terjun Gerojokan Sewu di Tawangmangu.
 
Air terjun menimpa batu-batu gunung berwarna hitam.

Warung jual sate arnab di Gerojokan Sewu.

Titi anyaman bambu di Gerojokan Sewu.
 
Gapura di candi purba Candi Sukuh di Tawanmangu.
 
Tempat pemujaan Candi Sukuh, Tawangmangu.
 
Kawasan perkampungan di kaki gunung di Tawangmangu.

Tiba di Kota Bandung dari Jogjakarta dengan keretapi.

Angkutan kota di Kota Bandung.

Penunjuk arah di Indonesia bersaiz kecil dan tinggi.

Orang Malaysia ke Bandung mesti ke sini, Pasar Baru di Kota Bandung.

Kedai fabrik di Pasar Baru. Cantik hiasan dalamannya.
 
Rembang mata memilih kain bersulam. Murah dan berkualiti.

Orang perempuan pantang jumpa kain...

Dalam kompleks beli-belah Paris Van Java.

Factory Outlet berjenama banyak dijual di Paris Van Java, Kota Bandung.

Rumah beli-belah popular Kota Bandung, Rumah Mode.

Pintu masuk yang cantik di Rumah Mode. Ramai orang berfoto di sini...
 
Lokasi wajib berfoto apabila ke Kawah Ratu di Tangkuban Perahu, Bandung.
 
Si ibu pun teringin berfoto berlatarkan Kawah Ratu.
 
Kawah Ratu dengan asap belerang panas.
 
Pelancong di Kawah Ratu, Tangkuban Perahu.

Berjualan angklung di Tangkuban Perahu.

Gunung Tangkuban Perahu, Bandung.

Pancuran air panas di Ciater, Bandung.

Air terjun yang hangat...

Kolam cantik berair jernih tapi hangat...
 
Cantik. Pintu masuk ke Restoran Kampung Daun, Bandung.

Restoran ini berkonsepkan makan di pondok di kawasan rimbunan
dedaun dengan deruan air terjun.

Suasana nyaman makan di pondok bambu di bawah pepohon menghijau...

Pembayaran di buat dipondok kasir (cashier)...
 
Makanan yang dipesan di hantar ke pondok makan.

Friday, 26 October 2012

AIDILADHA DAN PEMATUHAN SYARIAT ALLAH SWT

SELAMAT HARI RAYA AIDILADHA

Pada hari ini 10 Zulhijjah sebagaimana seperti pada setiap tahun, seluruh umat Islam menyambut hari raya Haji atau hari raya Korban. Hari ini jutaan umat Islam berada di Makkah menunaikan ibadah Haji. Bagi kita yang tidak berkesempatan untuk ke tanah suci, maka pada hari ini kita berhimpun, bertakbir, bertahmid dan menunaikan solat sunat iduladha. Seterusnya pada hari ini juga, umat Islam diperintah dan disunatkan berkorban binatang ternakan sebagai korban untuk disedekahkan dagingnya kepada fakir misikin semata-mata kerana Allah SWT.  Sabda Rasulullah SAW:

Mafhumnya: Sesungguhnya pertama-tama amalan yang kita lakukan pada hari ini (iduladha) ialah supaya kita solat kemudian kembali ke rumah lalu kita menyembelih korban, maka barangsiapa yang mengerjakan sedemikian ia telah mengikut sunnahku. Adapun orang yang menyembelih sebelum melakukan solat, maka itu hanyalah merupakan daging yang hendak dipergunakan untuk keluarganya sahaja, tidak termasuk amalan ibadah penyembelihan korban”. (Riwayat Muslim dan al Bukhari)

Aidiladha merupakan hari perayaan yang sangat istimewa dalam syariat Islam. Keistimewaannya ialah kerana mempunyai dua tuntutan ibadah besar yang dilaksanakan secara serentak di seluruh dunia iaitu:
  1. Di tanah suci Mekah dilaksanakan ibadah haji. Bermula 9 Zulhijjah berjuta-juta umat Islam menyempurnakan ibadah haji dengan berwukuf di padang Arafah, tawaf di Kaabah dan melontar jamrah. Meskipun di padang Arafah matahari panas terik, namun dengan  berpakaian yang sama dan tujuan yang sama, mereka tetap mengabdikan diri kepada Allah SWT. Syiar ibadah haji juga merupakan perhimpunan tahunan yang disyariatkan oleh Allah dalam bentuk yang amat berkesan iaitu mengikat kesatuan dan perpaduan melalui pegangan akidah yang satu dan bukannya melalui fahaman bangsa dan material. Inilah asas perpaduan yang dipraktikkan oleh Nabi SAW yang berjaya menegakkan negara Islam Madinah hanya dalam masa 10 tahun.
  2. Seluruh umat Islam di segenap ceruk rantau dunia semenjak hari Arafah hingga tamat hari Tasyrik mengumandangkan gema takbir, tahlil dan tahmid dengan suara yang penuh keyakinan mengisytiharkan pengakuan bahawa hanya Allah SWT sebagai  tuhan yang perlu disembah, dipatuhi dan ditakuti. Pengajarannya kepada kita ialah supaya seluruh kehidupan, setiap perjuangan dan segenap pekerjaan yang dilakukan mestilah atas dasar penyerahan diri kepada Allah SWT.

Pengabdian diri kepada Allah SWT mestilah diterjemahkan melalui pelaksanaan syariat Allah yang terkandung dalam al-Qur'an dan as-Sunnah. Perlu kita insafi bahawa timbulnya pelbagai isu dan permasalahan dalam masyarakat seperti gejala keruntuhan akhlak, penyelewengan moral, jenayah rompakan, rogol, bunuh, penagihan dadah, penghidap AIDS, kes-kes rasuah, pecah amanah dan sebagainya; adalah kerana belum menyeluruhnya penghayatan kita kepada tuntutan-tuntutan syarak. Hal ini dinyatakan oleh Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 85:

Maksudnya: Sesudah itu maka patutkah kamu hanya percaya kepada sebahagian (dari isi) kitab Taurat dan mengingkari akan sebahagian yang lain?. Maka tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian itu dari antara kamu selain dari kehinaan ketika hidup di dunia; dan pada hari kiamat akan ditolak mereka ke dalam azab seksa yang amat berat, dan (ingatlah) Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang kamu lakukan.

Aidiladha dengan pensyariatan ibadah korban adalah isyarat yang jelas daripada Allah mengenai keperluan berkorban tenaga, masa dan harta benda demi agama Allah SWT. Tanpa pengorbanan agama, fikiran dan harta benda, tidak mungkin syariat Allah SWT dapat ditegakkan. Renungkanlah sejarah pengorbanan agong Nabi Ibrahim AS yang sanggup menyembelih Nabi Ismail AS, satu-satunya anak kesayangan Baginda semata-mata pengorbanan kepada Allah SWT. Inilah satu contoh seorang bapa yang berjaya membina sebuah keluarga yang cemerlang. Demikian juga, kepatuhan Hajar kepada suaminya Nabi Ibrahim untuk tinggal keseorangan di tanah gersang Mekah, merupakan model isteri mithali yang sanggup mengorbankan jiwa raga semata-mata kepatuhan kepada perintah Allah dan Nabi-Nya.

Demikian juga kerelaan seorang anak iaitu Nabi Ismail AS untuk disembelih oleh bapanya, semata-mata kerana perintah Allah adalah merupakan isyarat bahawa berkorban sebenarnya tidak melihat kepada usia. Ini bermakna samada golongan tua, dewasa, belia, lelaki dan wanita, perlu bersedia untuk berkorban apa sahaja demi tertegaknya akidah tauhid dan terlaksananya syariat Allah SWT. Inilah intipati pengajaran daripada pengorbanan agong yang diterokai oleh Nabi Ibrahim AS, isteri dan anaknya alahimussolatuwassalam. Firman Allah SWT dalam surah As-Saafaat ayat 103-107:

Maksudnya: Setelah keduanya berserah diri, dan Nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya di atas tompok tanah. Serta Kami menyerunya: Wahai Ibrahim! Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi itu. Demikianlah sebenarnya kami membalas orang yang berusaha mengerjakan kebaikan. Sesungguhnya perintah ini adalah satu ujian yang nyata. Dan Kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar. Dan Kami kekalkan baginya nama yang harum dalam kalangan orang yang datang kemudian.

Kedudukan umat Islam akhir-akhir ini semakin dicabar oleh musuh Islam dan pihak yang tiada kaitan dengan Islam. Cahaya kebenaran Islam sentiasa cuba dipadamkan oleh musuh Islam di mana mereka tidak pernah rehat dan berhenti dalam memesongkan manusia daripada menerima kebenaran Islam. Maka pada hari ini kita dapat lihat bagaimana mereka berusaha menghasut dunia agar membenci dan memusuhi Islam dan umatnya. Mereka sanggup lakukan segalanya termasuk penipuan dan penghinaan. Mereka menerbitkan suatu filem pendek yang menghina Nabi Muhammad SAW yang digambarkan sebagai seorang penipu, gila seks dan menyeru untuk pembunuhan beramai-ramai. Mereka juga menerbitkan karikatur yang memaparkan Nabi Muhammad dalam keadaan bogel. Mereka juga mengambarkan umat Islam sebagai mereka yang ganas dan suka bermusuhan.

Ingin ditegaskan di sini bahawa perbuatan ini, sebenarnya merupakan satu kebiadaban kepada umat Islam, dan akan mencetuskan kemarahan ummah. Justeru, mimbar ingin berpesan kepada semua pihak agar jangan cuba bermain api dengan umat Islam yang sememangnya cinta dan kasih kepada junjungan besar Nabi SAW. Sebagai umat Islam kita tidak akan membiarkan pemimpin agung ini dicaci apatah lagi digambarkan dalam keadaan yang hina. Biar darah mengalir ke bumi namun umat Islam tidak akan reda kemuliaan Rasulullah SAW dipermainkan. Sesungguhnya filem dokumentari penghinaan ke atas Nabi bukan satu insiden yang terpisah dan tersendiri, malah ia adalah suatu konspirasi terancang untuk menghina utusan Allah dan memadam cahaya Islam. Firman Allah SWT di dalam surah as-Saaf ayat 8:

Maksudnya: Mereka sentiasa berusaha hendak memadamkan cahaya Allah (agama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tetap menyempurnakan cahaya-Nya, sekalipun orang kafir tidak suka (akan yang demikian).

Jangan membiarkan mana-mana pihak bertindak sesuka hati mempertikai dan menghina Islam dan umatnya. Marilah kita bergandingan dan terus mempertahankan kesucian Islam ini sesuai dengan semangat cinta kepada Allah SWT berdasarkan peristiwa pengorbanan Nabi Ibrahim AS, Nabi Ismail AS dan Hajar. Insaflah bahawa, ibadah haji dan ibadat korban mengingatkan kita agar jangan lupa bahawa kita berada dalam satu kesatuan kemanusiaan dan jangan pula kita hancur menjadi mangsa korban kepada musuh Islam.

Marilah kita gunakan kesempatan hari yang mulia ini, untuk membina keutuhan tali persaudaraan diantara kita dengan amalan ziarah-menziarahi dan bermaaf-maafan sesama kita. Buang yang keruh, ambillah yang jernih. lebih-lebih lagi dalam menangani isu yang membabitkan agama dan masa depan umat Islam, maka sewajarnya kita sama-sama bangkit bersatu hati tanpa mempedulikan perbezaan latar belakang,  ekonomi, miskin atau kaya, berbeza latar belakang fahaman atau politik. Kita ketepikan segala perbezaan-perbezaan tersebut.

Ingatlah bahawa pengorbanan yang sebenarnya adalah pengorbanan yang berasaskan kesatuan dan perpaduan. Inilah pengorbanan yang mesti dilakukan oleh setiap kita, demi membela dan menyelamatkan Islam dan umatnya. Kesemua ini menuntut pengorbanan jiwa raga dan harta benda berlandaskan ketakwaan dan keikhlasan. Tanpa dua elemen ini, maka tidak tercapai matlamat pengorbanan seperti mana yang dituntut oleh Allah SWT. Firman Allah SWT: 

Daging dan darah binatang korban itu tidak akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya ialah ketaqwaan kamu. Demikianlah Ia memudahkan binatang itu bagimu supaya kamu mengagungkan Allah atas petunjuk-Nya kepadamu. Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang yang berusaha supaya baik amalnya.” (Al Hajj : 37)

Marilah kita menghayati tuntutan-tuntutan syarak yang terkandung dalam amalan ibadah haji dan ibadah korban yang berpaksikan hubungan kita yang erat dengan Allah SWT dan hubungan kita sesama kita, demi kecemerlangan di dunia dan kesejahteraan di akhirat. Mimbar ini berpesan bahawa hari raya korban yang dirayakan tanpa pematuhan kepada syariat Allah SWT, tidak akan memberi apa-apa makna dan kesan kepada kita. Semoga semangat pengorbanan Nabi Ibrahim AS yang suci, Nabi Ismail AS yang berani dan bondanya Hajar yang begitu tabah hati, mampu menyuntik semangat kepada kita semua. Marilah sama-sama kita menghayati firman Allah SWT dalam surah al-Kauthar ayat 1-3:

Maksudnya "Sesungguhnya kami telah mengurniakan kepadamu (wahai Muhammad) kebaikan-kebaikan yang banyak (di dunia dan akhirat). Oleh itu kerjakanlah sembahyang kerana tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur). Sesungguhnya orang yang bencikan engkau, dialah yang terputus (dari mendapat sebarang perkara yang diingininya)."

Sunday, 19 August 2012

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI, MAAF ZAHIR DAN BATIN

Hari ini adalah Hari Raya Aidilfitri. Kami sekeluarga mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada rakan-rakan di laman ini dan semua umat Islam seluruh dunia. Kami menyusun jari mohon maaf zahir dan batin.
 
Tiga orang anak kami semua berada di sisi. Fakfrul Razin (Abang) yang kini sedang melanjutkan pelajaran di bidang biologi di peringkat master ada di kampung, Nur Izyani Nadhirah (Kakak) yang melanjutkan pelajaran jurusan kedoktoran di Yogyakarta, Indonesia juga berada di kampung, dan Fakhrul Syahmi Azri (Adik) yang akan mendaftar pada 1 September 2012 melanjutkan pelajaran di bidang perakaunan di UITM juga memang dah berada di kampung halaman. Semuanya berada di sisi keluarga untuk beraya di kampung.
 
Insyaalah  pada hari raya pertama ini selepas solat sunat Aidilfitri, kami sekeluarga berehat dan beraya bersama di rumah. Selepas itu ziarah pusara ayah dan kaum keluarga di kubur di kampung kami. Pada petang dan malam berziarah pula ke rumah sanak saudara dan keluarga sekampung. Esok pada hari raya kedua, kami akan berziarah sanak saudara di Kota Tinggi, Mersing dan Kluang. Mengambil kesempatan ziarah pusara emak di Felda Sungai Mas, Kota Tinggi. Pada hari raya ketiga (Selasa) insyaallah kami akan balik kampung di Bagan Serai, Perak. Di sana nanti kami mungkin berziarah keluarga di sebelah sana iaitu di Bagan Serai, Kuala Kangsar, Taiping, Pulau Pinang dan Perlis. 

Aidilfitri disambut sebagai suatu kemenangan bagi orang yang dapat mengerjakan ibadat puasa Ramadan dengan sempurna. Kemenangan itu bukan saja menang kerana berjaya mengawal nafsu makan dan minum selama sebulan pada siang hari sepanjang Ramadan, malah kejayaan menghalang diri daripada melakukan perkara dilarang, di mana jika dilakukan akan terbatal puasanya. Oleh kerana itu, Allah menganugerahkan satu hari untuk kita sama-sama meraikan kejayaan daripada kemenangan itu.

Kegembiraan ini khas kepada mereka yang berpuasa kerana telah berpuasa penuh sebulan, kejayaan melawan nafsu makan dan pancaindera yang lain dan ketiga, melunakkan syaitan-syaitan.

Semoga hari raya kali ini kita berusaha bersungguh untuk melaksanakan tuntutan Nabi SAW dalam meraikan hari raya. Bergembiralah meraikannya. Sesungguhnya bergembira di hari raya adalah sunnah Nabi SAW manakala bersedih-sedihan di hari raya pula bukan daripada ajaran Islam. Apa yang terbaik itu adalah mengikut petunjuk Nabi SAW.