Tuesday, 30 August 2011

HARI RAYA AIDILFITRI

Kami sekeluarga mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada sanak saudara, sahabat handai, rakan taulan, kepada sesiapa sahaja yang mengenali kami dan dan umat Islam seluruh dunia yang sama-sama merayakan Aidilfitri tahun ini.

سلامت هاريراي عيدالفطري
Maaf Zahir dan Batin











Monday, 29 August 2011

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI


سلامت هاريراي عيدالفطري
Maaf Zahir dan Batin
 
 
Kami sekeluarga mengucapkan Selamat Hari Raya kepada kaum keluarga, sahabat handai dan semua umat Islam seluruh dunia.
 
Aidilfitri adalah perayaan khusus dikurniakan Allah SWT kepada umat Islam  setelah berjaya menunaikan ibadah puasa selama sebulan di bulan Ramadan. Ia sebagai tanda individu muslim itu telah kembali ke fitrah asalnya iaitu bersih dari segala dosa. Ia adalah hari kemenangan kita mendidik hawa nafsu sehingga fitrah kita kembali lurus dan jernih sifatnya.
 
Dalam segi bahasanya, Aidilfitri bermakna kembali kepada fitrah. Kita sebenarnya kembali kepada fitrah iaitu suci dan bebas daripada dosa. Tatkala Aidilfitri, umat Islam suci daripada dosa kerana madrasah Ramadan membersih segala dosa kita.

Selepas sebulan berpuasa umat Islam merayakan Aidilfitri sebagai tanda kemenangan. Ibadat puasa sepanjang Ramadan diibaratkan suatu 'madrasah' atau sekolah yang mendidik jiwa umat Islam sepanjang sebulan berpuasa.

Bukan saja menahan lapar dahaga, malah juga mengekang hawa nafsu daripada merajai jiwa. Disiplin yang dipupuk oleh madrasah Ramadan ini amat kental kerana umat Islam bukan hanya berpuasa di hadapan orang, malah juga apabila bersendirian.

Inilah kejayaan Islam mendidik peribadi mulia dan amanah. Manifestasi kemuliaan Ramadan dapat dilihat daripada sudut amalan umat Islam seperti bersolat terawih, bersedekah, bertadarus al-Quran dan banyak lagi.

Sebagai tanda meraikan kejayaan itu maka kita dianugerahkan Hari Raya Aidilfiri. Pada asasanya Aidilfitri adalah hari untuk kita menzahirkan kegembiraan. Namun, kegembiraan itu perlu dilakukan dalam kerangka syariat Islam. Umat Islam perlu mengikut lunas-lunas akhlak dan syariat Islam. Rasa kehambaan yang kita kecapai di bulan Ramadan itu jangan dicemarkan dengan perbuatan dan amalan-amalan yang boleh merosakkan kembali ketakwaan kita kepada Allah SWT.

Sesungguhnya Aidilfitri bukan hari untuk kita melempiaskan hawa nafsu sekehendak hati. Kegembiraan ini mestilah dizahirkan dengan membesarkan Allah dengan takbir (Allahu akhbar), tahmid (Alhamdulillah) dan taqdis (Subhanallah).

Di samping menceriakan hari raya dengan amal ibadat dan takbir raya, umat Islam juga dituntut melakukan amalan terpuji yang dapat memperkukuh perpaduan ummah.

Amalan-amalan tersebut adalah seperti bermaaf-maafan, memohon kemaafan ibu-bapa, ziarah-menziarahi, menyambung kembali silaturahim yang telah terputus sesama kaum keluarga dan sahabat handai serta menziarahi pusara (kubur) ahli keluarga yang telah meninggal dunia.

Aidilfitri bukanlah semata-mata suatu adat, tetapi lebih kepada ibadat berasaskan sumber hukum yang jelas. Oleh kerana ia adalah suatu ibadat, hari besar ini wajar dipenuhi dengan ibadat yang dituntut Allah.

Ia tidak hanya ziarah menziarahi, tetapi mengeratkan silaturahim. Ia tidak hanya berborak-borak, tetapi menegakkan syiar dan dakwah Islamiah. Ia bukan juga hanya menyanyi kegembiraan, tetapi menambah zikir dan takbir kepada Yang Maha Esa.

Aidilfitri adalah masa terbaik untuk mempertaut kembali silaturahim, memperkukuh kembali hubungan serta perpaduan sesama umat Islam. Sewajarnyalah, kesan ibadah puasa ynag kita lakukan di bulan Ramadan itu dapat membangun dan menyuburkan nilai-nilai terpuji dalam diri kita yang diterjemahkan dalam kehidupan kita sepanjang hayat.

Monday, 1 August 2011

SELAMAT BERPUASA DI BULAN RAMADHAN

Hari ini umat Islam di Malaysia mula berpuasa. Kami sekeluarga mengucapkan selamat berpuasa kepada umat Islam di seluruh dunia. Selamat berpuasa.


"Dikurniakan kepada umatku pada bulan Ramadan lima kelebihan yang tidak dikurniakan mana-mana umat sebelum mereka iaitubau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah daripada bau kasturi, malaikat berdoa diampunkan mereka sehingga berbuka, Allah hiasi syurganya setiap hari, kemudian berfirman hampir-hampirlah hamba-Ku yang soleh yang merasai kesukaran tetapi terus menuju kepadamu, diikat padanya syaitan dan diampun bagi mereka pada akhir malam (Hadis Imam Ahmad dan Muhammad bin Nasar al- Baihaqi daripada sahabat Abu Hurairah).

Sunday, 10 April 2011

KEMALANGAN MAUT MELIBATKAN ANAK, MENANTU DAN CUCU PAK ASRANI

Di bawah ini adalah laporan berita mengenai kemalangan maut anak, menantu dan cucu Pak Asrani orang kampung kami. Kami ucapkan takziah kepada keluarga Pak Asrani. Marilah kita hadiahkan bacaan al- Fatihah kepada anak, menantu dan cucu Pak Asrani yang telah meninggal dunia... al-Fatihah

Dari Mingguan Malaysia, 10 April 2011
Tiga Beranak Terbunuh di Serendah.
SERENDAH 9 April – Tiga beranak yang berpisah selama empat hari hanya sempat melepaskan rindu beberapa jam sebelum kesemua mereka maut dalam kemalangan ngeri di Kilometer 40, Jalan Persekutuan Kuala Lumpur-Ipoh di simpang ke Ladang Sungai Gapi berhampiran Serendah dekat sini, pagi ini.

Anggota bomba dan penyelamat berusaha mengeluarkan tiga
mangsa kemalangan ngeri di Serendah, semalam.


Dalam kejadian pada pukul 6.30 pagi itu, Mohd. Farid Idris, 29; isterinya, Eirlenna Asrani, 28, dan anak tunggal mereka, Muhammad Faiz Hakimi, 4, meninggal dunia di tempat kejadian selepas kereta mereka remuk teruk dirempuh sebelum dihempap lori tanah 10 tayar.

Mohd. Farid dan Eirlenna masing-masing bertugas sebagai pembantu perubatan dan jururawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di sini.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Supritendan Norel Azmi Yahya Affandi berkata, ketika kejadian, tiga beranak itu dalam perjalanan dari Kampar, Perak ke ibu kota dengan menaiki kereta Proton Satria.

“Semasa melalui tempat kejadian, kereta yang dipandu Mohd. Farid dipercayai bertembung dengan sebuah lori dari arah bertentangan. Kenderaan mangsa diseret sejauh 70 meter sebelum terjatuh ke cerun sedalam dua meter. Lori yang gagal berhenti itu terbalik lalu menghempap kereta tersebut sehingga menyebabkan kesemua mangsa tersepit di bawah kenderaan berat itu,” katanya di sini, hari ini.

Tambahnya, mayat tiga beranak itu hanya berjaya dikeluarkan daripada kenderaan yang remuk selepas tiga jam.

“Usaha mengeluarkan mayat yang dilakukan oleh anggota bomba memakan masa kerana kereta tersebut berada di bawah lori,” ujarnya.

Menurutnya, pemandu lori tersebut, K. Duraisingam, 40, bagaimanapun hanya mengalami cedera ringan.

Sementara itu, ibu Mohd. Farid, Azmah Zarif, 50-an memberitahu, anak dan menantunya bertolak pulang dari rumahnya di Kampar pada pukul 5.30 pagi ini.

“Ahmad Farid meninggalkan anaknya dengan saya selama empat hari untuk dijaga kerana Eirlenna berkursus di Negeri Sembilan. Pada pukul 9.30 malam semalam, kedua-dua mereka tiba di Kampar untuk mengambil semula Muhammad Faiz Hakimi selepas terlalu rindu empat hari tidak bertemu,” katanya.

Jenazah ketiga-tiga beranak itu dikebumikan di tanah perkuburan Islam di Kampar petang ini.


Dari Berita Minggu, 10 April 2011
Lima Maut Kereta Bertembung Lori
KUALA LUMPUR: Lima beranak daripada dua keluarga maut dalam nahas jalan raya berasingan di Serendah, Selangor dan Baling, Kedah, pagi semalam.

Dalam kejadian pertama di Serendah, tiga beranak termasuk kanak-kanak lelaki berusia empat tahun, terkorban apabila kereta Proton Satria dinaiki mereka dirempuh sebuah lori yang membawa muatan batu-bata di Kilometer 40, Jalan Kuala Lumpur-Ipoh, Ladang Gapi, kira-kira jam 6.30 pagi.

ANGGOTA bomba dan penyelamat cuba mengeluarkan mayat
Mohd Farid (gambar kecil) yang maut dalam nahas di Kilometer
40, Jalan Kuala Lumpur-Ipoh, Ladang Gapi, pagi semalam.


Mangsa dikenal Mohd Farid Idris, 29; isterinya, Eirlenna Asrani, 28, dan anak mereka, Muhammad Faiz Hakimi, empat tahun.

Kemalangan berlaku ketika Mohd Farid dan Eirlenna dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Cheras selepas mengambil anak tunggal mereka, Muhammad Faiz yang ditinggalkan di rumah ibu Farid di Kampar, Perak sejak seminggu lalu.

Ketika melalui jalan lama Kuala Lumpur-Ipoh, kereta dipandu Farid yang bertugas sebagai pembantu perubatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), dilaporkan dirempuh sebuah lori dari arah bertentangan sebelum diseret sejauh 70 meter lalu terhumban ke dalam gaung tidak jauh dari simpang Ladang Gapi, Serendah.

Kereta mangsa kemudian dihempap lori terbabit ketika jatuh ke dalam gaung sedalam dua meter. Berikutan itu, tiga beranak itu tersepit dan saling bertindih dalam kereta yang remuk.

Ketua Polis Daerah Kuala Kubu Baru, Superintendan Norel Azmi Yahya ketika mengesahkan kejadian itu berkata, polis dengan bantuan dua jentera dari Balai Bomba Kuala Kubu Baru mengambil masa lebih dua jam bagi mengeluarkan mayat ketiga-tiga beranak itu.

Manakala pemandu lori, Duraisingam Karuppiah, 40, menyerah diri di Balai Polis Kuala Kubu Baru dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam nahas kedua di Baling, seorang bapa dan anak berusia dua tahun maut, manakala isterinya parah selepas kereta dinaiki bertembung sebuah lori di Jalan Simpang Empat Telok Pendiat-Carok Nau di sini, kira-kira jam 10.30 pagi semalam.

Mangsa terbunuh ialah Yahaya Md Daud, 39, dan anaknya, Mohamad Fahin Afdal Yahaya, dua tahun. Manakala isterinya, Rusnani Abu Bakar, 30, cedera parah. Kemalangan itu berlaku ketika keluarga terbabit dikatakan sedang dalam perjalanan ke Hospital Baling untuk mengambil ubat asma Mohamad Fahin Afdal.

Kereta jenis Proton Wira dipandu Yahaya yang juga Pegawai Penyelaras UMNO Dewan Undangan Negeri (DUN) Kupang dikatakan bertembung dengan sebuah lori yang datang dari arah bertentangan.

Lori itu dipercayai terbabas ketika cuba mengelak sebuah motosikal yang dikatakan memotong secara tiba-tiba dalam kejadian jam 10.30 pagi itu.

Akibat rempuhan itu, anak mangsa, Mohamad Fahin yang dipangku ibu, Rusnani Abu Bakar, 30, di bahagian depan tempat duduk penumpang mati di tempat kejadian akibat kecederaan serius di kepala dan badan.

Manakala, Yahaya yang tersepit di tempat duduk pemandu, cedera parah di kepala dan dikejarkan ke Hospital Baling sebelum meninggal dunia kira-kira jam 1.30 petang, semalam.

Wednesday, 22 December 2010

Sunday, 12 December 2010

SHOWCASE SATU DAERAH SATU INDUSTRI 2010

Semalam kami jalan-jalan ke MITC Melaka. Di sana ada Showcase Satu Daerah Satu Industri 2010. Pukul 10 pagi dewan pameran mula dibuka. Kami sampai di MITC tepat pukul 10.00 pagi. Masih belum ramai pengunjung dan dalam dewan masih belum sesak.

Beberapa booth negeri-negeri yang selain mempamerkan produk, ada yang mempersembahkan kebudayaan popular sesuatu daerah. Misalnya N. Sembilan mempersembahkan muzik caklempong, Sarawak dengan tarian dan pakaian tradisional dayak, Melaka dengan dondang sayang, dan Terengganu dengan nyanyian mayang diulik. Suasana memang meriah.

Terdapat juga booth yang buat demonstrasi penghasilan sesuatu produk. Kami berminat melihat kerja-kerja menenun dan mengukir kayu. Nampak payah dan memang susah pun. Kena belajar dulu baru boleh buat. Contohnya, sehelai kain tenun Sarawak bersaiz 1 meter mengambil masa dua minggu untuk menyiapkannya dan dijual dengan harga RM250.00. Tak berpadanan dengan tenaga untuk menenunnya.

Dalam showcase SDSI ini banyak benda baru yang kami dapat terutamanya mengenai kekuatan dan produk utama setiap daerah di Malaysia. Produk yang pelbagai itu termasuk 'homestay' yang dipamerkan di booth memberi peluang kepada pengunjung berinteraksi dengan lebih dekat dengan pengusaha-pengusaha produk.

Pengunjung juga berpeluang membeli-belah produk-produk setiap daerah dengan harga promosi. Sambil menyelam sambil minum air. Sambil memcari maklumat dan melihat kekuatan setiap daerah, sambil membeli-belah produk yang diinginkan.













Wednesday, 8 December 2010

KALAU NAK BERISTIREHAT PERGILAH KE BUKIT FRASER

Minggu lepas kami pergi ke Bukit Fraser. Bukit Fraser terletak di negeri Pahang. Ia tempat peranginan tanah tinggi iaitu 1,524 meter di atas paras laut dan dikelilingi oleh kehijauan hutan tebal hutan hujan khatulistiwa. Sesiapa yang berminat dan penggemar alam semulajadi silalah ke sini kerana hutan di sini mengandungi pelbagai jenis tumbuhan, burung dan spesis haiwan. 

Bukit Fraser hanya boleh dikunjungi melalui sebatang jalan berliku tajam 'The Gap' yang terletak di kaki bukit. Ia jalan sehala yang dikawal. Jam menunjukkan angka ganjil hanya boleh naik manakala jam angka genap hanya boleh turun.

Bukit Fraser kaya dengan jalan berliku menjadikan kepada pening dan perut memulas. 

Suasana di Bukit Fraser menyerupai suasana perkampungan di pedalaman negara Scotland yang dipenuhi dengan bangunan granit kelabu putih dengan gaya Tudor. Sebenarnya di Bukit Fraser ni tiada pekan atau pusat bandar. Nak cari kedai runcit pun susah. Kebanyakan aktiviti di sini tertumpu di sebuah dataran yang mempunyai sebuah menara jam yang cantik berdekatan dengan Pos Malaysia, balai polis, pusat sukan dan Puncak Inn. Di sini bukan untuk bershopping. Di sini hanya tempat beristirehat. Di sini banyak hotel, resort dan banglo yang boleh disewa. 

Pada kami, Bukit Fraser adalah lokasi atau tempat yang membosankan. Dahlah tak dingin, kawasan ini terlalu sunyi. Ia lebih sebagai tempat berehat dan berjalan-jalan sambil menghirup udara segar dan nyaman. Kabus tebal ada di sekeliling kita terutamanya selepas hujan dan di waktu awal pagi.

Namun demikian, tempat peranginan ini dianggap sebagai tempat terunggul untuk aktiviti memerhati burung dan sering menjadi tuan rumah acara tahunan Pertandingan Memerhati Burung Antarabangsa Bukit Fraser. Jika nak kegiatan lebih mencabar, susurilah denai dan laluan-laluan trek yang terdapat di dalam hutan di sini bagi menikmati dan menghayati suasana hutan hujan khatulistiwa.

Di antara kegiatan lain ialah bermain golf di Kelab Golf Bukit Fraser, memancing ikan (tangkap dan lepas) dan bersampan di Allans' Water, bersiar-siar di taman-taman bunga dan taman rekreasi atau mandi di air terjun Jeriau.

Air terjun Jeriau jauhnya lebih kurang 4.5 km dari menara jam. Air terjun ini taklah  besar, taklah tinggi dan taklah cantik. Tak pergi ke situ pun tak apa... Tempatnya sunyi. Jika terjadi sesuatu kepada kita, tak ada siapa yang boleh nak minta tolong. Namun demikian usaha membangunkannya saya puji. Siar kaki dibina dari pintu masuk hingga ke air terjun. Tempatnya bersih. Ada pekerja yang sentiasa membersihkannya sepanjang hari. Tahniah!