Tuesday, 10 September 2013

DOA AGAR ANAK-ANAK BERJAYA DALAM PEPERIKSAAN

Hari ini bermulanya peperiksaan UPSR. Lepas itu peperiksaan PMR. Seterusnya peperiksaan SPM dan STPM. Marilah kita sama-sama berdoa untuk anak-anak kita agar mereka berjaya dalam peperiksaan. Semoga mereka berjaya menjadi insan yang taat kepada agamanya, taat kepada kedua ibubapanya, dan menjadi warga negara yang terpuji.
 
Amalkanlah doa ini: 
 
"Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Segala puji-pujian bagi Allah. Tuhan seru sekalian alam, selawat dan salam ke atas semulia-mulia para nabi dan para rasul Sayyidina Muhammad dan ke atas ahli keluarga baginda dan para sahabat sekalian. 
 
Ya Allah, ya Tuhan kami, rahmatilah ke atas penghulu kami nabi Muhammad suatu rahmat yang Engkau lepaskan kami dengannya dari segala kesusahan dan kebinasaan dan yang Engkau tunaikan bagi kami dengannya segala hajat, dan yang Engkau sucikan kami dengannya dari segala kejahatan dan yang Engkau angkat kami dengannya di sisi-Mu pada setinggi-tinggi darjat, dan yang Engkau sampaikan kami dengannya sejauh-jauh tujuan segala kebajikan semasa hidup dan sesudah mati. Dan juga selawat ke atas keluarga dan sahabat baginda dan anugerahkanlah mereka salam sejahtera yang banyak dengan rahmat-Mu wahai Tuhan Yang Maha Mengasihani. 
 
Ya Allah, jadikanlah anak-anak dan penuntut-penuntut kami dari golongan orang-orang yang berjaya dan orang-orang yang mendapat kemenangan di dalam pembelajaran dan peperiksaan, dan jadikanlah mereka dari golongan hamba-hambaMu yang soleh. 
 
Ya Allah, jadikanlah kami dan mereka dari golongan orang yang berilmu dan orang yang membuat kebaikan, dan janganlah Engkau jadikan kami dan mereka daripada golongan orang yang jahat dan orang yang membuat kerosakan. 
 
Ya Allah bukakanlah hati mereka sebagaimana terbukanya hati orang-orang yang arif bijaksana , dan kurniakanlah kepada mereka kepada mereka kefahaman di dalam agama, dan ajarkanlah kepada mereka perkara ta'wil dan tunjukkanlah mereka ke jalan yang benar dan kurniakanlah kepada mereka kefahaman para nabi , hafalan para rasul, ilham para malaikat muqarrabin di dalam keadaan afiat, wahai Tuhan yang maha Pengasih dari segala yang lain yang mengasihani. 
 
Ya Allah, lapangkanlah bagi mereka dada-dada mereka, dan permudahkanlah bagi mereka urusan-urusan mereka, dan kurniakanlah taufiq dan hidayah kepada mereka, dan luruskanlah mereka dan kumpulkan bagi mereka di antara perkara yang betul dan perkara yang berpahala, dan lindungilah mereka daripada membuat kesalahan terlarang daripada mendapat nikmat dan lupa. 
 
Ya Allah, terangilah cahaya pada hati-hati mereka dengan cahaya hidayatMu, sebagaimana Engkau terangi bumi dengan cahaya matahari Mu, dan bukakanlah pintu kemenangan kepada mereka dengan kemenangan yang dekat , wahai Tuhan yang Maha Pemberi keputusan, wahai Tuhan yang Maha Mengetahui. 
 
Ya Allah, Keluarkanlah mereka daripada kesamaran dan muliakanlah mereka dengan cahaya kefahaman, dan bukakanlah kepada mereka pintu-pintu ilmu, dan hiasilah mereka dengan akhlak yang baik dan sopan santun, dan jauhkanlah mereka daripada kemungkaran akhlak, perbuatan hawa nafsu, dan penyakit, dengan rahmat Mu Tuhan yang Maha Pengasih dari segala yang lain yang mengasihani. 
 
Dan Allah telah berselawat ke atas Sayyidina Muhammad dan ke atas ahli keluarga baginda dan para sahabat sekalian, dan segala puji-pujian bagi Allah Tuhan seru sekalian alam".

Monday, 9 September 2013

YANG PERTAMA...

  1. Orang yang pertama menulis Bismillah:  Nabi Sulaiman AS.
  2. Orang yang pertama minum air zamzam:  Nabi Ismail AS.
  3. Orang yang pertama berkhatan:  Nabi Ibrahim AS.
  4. Orang yang pertama diberikan pakaian pada hari qiamat:  Nabi Ibrahim AS.
  5. Orang yang pertama dipanggil oleh Allah pada hari qiamat:  Nabi Adam AS.
  6. Orang yang pertama mengerjakan saie antara Safa dan Marwah:  Sayyidatina Hajar (Ibu Nabi Ismail AS)
  7. Orang yang pertama dibangkitkan pada hari qiamat:  Nabi Muhammad SAW
  8. Orang yang pertama menjadi khalifah Islam:  Abu Bakar AsSiddiq RA
  9. Orang yang pertama menggunakan tarikh hijrah:  Umar bin Al-Khattab RA
  10. Orang yang pertama meletakkah jawatan khalifah dalam Islam:  Al-Hasan bin Ali RA
  11. Orang yang pertama menyusukan Nabi SAW:  Thuwaibah RA
  12. Orang yang pertama syahid dalam Islam dari kalangan lelaki:  Al-Harith bin Abi Halah RA
  13. Orang yang pertama syahid dalam Islam dari kalangan wanita: Sumayyah binti Khabbat RA
  14. Orang yang pertama menulis hadis di dalam kitab / lembaran:  Abdullah bin Amru bin Al-Ash RA
  15. Orang yang pertama memanah dalam perjuangan fisabilillah:  Saad bin Abi Waqqas RA
  16. Orang yang pertama menjadi muazzin dan melaungkan azan:  Bilal bin Rabah RA
  17. Orang yang pertama bersembahyang dengan Rasulullah SAW:  Ali bin Abi Tholib RA
  18. Orang yang pertama membuat minbar masjid Nabi SAW: Tamim Ad-dary RA
  19. Orang yang pertama menghunuskan pedang dalam perjuangan fisabilillah:  Az-Zubair bin Al- Awwam RA
  20. Orang yang pertama menulis sirah Nabi SAW:  Ibban bin Othman bin Affan RA
  21. Orang yang pertama beriman dengan Nabi SAW: Khadijah binti Khuwailid RA
  22. Orang yang pertama mengasaskan usul fiqh:  Imam Syafie RH
  23. Orang yang pertama membina penjara dalam Islam:  Ali bin Abi Tholib RA
  24. Orang yang pertama menjadi raja dalam Islam:  Muawayah bin Abi Sufyan RA
  25. Orang yang pertama membuat perpustakaan awam:  Harun Ar-Rasyid RH
  26. Orang yang pertama mengadakan baitul mal:  Umar Al-Khattab RA
  27. Orang yang pertama menghafal Al-Quran selepas Rasulullah SAW:  Ali bn Abi Tholib RA
  28. orang yang pertama membina menara di Masjidil Haram Mekah:  Khalifah Abu Ja’far Al-Mansur RH
  29. Orang yang pertama digelar Al-Muqry:  Mus’ab bin Umair RA
  30. Orang yang pertama masuk Syurga:  Nabi Muhamamad SAW

Friday, 9 August 2013

BERMARHABAN DI RUMAH KAMI

Aidilfitri adalah hari mengeratkan tali persaudaraan dan menyuburkan silaturrahim. Islam meletakkan nilai persaudaraan dan kasih sayang itu di tempat yang tinggi dan utama. Hubungan persaudaraan yang baik  boleh membawa kesejahteraan dalam kehidupan berkeluarga dan bermasyarakat. Aidilfitri memberi peluang dan ruang yang luas ke arah pengukuhan persaudaraan dan silaturrahim melalui ucapan Aidilfitri, kunjung mengunjungi dan saling bermaaf-maafan.

Pada sebelah petang 1 Syawal, rumah kami dikunjungi oleh ahli marhaban kampung kami. Kedatangan diorang amat menggembirakan kami sekeluarga. Kami bersama-sama berselawat berdoa dan bermaaf-maafan. Kami juga menghidangkan juadah hari raya dan makan bersma-sama. Terima kasih sahabat-sahabatku yang bertandang ke rumah kami...  
Doa bermarhaban keliling kampung:

"Segala pujian itu bagi Allah Tuhan pentadbir seluruh alam. Rahmat dan sejahtera atas junjungan kami Nabi Muhammad semulia-mulia Rasul dan juga atas sekelian keluarga dan sahabat-sahabat Baginda.

Ya Allah Tuhan yang mentadbir seluruh keadaan. Tuhan yang maha pemurah dan maha tinggi. Dengan limpah dan kemurahan-Mu tukarkanlah apa kiranya keadaan kami ini kepada sebaik-baik keadaan. Berkatkanlah kami dan sekelian kaum muslimin bersempena dengan bulan Syawal ini.

Ya Allah wahai Tuhan yang Dialah sebaik-baik tempat dihadapkan permohonan. Perkenankan apa kiranya doa permohonan kami ini dan kurniakanlah lagi peluang bagi kami menemui bulan Syawal ini kepada kami dari tahun demi tahun hingga beberapa masa.

Dan kami mohon semoga Tuhan kami berkati tuan rumah ini iaitu EN. HASAN BIN KASMURI DAN KELUARGA,  serta lanjutkan umurnya dalam iman, mendapat rezeki halal dan diselisihkan daripada rezeki haram. Mohon limpah rahmat-Mu jua ya Alah Tuhan yang sebaik-baik yang mengurniakan rahmat.

Barang dicucuri rahmat dan sejahtera atas junjungan kami Nabi Muhammad dan sekelian keluarga dan sahabat-sahabat Baginda. Segala pujian itu bagi Allah Tuhan pentadbir seluruh alam."









Thursday, 8 August 2013

1 FAMILI DI PAGI 1 SYAWAL

Aidilfitri adalah hari mengeratkan tali persaudaraan dan menyuburkan silaturrahim. Islam meletakkan nilai persaudaraan dan kasih sayang itu di tempat yang tinggi. Hubungan persaudraan yang baik adalah satu usaha untuk membentuk individu yang berkualiti. Ini boleh membawa kepada kesejahteraan dalam kehidupan berkeluarga dan bermasyarakat. Aidilfitri memberi peluang yang luas ke arah pengukuhan perhubungan kekeluargaan dan  persaudaraan melalui ucapan salam Aidilfitri, bermaafan dan peluk cium dalam keluarga.

Firman Allah SWT dalam Surah An-Nisaa',  ayat 36 yang bermaksud: "Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah, dan janganlah kamu mempersekutukan-Nya dengan sesuatu apa jua; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan jiran tetangga yang dekat, dan jiran tetangga yang jauh, dan rakan sejawat, dan orang musafir yang terlantar, dan juga hamba sahaya yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong takbur dan membanggakan dirinya".

Pada pagi 1 Syawal kami berkumpul anak beranak. Semua ada dan masing-masing cuti panjang. 'Abang' cuti seminggu belajar menghabiskan masternya, kakak cuti sebulan belajar di Jogjakarta, Indonesia dan 'adik' cuti hujung semester selama sebulan. Dari petang hingga malam kami bersama-sama membuat persediaan masak juadah hari raya seperti ketupat, pulut kukus, rendang ayam dan rendang daging, kari daging, ayam masak korma, sambal kacang, lodeh dan sambal goreng. Masak sikit-sikit sahaja cukup untuk kami sekeluarga dan famili yang datang beraya ke rumah kami nanti.  Setelah menikmati hidangan hari raya di pagi yang hening, masing-masing bersalaman dan bermaafan.  Seterusnya kami bersama-sama bersolat sunat Aidilfitri di Masjid Annur, masjid kampung kami.

Hari pertama ini kami yang lelaki akan join dengan ahli kariah kampung bermarhaban keliling kampung sehingga selesai. Hari raya kedua pula akan berziarah sanak-saudara di sekitar Johor, dan pada hari raya ketiga kami akan balik kampung di Bagan Serai, Perak beraya dengan emak dan kaum keluarga di sana.











Wednesday, 7 August 2013

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI

Kami mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada kaum keluarga kami, saudara-mara kami, rakan dan kenalan kami dan kepada semua umat Islam yang merayakan hari kemenangan ini. SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI. MAAF ZAHIR DAN BATIN.


Tuesday, 9 July 2013

SELAMAT DATANG RAMADHAN

Esok umat Islam diseluruh dunia akan mula melaksanakan kewajipan berpuasa di bulan Ramadan. Ia merupakan tuntutan agama yang wajib dilakukan setahun sekali oleh setiap orang Islam yang baligh, berakal serta berkemampuan untuk melaksanakannya. Hanya golongan tertentu seperti orang tua yang sudah uzur ataupun sakit yang tiada harapan sembuh juga wanita yang dalam keadaan haid dan nifas sahaja dikecualikan daripada berpuasa. Walau bagaimanapun golongan ini tertakluk kepada kewajipan untuk membayar fidyah ataupun menggantikan puasa pada bulan-bulan yang lain.

Perlu juga difahami betapa ketibaan Ramadan merupakan sebahagian daripada nikmat kurniaan Ilahi yang perlu disyukuri kerana hanya diberikan kepada insan-insan terpilih. Terdapat dikalangan kerabat, jiran tetangga dan sahabat handai yang pada tahun lalu sama-sama berpuasa dan berhari raya kini telah pergi selama-lamanya menyahut seruan Ilahi sekaligus tidak lagi diberi keistimewaan oleh Allah SWT untuk menikmati anugerah Ramadan.

Justeru itu peluang keemasan yang datang setahun sekali ini tidak patut dipersiakan dan berlalu pergi begitu sahaja tanpa berusaha untuk melipatgandakan ketaatan. Tentunya suatu kerugian yang amat besar apabila seseorang ditakdirkan melalui Ramadan hingga kepenghujungnya tetapi tidak beroleh pengampunan dan pembebasan api neraka sepertimana yang dijanjikan oleh Allah SWT.

Untuk tujuan itu juga, persiapan rapi bagi menyambut ketibaan Ramadan perlu dilakukan seiring dengan persiapan menjelang hari raya yang terkadang menjadi tujuan utama berpuasa. Oleh itu setiap umat Islam perlu membersihkan jiwa dan raga daripada pelbagai penyakit mazmumah sebagai persediaan beroleh ganjaran yang tiada tolok bandingnya di Bulan Ramadan. Betulkan niat dan tujuan berpuasa agar menjadi motivasi untuk mempertingkat amal dan kebajikan.

Selain daripada itu persediaan mental dan fizikal turut diperlukan bagi mengharungi jadual padat yang telah ditetapkan. Bermula daripada terbit fajar hingga terbenam matahari seseorang perlu menahan diri daripada makan dan minum juga semua perkara yang membatalkan puasa. Malah bagi mencapai tingkatan puasa khusus seseorang perlu mempastikan seluruh pancaindera terpelihara daripada berbuat dosa dan maksiat kepada Allah SWT. Begitu pula seseorang yang hanya berpuasa tetapi tidak melaksanakan kewajipan solat dan menutup aurat juga dikhuatiri gagal memperoleh kesempurnaan berpuasa seperti yang diharap-harapkan.

Selain beribadah dengan modal kesihatan umat Islam turut boleh beribadah dengan modal wang ringgit. Kewajipan menunaikan zakat fitrah, memberi sedekah kepada golongan miskin dan memerlukan, memberi makan dan minum untuk orang yang berpuasa semuanya merupakan ibadah yang bersifat materilistik. Tanpa kemahiran mengurus sumber kewangan yang terhad seseorang mungkin terlepas peluang untuk beribadah menggunakan wang ringgit. Apatah lagi menjelang musim perayaan banyak wang yang akan digunakan untuk tujuan tersebut. Justeru itu, asingkan sebahagian wang gaji yang diperoleh untuk terlibat sama menginfaqkan harta di bulan Ramadan yang cukup besar ertinya terutama bagi yang tiada. Malah doa golongan tersebut mampu memberi keberkatan dan kecukupan kepada rezeki yang sedia ada walaupun tampak sedikit di pandangan mata.

Demi untuk merealisasikan tuntutan ibadah di Bulan Ramadan setiap individu Muslim perlu menyediakan perancangan program ibadah sepanjang bulan. Selain program pelaksanaan ibadah wajib seperti berpuasa di siang hari dan solat lima waktu, banyak ibadah sunat boleh dilakukan. Rancangkan berapa muka surat al-Quran mampu dibaca untuk dapat khatam di penghujung Ramadan. Rancangkan pula sejumlah bilangan zikir seperti tahlil, tahmid dan tasbih yang mampu di baca selama sebulan. Malah yang lebih utama persiapan untuk beroleh ganjaran beribadah di Malam Lailatulqadar yang boleh dilakukan dengan berusaha untuk solat tarawih setiap malam. Ini diikuti pula dengan kesanggupan untuk beribadah di sepuluh malam terakhir daripada Ramadan yang berkemungkinan besar berlaku peristiwa lailatulqadar.

Sesungguhnya kegembiraan bertemu Ramadan hanya dapat dirasai oleh individu yang tahu akan berbagai kelebihan yang khusus disediakan dalam bulan tersebut. Adapun bagi golongan yang lalai dan lemah iman berbagai alasan dan helah mula direka hanya kerana enggan menunaikan kewajipan berpuasa. Ibadah puasa bagi mereka umpama suatu penyiksaan batin yang tidak tertanggung sehingga tanpa segan silu makan di khayalak ramai tanpa sekelumit rasa berdosa. Seolah-olah mereka nekad ditangkap oleh penguatkuasa agama berbanding melaksanakan ibadah puasa sebagai manefestasi keimanan dan kepercayaan kepada Ilahi.

Marilah kita semua bergembira dengan ketibaan Bulan Ramadan al-Mubarak. Marilah kita semua berazam untuk menjadikan puasa tahun ini lebih berkualiti daripada tahun-tahun yang lalu. Ini kerana peluang yang ada semakin terhad berbanding umur dunia yang semakin deras menuju ke penghujungnya. Malah kegembiraan dan kejayaan sebenar yang bakal dikecapi adalah berpunca daripada kesempurnaan ibadah puasa yang bakal dilakukan demi mencapai makam takwa kepada Allah SWT.


Sumber: 73khawarizmi.blogspot

Saturday, 23 March 2013

KENANGAN LAWATAN DAN ZIARAH KEMANUSIAAN KE SIEM REAP DAN PHNOM PENH (KAMPUCHEA) SERTA HO CHI MINH CITY (VIETNAM)

Sebenarnya lawatan ini dilakukan pada cuti sekolah bulan Jun 2012. Kami seramai dua puluh orang menyertai program kemanusiaan ke Kampuchea dan Vietnam. Program ini adalah anjuran PIBG SMK Sri Kukup. Program ini sebagai satu perkongsian pengalaman dengan masyarakat Islam di Kampuchea. Masyarakat ini yang berada dalam lingkungan penguasaan kerajaan Buddhis mampu untuk survival kehidupan dengan identiti Islam yang dipertahankan sejak begitu lama. Mereka mempertahankan hak mereka sebagai warga negara dan masih kekal berketurunan Islam.

Dalam program ini selain daripada mempererat ukhuwwah antara sesama umat Islam melalui berziarah, kami juga mengambil kesempatan melawat tempat-tempat bersejarah dan tempat-tempat yang menarik di sana. Kami melaksanakan hasrat dan niat secara peribadi atau secara berkumpulan untuk bersama-sama memberi sumbangan seperti wakaf membina perigi, menyumbang dana kepada madrasah-madrasah dan masjid, menyumbang pakaian dan peralatan beribadah, naskhah al-Quran, melakukan ibadah aqiqah dan sebagaianya. Semua sumbangan berbentuk barangan kami packing dalam 8 kotak besar.

Apa yang menggembirakan kami ialah apabila kami dapat berjumpa dengan Mufti Kerajaan Kemboja Sahibus Samahah Hj. Kamaruddin b. Yusof di Ibupejabat Mufti di Phnom Phenh. Pada malam itu, beliau menceritakan mengenai perkembangan Islam di Kampuchea dan turut menceritakan kesengsaraan umat Islam dan rakyat Kampuchea di bawah pemerintahan Pol Pot (Khemer Rouge).
Peserta program:
  1. En. A. Rahim b A. Rahman (Ketua Program)
  2. Ust. Mohd. Rozamli b Mohd Razak (Penyelaras Program)
  3. Ust. Zaki Hilwan b Achok (Setiausaha)
  4. En. Mohamad Fuad b Mokhtar (Bendahari)
  5. Pn. Hjh. Habsah bt Ibrahim
  6. Tn. Hj. Mohd Zini b Abd. Fatah
  7. Tn. Hj. Embok Cheni b Turu
  8. Tn. Hj. Mat Isrin b Kasbullah
  9. Pn. Hjh. Rosinah bt Rosdi
  10. En. Hadi Abd. Munir b Jamhari
  11. Pn. Oked bt Abdullah
  12. En. Hamidon b Busro
  13. En. Abd. razak b Abdul Samad
  14. Pn. Sabariah bt Mohd. Ariff
  15. En. Haron b Jauhari
  16. En. Muhammad farhan b Mohd Radzi
  17. En. Mohd. Shafiq b Zainol Abidin
  18. En. Hasan b kasmuri
  19. Cik Nor Hafizah bt Mohd. Azhari
  20. Pn. Fatimah bt Hj. Kasim

Di antara pengisian program:
  • Terbang dari LCCT pada pukul 6.50 pagi 2 Jun 2012 menggunakan Air Asia terus ke Siem reap, Kampichea.
  • Beramah mesra dengan masyarakat Islam Kampung Puok, Siem Reap. Di sini kami mewakafkan tiga  perigi (pam air untuk menyedut air bawah tanah).
  • Melawat Tasik Tonle Sap.
  • Beramah mesra dengan penduduk di sekitar Masjid An Neakmah sambil melakukan beraqiqah seekor lembu.
  • Melawat Kompleks Angkor Wat dan Kompleks Angkor Thom.
  •  Membeli-belah di sekitar Siem Reap
  • Kembara dari Siem Reap ke Phnom Phenh selama 7 jam menaiki bas. Melihat hamparan sawah padi saujana mata memandang dan melihat kehidupan seharian rakyat Kampuchea.
  • Melawat di sekitar Kotaraya Phnom Phenh. Membeli-belah di sekitar Phnom Phenh.
  • Mengunjungi  Mufti Kerajaan Kemboja, Sahibus Samahah Tn. Hj. Kamaruddin b. Yusof di Ibupejabat Mufti di Phnom Phenh. Yang Berbahagia Mufti kelihatan kurang sihat.
  • Kembara dari Phnom Phenh ke Ho Chi Minh City selama 7 jam menaiki bas. Melihat hamparan sawah padi di kiri kanan jalan.
  • Melawat tempat-tempat menarik di sekitar Ho Chi Minh City seperti bangunan kolonial Pejabat Pos, Muzium, dan Cholon Jamial Mosque.
  • Membeli-belah di Ben Thanh Market, Ho Chi Minh City. 
  • Terbang balik dari Ho Chi Minh City International Airport ke LCCT Changi, Singapore menggunakan Tiger Air pada 6 Jun 2012 pukul 5.30 petang.

Sumber:  pakguruasan.blogspot