Thursday, 9 September 2010

RAMADHAN MENGHILANG SYAWAL MENJELMA

Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar.
Lailaha Illallah Wallahu Akbar.
Allahuakbar Walillahil Hamd.


Hari Raya Aidlifitri menjelang lagi. InsyaAllah umat Islam di Malaysia merayakannya esok iaitu pada hari Jumaat 10 September 2010. Hari Raya Aidilfitri mempunyai keistimewaan yang tersendiri. Hari Raya Aidilfitri ini merupakan kemenangan bagi umat Islam yang melepasi godaan nafsu dengan berpuasa dan menahan diri daripada lapar dan dahaga. Sempena dengan hari kemenangan ini sepatutnya umat Islam mengisinya dengan aktiviti yang terus mengekalkan dirinya dalam keadaan fitrah yang suci setelah dosanya diampunkan oleh Allah SWT.

Setelah beribadah puasa selama sebulan, bergembira di Syawal tidak ditegah. Malah Rasulullah SAW sendiri membenarkan umat Islam bergembira di Syawal, dengan syarat gembira itu mestilah dilaksanakan dan dizahirkan dalam bentuk yang di terima Islam. Nabi SAW pernah menegur Abu Bakar As-Siddiq apabila melihat Abu Bakar memarahi Aisyah r.a dan penghibur kanak-kanak yang sedang menyanyikan nasyid di rumah Rasulullah SAW dengan katanya: "Biarkan ia (wahai Abu Bakar) kerana ini adalah hari raya" (Riwayat Al-Bukhari).

Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud: “Bagi orang yang berpuasa itu dua kegembiraan, pertama kegembiraan ketika mereka berbuka dan kedua kegembiraan mereka ketika bertemu dengan Tuhannya yang Maha Pemurah.”

Umat Islam digalakkan menyambut Hari Raya Aidil Fitri dengan tahmid sebagai bersyukur kepada Allah bersempena dengan hari yang mulia itu. Ini diterangkan di dalam Al-Quran dan juga di dalam hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. Maksudnya: "Hiasilah hari raya kamu dengan Takbir dan Tahmid." dan daripada Anas r.a.: "Hiasilah kedua-dua hari raya kamu iaitu Hari Raya Aidilfitri dan juga Hari Raya Aidiladha dengan Takbir, Tahmid dan Taqdis."

Bagi meyambut hari kebesaran ini, ramai yang bertakbir tetapi tidak ramai yang berusaha menghayati lafaz-lafaz dalam takbir dan tahmid itu walaupun ianya diulang-ulang setiap kali tiba hari raya. Penghayatan dan kemanisan lafaz-lafaz itu tidak dapat dirasai.

Maksud takbir:

"Allah maha besar. Tiada tuhan melainkan Allah, kami tidak menyembah kecuali kepada-Nya, dengan ikhlas untuk agama (Islam), walaupun dibenci oleh golongan yang menyekutukan Allah."

"Tiada tuhan melainkan Allah Yang Esa yang benar janjiNya, yang memuliakan tentera-tenteraNya (tentera Muslimin) yang menolong hamba-Nya (dengan) mengalahkan tentera Ahzab (tentera bersekutu yang diketuai oleh kaum musyrikin serta kaum Yahudi dan Nasrani) dengan keesaanNya."

"Tiada tuhan melainkan Allah yang Maha Besar Allah Yang Maha Besar dan untuk Allahlah segala puji-pujian."

Justeru, amat penting bagi kita berhati-hati dalam bergembira di hari raya. Untuk memastikan yang kita berhati-hati, perlulah menjaga beberapa adab penting sepanjang Aidilfitri, seperti:

  1. Mandi sunat hari raya aidilfitri di awal pagi.
  2. Memakai wangian dan pakaian paling bagus, dan tidak semestinya baru.
  3. Makan sebelum berangkat menuju ke tempat solat sunat Aidilfitri.
  4. Di sepanjang perjalanan ke tempat solat sunat aidilfitri, pada waktu inilah sebenarnya waktu terbaik untuk melafazkan takbir raya.
  5. Sebaik-baik tempat solat Aidilfitri ialah di tempat yang terbuka seperti di padang atau dewan besar, di mana dibolehkan perhimpunan besar diadakan.
  6. Semua disunatkan pergi ke tempat solat tersebut. Bagi yang terlambat, atau keseorangan di kejauhan, maka bolehlah dibuat secara bersendirian.
  7. Pulang mengikuti jalan yang lain berbanding jalan pergi ke tempat solat. Ini bagi membolehkan kita bertemu dengan lebih ramai umat Islam.
  8. Mengucapkan tahniah dan doa kepada umat Islam lain.
  9. Membuat apa sahaja simbol gembira dan menggembirakan orang lain, asalkan tidak melanggar syariat.
  10. Allah menyuruh kita agar mengiktiraf akan kebesaranNya dengan mengucap 'Takbir' pada malam Aidilfitri dengan gema yang mampu menggemparkan para syaitan.
  11. Allah menyuruh kita mensyukuri segala nikmatNya dengan bertahmid dan berzikir.
  12. Allah menyuruh kita supaya memohon keampunan dengan beristighfar.
  13. Allah memerintahkan kita supaya mengeluarkan 'Sadaqatul Fitri' (membayar zakat fitrah).
  14. Keluar beramai-ramai untuk menunaikan solat Aidilfitri dan mendengar khutbah dengan penuh penghayatan.
  15. Bertemu, beramah mesra dan bermaaf-maafan sesama muslimin.
  16. Menziarahi kubur dan memohon keampunan untuk ahli-ahlinya.
  17. Kunjung mengunjungi dan ziarah-menziarahi untuk mengeratkan silaturrahim.

Semoga Syawal pada tahun ini memberi makna dalam kehidupan kita di dunia mahupun akhirat...InsyaAllah...


Selamat Hari Raya Aidilfitri.

Wednesday, 8 September 2010

SEDIH DI AKHIR RAMADHAN

Hari ini Rabu adalah hari ke dua puluh lapan umat Islam berpuasa di bulan Ramadhan. InsyaAllah ia akan berakhir sama ada esok atau Jumaat. Syawal yang dirai akan menjelma.

Di akhir Ramadhan ini saya rasa sedih. Sedih kerana tak lama lagi kita akan kehilangan Ramadhan pada tahun ini. Di akhir Ramadhan Allah menjanjikan pahala yang berlipat kali ganda dan dijauhkan dari api neraka. Ramadhan juga bulan yang hanya satu kali dalam satu tahun yang Lailatul Qadar, yang nilainya lebih baik dari 1000 bulan. Mungkin ramai orang yang menangis meninggalkan Ramdhan apabila melihat keutamaan bulan ini.

Lebih beruntung lagi bagi orang yang berpuasa dan dapat beribadat di malam Al-Qadar (malam agung dan mulia), iaitu satu malam yang mempunyai keistimewaan dan kelebihannya menandingi seribu bulan malam-malam biasa. Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya kami menurunkan (Al-Quran) pada malam Al-Qadar itu, tahukah kamu apakah malam Qadar itu?, malam itu adalah lebih baik daripada seribu bulan".(Surah Al-Qadar: 1-3).

Setelah kita berpuasa, kita perlulah bermuhasabah dan merenung kualiti puasa yang kita lakukan. Adakah rasa keimanan dan ketaqwaan dalam diri kita semakin meningkat atau masih seperti sebelumnya. Kalaulah ini yang dicapai,bererti tanda amalan kita di terima oleh Allah SWT.

Sasaran berpuasa ialah untuk mendapat puasa yang di terima oleh Allah SWT. Jika tidak ada peningkatan antara ibadat sebelum dan selepasnya, ini jelas menunjukkan ibadat puasa kita tidak sampai ke matlamatnya.

Terasa amat berat untuk kita berpisah dengan bulan Ramadhan, kerana banyaknya keistimewaan dan ganjaran di dalamnya, walau bagaimanapun, peluang untuk kita masih terbuka. Bulan Syawal yang bakal tiba, Allah SWT menyediakan pula kepada kita dengan menjanjikan ganjaran-ganjaran pahala setahun bagi yang berpuasa 6 hari di bulan Syawal, sebaik sahaja kita selesai menyambut 1 Syawal (Aidilfitri). Rasulullah SAW bersabda, "Sesiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian diikuti pula dengan puasa sunat enam hari pada bulan Syawal, ia adalah seperti berpuasa setahun".(Hadis Riwayat Muslim).

Ramai memahami bahawa Ramadan itu, kehadirannya dinanti, pemergiannya ditangisi. Selain itu, semua bersetuju bahawa ketibaan Syawal perlu dirai. Masakan tidak sedih berpisah dengan tempoh masa di mana sifat Pemurah dan Penerima Taubat Allah itu berlipat ganda. Masakan tidak sedih berpisah dengan saat di mana bala syaitan itu digari. Masakan tidak sedih berpisah dengan saat pintu syurga dibuka seluasnya, dan pintu neraka itu ditutup serapatnya. Masakan tidak sedih berpisah dengan tempoh masa khusus untuk melahirkan generasi bertaqwa, berasaskan kepada hidayah al-Quran. Semua ganjaran ini, hanya ditawarkan terhad sepanjang bulan Ramadhan sahaja.

Adakah kita termasuk golongan orang yang gembira atau yang bersedih apabila saat meninggalkan Ramadhan? Hanya diri kita sahaja yang boleh menjawabnya.

Jadi mengapa orang mukmin sepatutnya bersedih apabila Ramadhan dah nak berakhir?

Secara ringkasnya, dengan berdasarkan dalil-dalil yang sohih, peluang dan kemudahan yang diberikan Allah SWT di bulan ini yang pastinya akan dirindui dan di tangisi oleh para mukminin dan solihin adalah:-
  1. Peluang untuk meraih ke syurga yang terbuka luas di dalamnya, berdasarkan hadith yang menyebut tentang pintu syurga dibuka, pintu neraka ditutup dan syaitan di belenggu. Lalu mukmin sentiasa bimbang akan penerimaan Allah SWT terhadap diri dan amalannya.
  2. Tawaran pengampunan dosa-dosa silam bagi yang berpuasa dan menghidupkan malamnya dengan solat terawih ikhlas kerana Allah. Berdasarkan hadith Bukhari dan Muslim. Tamat jua peruntukan hebat ini di akhir Ramadhan.
  3. Kemaqbulan doa yang hebat ketika berpuasa dan berbuka berdasarkan hadith Riwayat Ibn Majah yang sohih. Berlalulah tawaran ini dengan pemergian Ramadhan.
  4. Peluang mempertingkat taqwa, iman dan menambah keberkatan dalam hidup dunia dan akhirat. Ia berdasarkan firman Allah SWT.
  5. Peluang terbesar di Malam al-Qadar yang amat istimewa. Hasil dari sebab inilah, kita dapati ramai ulama silam disifatkan amat sedih dengan pemergian Ramadhan, terutamanya apabila memikirkan samada akan dapat bertemu lagi pelaung sehebat Ramadhan di tahun hadapan.

MALAM LAILATUL QADR

Sekarang kita sudah masuk hari ke27 berpuasa di bulan Ramadhan. Pada hari-hari terakhir ini, junjungan kita Rasulullah s.a.w. menggalakkan umat Islam untuk meningkatkan amal ibadah, kerana pada waktu inilah akan turunnya malam yang apabila seorang hamba beribadah, ibadahnya adalah seperti ibadah selama seribu bulan. Malam itu dinamakan malam Lailatul Qadar.

Saiyidatuna Aisyah, isteri Rasulullah pernah berkata: Ertinya: Adalah nabi s.a.w. apabila tiba malam sepuluh terakhir dari bulan Ramadhan, beliau mempergiatkan lagi ibadahnya, menghidupkan malamnya dan mengejutkan ahli keluarganya untuk beribadah.( Hadith riwayat Bukhari dan Muslim).

Lailatul Qadr menurut bahasa ialah malam kemuliaan dan malam kebesaran. Adapun kelebihan malam ini ada termaktub di dalam Al-Quran seperti turunnya kitab suci Al-Quran. Allah juga telah menerangkan bahawa malam ini adalah lebih baik daripada seribu bulan. Para malaikat beserta Jibril juga akan diturunkan ke bumi dengan izin Allah pada malam yang mulia ini. Allah juga telah menjamin kesejahteraan malam ini akan berpanjangan sehingga terbit fajar.

Bagi mendapatkan malam lalaitul qadr tersebut seseorang itu mestilah bersedia bukan sekadar mengaharpkan malam tertentu dalam bulan ramadhan tersebut sahaja, malahan perlulah besedia setiap masa sejak awal lagi untuk memperhambakan diri terhadap Allah swt semoga Allah swt memberikan kemudahan untuk mendapatkannya.

Malam lalatul qadr tersebut tidak di ketahui bila malamnya, kerana kalau diketahui umum seseorang itu hanya beribadat pada malam yang ditetapakan itu sahaja, tetapi yang lebih penting seorang mukmin itu dikehendaki sentiasa taat, beramal malksanakan ibadat dan kebajikan terhadap Allah swt sehingga kemuncaknya amalannya dianugerahkan Allah dengan lailatul qadar yang dimaksudkan.

Oleh itu, marilah kita berlumba-lumba untuk mendapatkan malam Lailatul Qadr itu, malam yang penuh dengan keberkahan dan kenikmatan dengan memperbanyakkan amal ibadah. Mudah-mudahan Allah akan memberikan hidayahNya kepada kita agar kita semua dapat ditemukan dengan malam yang amat dinanti-nantikan ini dan semoga dengan itu juga, dapatlah kita membiasakan diri kita untuk beribadah kepada Allah, sentiasa mengingatiNya dalam apa jua keadaan demi untuk meraih rahmat serta keampunan Allah s.w.t.

Diantara tanda-tanda berlakunya Lailatul Qadr:
  • Di antara tanda yang sempat terlihat pada masa Nabi s.a.w adalah bahwasanya ketika baginda bersujud di waktu Subuh di atas tanah yang dibasahi dengan air, ertinya bahawa pada malam itu turun hujan sehingga baginda sujud di atas tanah yang berair.
  • Malam itu tenang dan hening, keadaannya tidak dingin dan tidak panas; siangnya pula memancarkan cahaya matahari yang warnanya pucat; pada malam itu juga malaikat Jibril akan menyelami orang yang beribadat pada malam itu dan secara tiba-tiba kita akan rasa sangat sayu dan kemudiannya menangis teresak-esak.

Lailatul Qadr adalah malam dibukanya seluruh pintu kebaikan, didekatkannya para kekasih Allah, didengarkannya permohonan dan dijawabnya segala doa, amal kebaikan pada malam itu ditulis dengan pahala sebesar besarnya, malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Maka hendaknya kita berusaha untuk mencarinya dengan bersungguh-sungguh.

Surah Al-Qdr, ertinya : “Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu? Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut). Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!”

Terdapat banyak faedah dan khasiat yang terkandung dalam surah ini, antara lain ialah:

  • Memudahkan mendapat rezeki
  • Di lepaskan dari seksa kubur
  • Menguatkan iman.
  • Memudahkan mendapat rezeki yang halal
  • Untuk memperoleh segala impian.
  • Keluasan rezeki selama kain masih dapat dipakai.

Friday, 13 August 2010

DOA HARIAN BULAN RAMADHAN

Sumber: epondok

Doa Hari Pertama

اَللَّهُمَّ اجْعَلْ صِيَامِيْ فِيْهِ صِيَامَ الصَّائِمِيْنَ وَ قِيَامِيْ فِيْهِ قِيَامَ الْقَائِمِيْنَ وَ نَبِّهْنِيْ فِيْهِ عَنْ نَوْمَةِ الْغَافِلِيْنَ وَ هَبْ لِيْ جُرْمِيْ فِيْهِ يَا إِلَهَ الْعَالَمِيْنَ وَ اعْفُ عَنِّيْ يَا عَافِيًا عَنِ الْمُجْرِمِيْنَ
Ya Allah, jadikanlah puasaku sebagai puasa orang-orang yang benar-benar berpuasa. Dan ibadah malamku sebagai ibadah orang-orang yang benar-benar melakukan ibadah malam. Dan jagalah aku dan tidurnya orang-orang yang lalai. Hapuskanlah dosa ku … wahai Tuhan sekalian alam. Dan ampunilah aku, wahai Pengampun Para Pembuat Dosa.

Doa Hari Kedua
اَللَّهُمَّ قَرِّبْنِيْ فِيْهِ إِلَى مَرْضَاتِكَ وَ جَنِّبْنِيْ فِيْهِ مِنْ سَخَطِكَ وَ نَقِمَاتِكَ وَ وَفِّقْنِيْ فِيْهِ لِقِرَاءَةِ آيَاتِكَ بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِيْنَ
Yaa Allah, dekatkanlah aku kepada kerredaanMu dan jauhkanlah aku dan kemurkaan serta balasanMu. Berilah aku kemampuan untuk membaca ayat-ayatMu dengan rahmatMu, wahai Maha Pengasih Kepada Semua Pengasih

Doa Hari Ketiga
اَللَّهُمَّ ارْزُقْنِيْ فِيْهِ الذِّهْنَ وَ التَّنْبِيْهَ وَ بَاعِدْنِيْ فِيْهِ مِنَ السَّفَاهَةِ وَ التَّمْوِيْهِ وَ اجْعَلْ لِيْ نَصِيْبًا مِنْ كُلِّ خَيْرٍ تُنْزِلُ فِيْهِ، بِجُوْدِكَ يَا أَجْوَدَ الْأَجْوَدِيْنَ
Ya Allah, berikanlah aku rezeki akal dan kewaspadaandan jauhkanlah aku dari kebodohan dan kesesatan. Sediakanlah bahagian untuk ku dari segala kebaikan yang Kau turunkan, demi kemurahanMu, wahai Dzat Yang Maha Dermawan Dari Semua Dermawan!

Doa Hari Keempat
اَللَّهُمَّ قَوِّنِيْ فِيْهِ عَلَى إِقَامَةِ أَمْرِكَ وَ أَذِقْنِيْ فِيْهِ حَلاَوَةَ ذِكْرِكَ وَ أَوْزِعْنِيْ فِيْهِ لأدَاءِ شُكْرِكَ بِكَرَمِكَوَ احْفَظْنِيْ فِيْهِ بِحِفْظِكَ وَ سِتْرِكَ يَا أَبْصَرَ النَّاظِرِيْنَ
Ya Allah, berikanlah kekuatan kepadaku, untuk menegakkan perintah-perintahMu, dan berilah aku manisnya berzikir mengingatMu. Berilah aku kekuatan untuk menunaikan syukur kepadaMu, dengan kemuliaanMu. Dan jagalah aku dengan penjagaanMu dan perlindunganMu, wahai Zat Yang Maha Melihat.

Doa Hari Kelima
اَللَّهُمَّ اجْعَلْنِيْ فِيْهِ مِنَ الْمُسْتَغْفِرِيْنَ وَ اجْعَلْنِيْ فِيْهِ مِنْ عِبَادِكَ الصَّالِحِيْنَ الْقَانِتِيْنَ وَ اجْعَلْنِيْ فِيْهِ مِنْ أَوْلِيَائِكَ الْمُقَرَّبِيْنَ بِرَأْفَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِيْنَ
Ya Allah, jadikanlah aku di antara orang-orang yang memohon ampunan, dan jadikanlah aku sebagai hambaMu yang soleh dan setia serta jadikanlah aku di antara auliya’Mu yang dekat di sisiMu, dengan kelembutanMu, wahai Zat Yang Maha Pengasih Di Antara Semua Pengasih

Doa Hari keenam
اَللَّهُمَّ لاَ تَخْذُلْنِيْ فِيْهِ لِتَعَرُّضِ مَعْصِيَتِكَ وَ لاَ تَضْرِبْنِيْ بِسِيَاطِ نَقِمَتِكَ وَ زَحْزِحْنِيْ فِيْهِ مِنْ مُوْجِبَاتِ سَخَطِكَ بِمَنِّكَ وَ أَيَادِيْكَ يَا مُنْتَهَى رَغْبَةِ الرَّاغِبِيْنَ
Ya Allah, janganlah Engkau hinakan aku kerana perbuatan maksiat terhadapMu, dan janganlah Engkau pukul aku dengan cambuk balasanMu. Jauhkanlah aku dari hal-hal yang dapat menyebabkan kemurkaanMu, dengan anugerah dan bantuanMu, wahai Puncak Keinginan Orang-Orang Yang Berkeinginan

Doa Hari Ketujuh
اَللَّهُمَّ أَعِنِّيْ فِيْهِ عَلَى صِيَامِهِ وَ قِيَامِهِ وَ جَنِّبْنِيْ فِيْهِ مِنْ هَفَوَاتِهِ وَ آثَامِهِ وَ ارْزُقْنِيْ فِيْهِ ذِكْرَكَ بِدَوَامِهِ بِتَوْفِيْقِكَ يَا هَادِيَ الْمُضِلِّيْنَ
Ya Allah, bantulah aku untuk melaksanakan puasanya, dan ibadah malamnya. Jauhkanlah aku dari kelalaian dan dosa-dosaNya. Dan berikanlah aku zikir berupa zikir mengingatMu secara berkesinambungan, dengan taufiqMu, wahai Pemberi Petunjuk Orang-orang Yang Sesat.

Doa Hari Kelapan
اَللَّهُمَّ ارْزُقْنِيْ فِيْهِ رَحْمَةَ الأَيْتَامِ وَ إِطْعَامَ الطَّعَامِ وَ إِفْشَاءَ السَّلاَمِ وَ صُحْبَةَ الْكِرَامِ بِطَوْلِكَ يَا مَلْجَأَ الآمِلِيْنَ
Ya Allah, berilah aku rezki berupa kasih sayang terhadap anak-anak yatim dan pemberian makan, serta penyebaran salam, dan pergaulan dengan orang-orang mulia, dengan kemuliaanMu, wahai Tempat Berlindung Bagi Orang-orang Yang Berharap.

Doa Hari Kesembilan
اَللَّهُمَّ اجْعَلْ لِيْ فِيْهِ نَصِيْبًا مِنْ رَحْمَتِكَ الْوَاسِعَةِ وَ اهْدِنِيْ فِيْهِ لِبَرَاهِيْنِكَ السَّاطِعَةِ وَ خُذْ بِنَاصِيَتِيْ إِلَى مَرْضَاتِكَ الْجَامِعَةِ بِمَحَبَّتِكَ يَا أَمَلَ الْمُشْتَاقِيْنَ
Ya Allah, sediakanlah untuk ku sebahagian dari rahmatMu yang luas, dan berikanlah aku petunjuk kepada ajaran-ajaranMu yang terang, dan bimbinglah aku menuju kepada kerelaanMu yang penuh dengan kecintaanMu, wahai Harapan Orang-Orang Yang Rindu.

Doa Hari Kesepuluh
اَللَّهُمَّ اجْعَلْنِيْ فِيْهِ مِنَ الْمُتَوَكِّلِيْنَ عَلَيْكَ وَ اجْعَلْنِيْ فِيْهِ مِنَ الْفَائِزِيْنَ لَدَيْكَ وَ اجْعَلْنِيْ فِيْهِ مِنَ الْمُقَرَّبِيْنَ إِلَيْكَ بِإِحْسَانِكَ يَا غَايَةَ الطَّالِبِيْنَ
Ya Allah, jadikanlah aku di antara orang-orang yang bertawakkal kepadaMu, dan jadikanlah aku di antara orang-orang yang menang di sisiMu, dan jadikanlah aku di antara orang-orang yang dekat kepadaMu dengan ihsanMu, wahai Tujuan Orang-orang Yang Memohon.

Doa Hari Kesebelas
اَللَّهُمَّ حَبِّبْ إِلَيَّ فِيْهِ الْإِحْسَانَ وَ كَرِّهْ إِلَيَّ فِيْهِ الْفُسُوْقَ وَ الْعِصْيَانَ وَ حَرِّمْ عَلَيَّ فِيْهِ السَّخَطَ وَ النِّيْرَانَ بِعَوْنِكَ يَا غِيَاثَ الْمُسْتَغِيْثِيْنَ
Ya Allah, tanamkanlah dalam diriku kecintaan kepada perbuatan baik, dan tanamkanlah dalam diriku kebencian terhadap kemaksiatan dan kefasikan. Jauhkanlah dariku kemurkaanMu dan api neraka dengan pertolonganMu, wahai Penolong Orang-Orang Yang Meminta Pertolongan.

Doa Hari Kedua Belas
اَللَّهُمَّ زَيِّنِّيْ فِيْهِ بِالسِّتْرِ وَ الْعَفَافِ وَ اسْتُرْنِيْ فِيْهِ بِلِبَاسِ الْقُنُوْعِ وَ الْكَفَافِ وَ احْمِلْنِيْ فِيْهِ عَلَى الْعَدْلِوَالإِنْصَافِ وَ آمِنِّيْ فِيْهِ مِنْ كُلِّ مَا أَخَافُ بِعِصْمَتِكَ يَا عِصْمَةَ الْخَائِفِيْنَ
Ya Allah, hiasilah diriku dengan penutup dan kesucian. Tutupilah diriku dengan pakaian qana’ah dan kerelaan. Tempatkanlah aku di atas jalan keadilan dan sikap tulus. Amankanlah diriku dari setiap yang aku takuti dengan penjagaanMu, wahai Penjaga Orang-orang Yang Takut.

Doa Hari Ketiga Belas
اَللَّهُمَّ طَهِّرْنِيْ فِيْهِ مِنَ الدَّنَسِ وَ الْأَقْذَارِ وَ صَبِّرْنِيْ فِيْهِ عَلَى كَائِنَاتِ الْأَقْدَارِ وَ وَفِّقْنِيْ فِيْهِ لِلتُّقَى وَ صُحْبَةِ الأَبْرَارِ بِعَوْنِكَ يَا قُرَّةَ عَيْنِ الْمَسَاكِيْنِ
Ya Allah, sucikanlah diriku dari kekotoran dan kejelekan. Berilah kesabaran padaku untuk menerima segala ketentuan. Dan berilah kemampuan kepadaku untuk bertaqwa, dan bergaul dengan orang-orang yang baik dengan bantuanMu, wahai Dambaan Orang-orang Miskin.

Doa Hari keempat Belas
اَللَّهُمَّ لاَ تُؤَاخِذْنِيْ فِيْهِ بِالْعَثَرَاتِ وَ أَقِلْنِيْ فِيْهِ مِنَ الْخَطَايَا وَ الْهَفَوَاتِ وَ لاَ تَجْعَلْنِيْ فِيْهِ غَرَضًا لِلْبَلايَا وَ الآفَاتِ بِعِزَّتِكَ يَا عِزَّ الْمُسْلِمِيْنَ
Ya Allah, janganlah Engkau hukum aku kerana kekeliruan yang ku lakukan. Dan ampunilah aku dan malapetaka dengan kemuliaanMu, wahai Kemuliaan Kaum Muslimin.

Doa Hari Kelima Belas
اَللَّهُمَّ ارْزُقْنِيْ فِيْهِ طَاعَةَ الْخَاشِعِيْنَ وَ اشْرَحْ فِيْهِ صَدْرِيْ بِإِنَابَةِ الْمُخْبِتِيْنَ بِأَمَانِكَ يَا أَمَانَ الْخَائِفِيْنَ
Ya Allah, berilah aku rezki berupa ketaatan orang-orang yang khusyu’. Dan lapangkanlah dadaku dengan taubatnya orang-orang yang menyesal, dengan keamananMu, wahai Keamanan Untuk Orang-orang YangTakut.

Doa Hari Keenam Belas
َللَّهُمَّ وَفِّقْنِيْ فِيْهِ لِمُوَافَقَةِ الْأَبْرَارِ وَ جَنِّبْنِيْ فِيْهِ مُرَافَقَةَ الْأَشْرَارِ وَ آوِنِيْ فِيْهِ بِرَحْمَتِكَ إِلَى (فِيْ ) دَارِ الْقَرَارِ بِإِلَهِيَّتِكَ يَا إِلَهَ الْعَالَمِيْنَ
Ya Allah, berilah aku kemampuan untuk hidup sebagaimana kehidupan orang-orang yang baik. Dan jauhkanlah aku dari kehidupan bersama orang-orang yang jahat. Dan naungilah aku dengan rahmatMu hingga sampai kepada alam akhirat. Demi ketuhananMu wahai Tuhan Seru Sekalian Alam.

Doa Hari Ketujuh Belas
اَللَّهُمَّ اهْدِنِيْ فِيْهِ لِصَالِحِ الأَعْمَالِ وَ اقْضِ لِيْ فِيْهِ الْحَوَائِجَ وَ الآمَالَ يَا مَنْ لاَ يَحْتَاجُ إِلَى التَّفْسِيْرِ وَ السُّؤَالِ يَا عَالِمًا بِمَا فِيْ صُدُوْرِ الْعَالَمِيْنَ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَ آلِهِ الطَّاهِرِيْنَ
Ya Allah, tunjukkanlah aku kepada amal kebajikan dan penuhilah hajat serta cita-cita ku. Wahai Yang Maha Mengetahui Keperluan,tanpa pengungkapan permohonan. Wahai Yang Maha Mengetahui Segala Yang Ada Didalam Hati Seluruh Isi Alam. Selawat atas Muhammad dan keluarganya yang suci.

Doa Hari Kelapan Belas
اَللَّهُمَّ نَبِّهْنِيْ فِيْهِ لِبَرَكَاتِ أَسْحَارِهِ وَ نَوِّرْ فِيْهِ قَلْبِيْ بِضِيَاءِ أَنْوَارِهِ وَ خُذْ بِكُلِّ أَعْضَائِيْ إِلَى اتِّبَاعِ آثَارِهِ بِنُوْرِكَ يَا مُنَوِّرَ قُلُوْبِ الْعَارِفِيْنَ
Ya Allah, sedarkanlah aku akan berkah-berkah yang terdapat di saat saharnya. Dan sinarilah hati ku dengan terang cahayanya dan bimbinglah aku dan seluruh anggota tubuhku untuk dapat mengikuti ajaran-ajarannya, demi cahayaMu wahai Penerang Hati Para Arifin.

Doa Hari Kesembilan Belas
اَللَّهُمَّ وَفِّرْ فِيْهِ حَظِّيْ مِنْ بَرَكَاتِهِ وَ سَهِّلْ سَبِيْلِيْ إِلَى خَيْرَاتِهِ وَ لاَ تَحْرِمْنِيْ قَبُوْلَ حَسَنَاتِهِ يَا هَادِيًا إِلَى الْحَقِّ الْمُبِيْنِ
Ya Allah, penuhilah bahagianku dengan berkah-berkahnya, dan mudahkanlah jalanku menuju kebaikan-kebaikannya. Janganlah Kau jauhkan aku dari ketertedmaan kebaikan-kebaikannya, wahai Pemberi Petunjuk Kepada Kebenaran Yang Terang.

Doa Hari Kedua Puluh
اَللَّهُمَّ افْتَحْ لِيْ فِيْهِ أَبْوَابَ الْجِنَانِ وَ أَغْلِقْ عَنِّيْ فِيْهِ أَبْوَابَ النِّيْرَانِ وَ وَفِّقْنِيْ فِيْهِ لِتِلاَوَةِ الْقُرْآنِ يَا مُنْزِلَ السَّكِيْنَةِ فِيْ قُلُوْبِ الْمُؤْمِنِيْنَ
Ya Allah, bukakanlah bagiku pintu-pintu syurga dan tutupkanlah bagiku pintu-pintu neraka, dan bBerikanlah kemampuan padaku untuk membaca Al-Quran wahai Penurun Ketenangan Di Dalam Hati Orang-orang Mu’min.

Doa Hari Kedua Puluh Satu
اَللَّهُمَّ اجْعَلْ لِيْ فِيْهِ إِلَى مَرْضَاتِكَ دَلِيْلاً وَ لاَ تَجْعَلْ لِلشَّيْطَانِ فِيْهِ عَلَيَّ سَبِيْلاً وَ اجْعَلِ الْجَنَّةَ لِيْ مَنْزِلاً وَ مَقِيْلاً يَا قَاضِيَ حَوَائِجِ الطَّالِبِيْنَ
Ya Allah, berilah aku petunjuk menuju kepada keredaanMu. Dan janganlah Engkau jalan kepada syaitan untuk menguasaiku. Jadikanlah syurga bagiku sebagai tempat tinggal dan peristirahatan, wahai Pemenuh Keperluan Orang-orang Yang Meminta.

Doa Hari Kedua Puluh Dua
اَللَّهُمَّ افْتَحْ لِيْ فِيْهِ أَبْوَابَ فَضْلِكَ وَ أَنْزِلْ عَلَيَّ فِيْهِ بَرَكَاتِكَ وَ وَفِّقْنِيْ فِيْهِ لِمُوْجِبَاتِ مَرْضَاتِكَ وَ أَسْكِنِّيْ فِيْهِ بُحْبُوْحَاتِ جَنَّاتِكَ يَا مُجِيْبَ دَعْوَةِ الْمُضْطَرِّيْنَ
Ya Allah, bukakanlah bagiku pintu-pintu KurniaMu, turunkan untukku berkahMu. Berilah kemampuan untukku kepada penyebab-penyebab keredaanMu, dan tempatkanlah aku di dalam syurgaMu yang luas, wahai Penjawab Doa Orang-orang Yang Dalam Kesempitan.

Doa Hari Kedua Puluh Tiga
اَللَّهُمَّ اغْسِلْنِيْ فِيْهِ مِنَ الذُّنُوْبِ وَ طَهِّرْنِيْ فِيْهِ مِنَ الْعُيُوْبِ وَ امْتَحِنْ قَلْبِيْ فِيْهِ بِتَقْوَى الْقُلُوْبِ يَا مُقِيْلَ عَثَرَاتِ الْمُذْنِبِيْنَ
Ya Allah, sucikanlah aku dari dosa-dosa, dan bersihkanlah diriku dari segala aib. Tanamkanlah ketaqwaan di dalam hatiku, wahai Penghapus Kesalahan Orang-orang Yang Berdosa.

Doa Hari Kedua Puluh Empat
اَللَّهُمَّ إِنِّيْ أَسْأَلُكَ فِيْهِ مَا يُرْضِيْكَ وَ أَعُوْذُ بِكَ مِمَّا يُؤْذِيْكَ وَ أَسْأَلُكَ التَّوْفِيْقَ فِيْهِ لأَنْ أُطِيْعَكَ وَ لاَ أَعْصِيَكَ يَا جَوَّادَ السَّائِلِيْنَ
Ya Allah, aku memohon kepadaMu hal-hal yang mendatangkan keredaanMu, dan aku berlindung denganMu dan hal-hal yang mendatangkan kemarahanMu, dan aku memohon kepadaMu lemampuan untuk mentaatiMu serta menghindari kemaksiatan terhadapMu, wahai Pemberi Para Peminta.

Doa Hari Kedua Puluh Lima
اَللَّهُمَّ اجْعَلْنِيْ فِيْهِ مُحِبًّا لِأَوْلِيَائِكَ وَ مُعَادِيًا لأَعْدَائِكَ مُسْتَنّا بِسُنَّةِ خَاتَمِ أَنْبِيَائِكَ يَا عَاصِمَ قُلُوْبِ النَّبِيِّيْنَ
Ya Allah, jadikanlah aku orang-orang yang menyintai auliyaMu dan memusuhi musuh-musuMu. Jadikanlah aku pengikut sunnah-sunnah penutup NabiMu, wahai Penjaga Hati Para Nabi.

Doa Hari Kedua Puluh Enam
اَللَّهُمَّ اجْعَلْ سَعْيِيْ فِيْهِ مَشْكُوْرًا وَ ذَنْبِيْ فِيْهِ مَغْفُوْرًا وَ عَمَلِيْ فِيْهِ مَقْبُوْلاً وَ عَيْبِيْ فِيْهِ مَسْتُوْرًا يَا أَسْمَعَ السَّامِعِيْنَ
Ya Allah, Jadikanlah usahaku sebagai usaha yang disyukuri, dan dosa-dosaku di ampuni, amal perbuatanku diterima, dan seluruh aibku titutupi, wahai Maha Pendengar Dan Semua Yang Mendengar.

Doa Hari Kedua Puluh Tujuh
اَللَّهُمَّ ارْزُقْنِيْ فِيْهِ فَضْلَ لَيْلَةِ الْقَدْرِ وَ صَيِّرْ أُمُوْرِيْ فِيْهِ مِنَ الْعُسْرِ إِلَى الْيُسْرِ وَ اقْبَلْ مَعَاذِيْرِيْ وَ حُطَّ عَنِّيَ الذَّنْبَ وَ الْوِزْرَ يَا رَؤُوْفًا بِعِبَادِهِ الصَّالِحِيْنَ
Ya Allah, Rezkikanlah kepadaku keutamaan Lailatul Qadr, dan ubahlah perkara-perkaraku yang sulit menjadi mudah. Terimalah permintaan maafku, dan hapuskanlah dosa dan kesalahanku, wahai Yang Maha Penyayang Terhadap Hamba-hambaNya Yang Soleh.

Doa Hari Kedua Puluh lapan
اَللَّهُمَّ وَفِّرْ حَظِّيْ فِيْهِ مِنَ النَّوَافِلِ وَ أَكْرِمْنِيْ فِيْهِ بِإِحْضَارِ الْمَسَائِلِ وَ قَرِّبْ فِيْهِ وَسِيْلَتِيْ إِلَيْكَ مِنْ بَيْنِ الْوَسَائِلِ يَا مَنْ لاَ يَشْغَلُهُ إِلْحَاحُ الْمُلِحِّيْنَ
Ya Allah, penuhkanlah hidupku dengan amalan-amalan sunnah, dan muliakanlah aku dengan terkabulnya semua permintaan. Dekatkanlah perantaraanku kepadaMu di antara semua perantara, wahai Yang Tidak Tersibukkan Oleh Permintaan Orang-orang Yang Meminta.

Doa Hari Kedua Puluh Sembilan
اَللَّهُمَّ غَشِّنِيْ فِيْهِ بِالرَّحْمَةِ وَ ارْزُقْنِيْ فِيْهِ التَّوْفِيْقَ وَ الْعِصْمَةَ وَ طَهِّرْ قَلْبِيْ مِنْ غَيَاهِبِ التُّهَمَةِ يَا رَحِيْمًا بِعِبَادِهِ الْمُؤْمِنِيْنَ
Ya Allah, liputilah aku dengan rahmat dan berikanlah kepadaku taufiq dan penjagaan. Sucikanlah hatiku dan dosa-dosa fitnah wahai Pengasih Terhadap Hamba-hambaNya Yang Mukmin.

Doa Hari Ketiga Puluh
اَللَّهُمَّ اجْعَلْ صِيَامِيْ فِيْهِ بِالشُّكْرِ وَ الْقَبُوْلِ عَلَى مَا تَرْضَاهُ وَ يَرْضَاهُ الرَّسُوْلُ مُحْكَمَةً فُرُوْعُهُ بِالأُصُوْلِ بِحَقِّ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَ آلِهِ الطَّاهِرِيْنَ وَ الْحَمْدُ ِللهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ‏
Ya Allah, jadikanlah puasaku disertai dengan syukur dan penerima di atas jalan keredaanMu dan keradaan Rasul. Cabang-cabangnya kukuh dan kuat berkat pokok-pokoknya, demi kenabian Muhammad dan keluarganya yang suci, dan segala puji bagi Allah Tuhan Sekalian Alam

Wednesday, 11 August 2010

HARI INI UMMAT ISLAM DI MALAYSIA MULA BERPUASA SEBULAN DI BULAN RAMADHAN

Hari ini ummat Islam mula mengerjakan ibadah berpuasa selama sebulan di bulan Ramadhan. Puasa adalah ibadah wajib yang ada dalam rukun Islam dengan menahan lapar dan dahaga serta hal-hal lain yang dapat membatalkan puasa mulai dari terbit fajar di timur hingga terbenam matahari di barat. Orang yang melanggar aturan puasa akan batal puasanya dan wajib mengganti puasanya dengan hari lain di luar Ramadhan.

Hikmat-hikmat puasa di bulan Ramadhan:

  1. Menandakan kesyukuran kepada Allah kerana nikmat-nikmat yang banyak kepada hamba-hambanya.
  2. Melatih jiwa supaya mempunyai rasa belas kasihan terhadap orang-orang yang susah dan menderita.
  3. Melatih jiwa supaya bersih daripada sifat-sifat tamak, sombong dan hasad dengki.
  4. Melatih diri supaya bersifat sabar dan tabah menempuh ujian-ujian dalam perjuangan hidup.
  5. Menanamkan semangat perpaduan kerana sama-sama menunaikan kewajipan yang sama itu dapat menimbulkan perpaduan.
  6. Menanamkan semangat sama rata dan menjauhkan sifat membeza-bezakan di antara kaya miskin, hina mulia, raja dan rakyat kerana sama-sama menjunjung peritah Allah.
  7. Melatih diri supaya mempunyai peraturan-peaturan dan menghargai masa kerana puasa mempunyai batas-batas waktu yang tertentu.
  8. Membersihkan anggota-anggota di dalam tubuh badan dari daki-daki dan lemak-lemak makanan yang bekerja sepanjang tahun.
  9. Memberi kerehatan kepada alat-alat di dalam tubuh badan - terutamanya alat pengisar makanan yang bekerja sepanjang tahun.
  10. Memberi peluang untuk memperbanyakkan amal ibadah kerana bulan Ramadhan mempunyai keistimewaan yang tidak ada pada bulan-bulan lain seperti Lailatul-Qadar dan Sembahyang Tarawih.
  11. Membuat kita lebih taqwa kepada Allah SWT.
  12. Mendapatkan pahala yang melimpah ruah.
  13. Menyihatkan tubuh kita dan dapat menyembuhkan berbagai penyakit.
  14. Melatih kita untuk menahan nafsu jahat selama hidup di dunia fana.
  15. Mendorong kita untuk selalu berbuat kebajikan.
  16. Boleh memasukkan kita ke dalam surga jika kita telah mati.
  17. Melatih sabar, pengendalian diri, disiplin, jujur, emosi, dll.
  18. Mempersempit jalan aliran darah di mana syaitan lalu-lalang.
  19. Mempererat tali silaturahmi dengan sahur dan buka puasa bersama.
  20. Menghilangkan dosa di antara manusia dengan saling maaf-memaafkan di hari raya aidilfitri.

Saturday, 17 July 2010

JALAN-JALAN DI FLORIA PUTRAYAJA 2010

Hari ini kami pergi ke Putrajaya, berjalan-jalan dan melihat-lihat Festival Bunga dan Landskap Putrajaya 2010. Festival yang diadakan setahun sekali itu memang meriah. Kami sampai pada pukul 3.00 petang. Ramai pengunjung. Keadaan sepanjang jalan selepas pintu masuk sesak dengan pengunjung. Nak snap foto berlatarkan bunga-bungaan pun tak ada ruang.

Festival ini berlangsung dari 10 hingga 18 Julai. Pada tahun ini festival yang bertemakan Keindahan Tropika, menampilkan Heliconia sebagai bunga tema pameran. Pameran yang berlangsung di kawasan seluas 6.07 hektar membolehkan pengunjung seperti kami mendekati dan menyelami keindahan landskap dan bunga-bungaan. Sebanyak 26 anugerah untuk taman disediakan kepada agensi kerajaan dan syarikat swasta yang mengambil bahagian manakala 26 anugerah lagi untuk pameran dan gubahan bunga di Flora Pavilion.

Anugerah Emas taman Floria 2010 dimenangi oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Johor dan dibina oleh Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah. SUK Johor turut memenangi kategori laman kreatif. Taman dengan tema Hidup Harmoni dengan Alam Semula Jadi itu menjadikan tumbuhan tropika sebagai pemilihan tumbuhan hiasan dengan menampilkan sepit udang atau heliconia sebagai pokok utama sesuai tema Floria 2010. Tahniah!

















Friday, 9 July 2010

MANFAAT PENGAJARAN PENTING DALAM ISRA' MIKRAJ

Oleh HASHIM AHMAD
Utusan Melayu, 9 Julai 2010

KITA sekali lagi berada di bulan Rejab - bulan yang mulia, bulan Rasulullah SAW di Isra' Mikraj sehingga bulan ini turut dinamakan bulan Isra' dan Mikraj. Menurut kaul yang masyhur, peristiwa Isra' dan Mikraj berlaku pada 27 Rejab, setahun sebelum Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah, kira-kira dalam tahun 621 masehi.

Tahun itu juga disebut sebagai Tahun Dukacita kerana Rasulullah SAW pada tahun tersebut telah mengalami musibah yang paling sedih dengan kehilangan bapa saudaranya, Abu Talib yang sentiasa memberi perlindungan kepada baginda dan isterinya, Khadijah, seorang isteri yang telah memberi pengorbanan harta dan jiwanya untuk membela perjuangan Rasulullah SAW.
Ayat al-Quran pada permulaan Surah al-Isra' menjelaskan bahawa Rasulullah SAW telah di Isra'kan pada suatu malam dari Masjidil Haram di Mekah hingga ke Masjidil Aqsa di Palestin dengan tujuan untuk memperlihatkan ayat-ayat Allah (tanda-tanda kebesaran Allah).

Sesungguhnya al-Quran tidak menjelaskan satu persatu apa yang dilihat dan disaksikan oleh Rasulullah SAW pada malam Isra' dan Mikraj itu. Tetapi hadis-hadis telah banyak meriwayatkan peristiwa luar biasa dan ajaib yang penuh dengan pengajaran dan perbandingan yang sangat penting dan bernilai itu.

Peristiwa Mikraj yang menyaksikan Rasulullah SAW dari Baitulmaqdis naik ke langit pertama, kedua, ketiga dan seterusnya ke Sidratul Muntaha, mengadap Allah SWT ada digambarkan dalam Surah An Najm ayat 1 hingga 18.

Kita dapat mengikuti peristiwa-peristiwa Isra' dan Mikraj dalam beberapa hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim selain daripada hadis-hadis yang daif. Ada beberapa kesimpulan dapat diperkatakan mengenai peristiwa Isra' dan Mikraj.

  1. Ia satu peristiwa besar yang luar biasa dan mukjizat kepada Rasulullah yang khusus dan hanya layak diberi dan diterima oleh Nabi Muhammad SAW selaku Nabi terakhir dan penyudah segala Nabi dan Rasul.
  2. Intisari kandungan Surah al-Isra' adalah untuk menegaskan tujuan dan hikmah berlakunya mukjizat Isra' yang luar biasa itu, kerana hendak memperlihatkan kepada Nabi Muhammad SAW tanda-tanda kekuasaan dan kebesaran Allah azzawajalla. Kemuliaan yang besar itu dikurniakan oleh Allah ketika baginda sedang menghadapi penentangan keras daripada puak kafir Quraisy Mekah dan ditambah pula dengan peristiwa-peristiwa sedih kehilangan Abu Talib dan Khadijah agar baginda terus berjuang menyebarkan dakwah Islamiah sehingga Islam berjaya mencapai matlamatnya.
  3. Mengenai kekuatan jiwa (rohani), As Syed Muhammad Rasyid Redha dalam tafsirnya Al Hakim dan Al Manar antara lain menjelaskan bahawa: "Israk dan Mikraj itu berlaku dalam keadaan 'kerohanian' yang kukuh dan teguh. Di dalamnya ada kekuatan jiwa menurut 'sunnah Allah' yang telah berlaku kepada jasad (badan kasar) Rasulullah, lalu menjadi ringan dan halus seperti tubuh para malaikat." Ini adalah jawapan kepada setengah-setengah orang di zaman sains dan teknologi ini yang masih meragui bagaimana boleh berlaku Isra' dan Mikraj kepada baginda Rasulullah, sebagai seorang manusia bertubuh kasar, bukannya malaikat bertubuh halus.
  4. Hadis-hadis banyak meriwayatkan perjalanan (Isra') Rasulullah yang bermula dari masjid Mekah menuju ke Madinah, dan kemudian ke Masjidil Aqsa. Semasa dalam perjalanan itu, baginda telah diperlihatkan dengan pelbagai peristiwa, pengajaran, contoh teladan dan perbandingan yang baik dan buruk yang dilakukan oleh umat manusia di dunia, khususnya oleh umat Nabi Muhammad SAW sendiri. Di antara peristiwa tersebut ialah balasan baik kepada orang yang berjihad di jalan Allah, juga balasan buruk yang diterima oleh orang yang melakukan maksiat seperti zina, minum arak, meninggalkan sembahyang lima waktu dan sebagainya.
  5. Hadis-hadis juga meriwayatkan bahawa setelah baginda Rasulullah sampai di Masjidil Aqsa di Baitulmaqdis, maka dari sanalah baginda dimikraj naik ke angkasa lepas ke langit pertama, kedua, ketiga, sampai ke langit ketujuh, bertemu dengan roh para Nabi dan Rasul-rasul. Kemudian naik lagi ke tempat yang paling tinggi (Sidratul Muntaha) mengadap ke hadrat Allah SWT.Pada saat yang paling penting dan istimewa inilah Rasulullah menerima perintah sembahyang fardu lima waktu yang pada mulanya berjumlah 50 waktu. Setelah Nabi Muhammad SAW beberapa kali memohon keringanan, akhirnya diperkenankan oleh Allah SWT setakat lima waktu sahaja, tetapi nilai pahalanya tetap seperti 50 waktu juga. Di sini jelaslah betapa pentingnya menunaikan sembahyang fardu yang lima waktu itu. Ia telah menjadi rukun kedua di dalam Rukun Islam sehingga Rasulullah dijemput sendiri mengadap Allah SWT untuk menerima perintah mengerjakannya pada malam Isra' dan Mikraj itu. Perintah mengerjakan sembahyang ini berbeza dengan perintah-perintah ibadat yang lain seperti puasa, zakat dan haji yang disampaikan melalui perantaraan Jibrail yang turun membawa wahyu kepada Rasulullah di muka bumi ini. Menyedari pentingnya sembahyang lima waktu maka marilah kita jadikan sepanjang bulan Rejab ini sebagai bulan untuk memastikan diri kita, keluarga dan setiap umat Islam tidak meninggalkan sembahyang lima waktu kerana ia adalah tugas fardu ain yang tidak dapat ditukar ganti atau diuzurkan.
  6. Akhir sekali, perkara yang tidak dapat kita lupakan dalam memperingati Isra' dan Mikraj ialah Masjid Al Aqsa di Baitulmaqdis yang menjadi tempat berpijak Rasulullah ketika baginda hendak melakukan Mikraj naik ke langit pernah menjadi kiblat umat Islam selama 17 bulan di zaman Rasulullah SAW. Setiap umat Islam tentu tidak rela melihat rumah suci Masjidil Aqsa itu dinodai dan dicemari kuasa penjajah Zionis Israel yang sudah menjangkau masa puluhan tahun itu.

Sunday, 27 June 2010

PENJELAJAHAN KEMBARA MAHKOTA JOHOR 2010 BERMULA

Sinar Harian, 27 Jun 2010

JOHOR BAHRU - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar semalam memulakan program Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2010, selama tiga hari dengan menggunakan kereta api sebagai pengangkutan utama, yang akan meliputi empat daerah di negeri ini.

Kembara pertama sejak Sultan Ibrahim dimasyhurkan sebagai Sultan Johor itu menjadi menarik apabila baginda sendiri memandu kereta api sejauh 391.3 kilometer bermula dari JB Sentral ke Gemas, Negeri Sembilan sebelum kembali semula ke JB Sentral.

Pada pelancaran kembara berkenaan semalam, Sultan Ibrahim bertitah baginda berharap rombongan yang diketuainya dari Johor Bahru ke Kulaijaya, Kluang dan Segamat itu dapat melihat sendiri kehidupan dan cara hidup rakyat berbilang kaum.

“Perkara ini penting kerana dapat mengenali dan memahami rakyat, terutama rakyat di luar daerah. Bila kita rapat dengan rakyat, barulah mereka dapat nyatakan isi hati mereka,” titah baginda.

Turut berangkat menyertai rombongan berkereta api pada kira-kira jam 10 pagi itu adalah isteri baginda, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman. Muhyiddin bagaimanapun hanya menyertai rombongan itu sehingga ke Kulaijaya.

Tuesday, 22 June 2010

JAMBATAN TERPUTUS DI KAMPUNG SUNGAI SIPUTEH ULU, SELAMA, PERAK

Kampung Sungai Siputeh Ulu terletak di utara bandar Selama, Perak. Nama kampung ni tenggelam kerana biasanya orang lebih mengenali Sungai Bayor, sebuah kampung yang berhampiran.

Kampung ini adalah dihujung jalan mati di tebing sungai. Dahulu sebatang jambatan merentangi sungai yang jernih ini untuk menghubungkan penduduk kampung di seberang. Malangnya jambatan ini telah lama runtuh dan terputus. Atas inisiatif penduduk kampung, sebuah titian kayu telah dibina. Titian ini juga runtuh di mamah arus sungai yang deras. Pihak kerajaan juga telah menambak tebing sungai, namun ianya tidak berkesan. Jambatan tetap runtuh dan terputus.

Sungai yang jernih ini yang berlatarkan bukit-bukau membiru memang sesuai untuk dijadikan tempat mandi manda (berkelah). Penduduk kampung ini yang sememangnya dah biasa dengan sungai memandangnya sebagai kebiasaan sahaja. Kanak-kanak kampung ini biasanya berlari-larian dan berkejar-kejaran di gigi air sungai sambil mandi manda. Keseronokan jelas terbayang di wajah mereka....


Jalan menuju ke Kampung Sungai Siputeh Ulu.

Sungai Siputeh, Selama, Perak mengalir jernih.

Bekas jambatan konkrit yang runtuh.

Titian kayu yang menghubungkan kampung di seberang juga terputus.
Pasar hari pagi Jumaat di Sungai Bayor.

Saturday, 12 June 2010

THE TREE TOP WALK SUNGAI SEDIM (TTTWSS)

Pada cuti sekolah ini, apabila kami balik kampung di Bagan Serai, kitorang mengambil kesempatan pergi TTTWSS. Apa benda tu? The Tree Top Walk Sungai Sedim.

Kawasan ini terletak di Sungai Sedim, Kulim, Kedah. Kalau nak pergi ke sana ikut sahaja penunjuk arah yang disediakan di sepanjang jalan, insyaallah sampai.

Tree Top Walk ini merupakan projek pertama yang seumpamanya oleh kerajaan Malaysia dalam usaha untuk membangunkan eko-pelancongan. Projek ini dibina di kawasan Hutan Simpan Gunung Inas. Pembinaannya bermula pada 15 Januari 2004 dan siap sepenuhnya pada 7 Mac 2005. Ia adalah pejalan kanopi di atas silara pokok yang terpanjang di dunia. Panjang 'canopy walk' ini ialah 925 metar. Ia dilancarkan secara rasminya pada 5 Mac 2009 oleh DYMM Tuanku Sultan Kedah.

Waktu operasi 8.30 pagi hingga 5.30 petang. Dibuka setiap hari sepanjang tahun kecuali ketika cuaca terlampau (hujan lebat, kilat, angin kencang). Bayaran yang dikenakan untuk menaiki Tree Top Walk ialah RM10 untuk orang dewasa dan RM6 untuk kanak-kanak bawah 7 tahun.

Kawasan TTTWSS memang cantik, bersih dan menarik. Aliran air Sungai Sedim yang sejuk dan menyegarkan sememangnya yang saya cari-cari. Beruntung orang Kedah kerana ada anugerah Illahi seperti ini di tempat hang....Kami harap hangpa semua dapat menjaga kebersihan dan keindahan kawasan rekreasi TTTWSS ini sebaik-baiknya.

Titi gantung TTW memang menggayatkan. Kalau lemah semangat dan lemah kepala lutut, elakkan daripada menaikinya. Boleh menggigil dan terkencing di tengah jalan. TTW memang tinggi, lebih tinggi daripada pokok. Dongak ke atas nampak awan, tunduk ke bawah nampak kanopi pokok-pokok dan sungai.

Apa-apa hal pun, kami beruntung dapat menaiki dan berjalan di TTW walaupun tak habis. Tak sanggup nak menghabiskan jarak sejauh 925 meter!

Aktiviti DIi TTW:
  1. Canopy walk
  2. Jungle trekking
  3. Educational jungle walk
  4. Night walk
  5. Flying fox
  6. Abseiling
  7. Obstacle course - nature
  8. Jungle survival
  9. Nature hunt
  10. Nature camp
  11. Family day
  12. Tubing
  13. White water rafting
  14. Orienteering
  15. River crossing

Penunjuk arah ke Hutan Lipur Sungai Sedim.

Jauh di hadapan ialah banjaran dimana terletaknya Hutan Lipur Sungai Sedim.

Kampung Sungai Sedim yang berlatar belakangkan gunung-ganang.

Pintu gerbang mananti kita ke Tree Top Walk.

Sungai Sedim yang berbatu besar.

Aliran Sungai Sedim yang deras.

Jambatan cantik merentasi Sungai Sedim.

Aliran air yang deras pada batu-batu memberi kesan bunyi yang kuat.

Sejuk dan menyegarkan.

Dormitory di TTTWSS.

1 Malaysia ada di mana-mana.

Papan tanda TTTWSS berlatarkan TTW.

TTW yang panjangnya 925 meter.

Melihat dan menghayati alam semula jadi dari TTW,

Perjalanan sejauh 925 meter di TTW bermula di sini.

TTW merentasi pada ketinggian pokok-pokok.

TTW dilihat dari bawah.